Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

8) PENGURUSAN SUNGAI DAN BADAN AIR

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan untuk mempertingkatkan penadahan air di sungai-sungai Negeri Selangor?

    Dari segi perancangan untuk mempertingkatkan penadahan air di sungai-sungai Negeri Selangor, pihak Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kini sedang giat melaksanakan aktiviti dan program seperti berikut :

    1. Pengurusan Lembangan Sungai Dengan Pendekatan ’IRBM’

    Memastikan pendekatan Integrated River Basin Management (IRBM) digunapakai dan dilaksanakan di setiap lembangan sungai di Negeri Selangor iaitu di Lembangan Sungai Selangor, Lembangan Sungai Langat dan Lembangan Sungai Klang. Konsep ini merangkumi aspek pengurusan kuantiti dan kualiti air termasuk perlindungan dan pemuliharaan melalui polisi dan strategi yang melibatkan agensi kerajaan berkaitan dan pemilik berkepentingan. Ia merupakan satu kaedah pengurusan yang terbaik secara holistik dan menyokong pendekatan Integrated Water Resources Management, IWRM.

    1. Pewartaan Kawasan Sumber Air

     Memastikan kawasan sumber air di Negeri Selangor dilindungi daripada pencemaran dan pencerobohan melalui :

    i) Pewartaan rizab sungai;
    ii) Pewartaan kawasan tadahan air empangan; dan
    iii) Pewartaan kolam sumber air alternatif.

    1. Kawalan dan Penguatkuasaan

    Kawalan dan penguatkuasaan ke atas sungai-sungai ini dibuat bagi memastikan aspek kualiti dan kuantiti air sungai sentiasa mencukupi dan berada di tahap bersih. Antara aktiviti-aktiviti dan program Lembaga ialah :

    i) Pemantauan kualiti sumber air mentah (memastikan kualiti air Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang berada pada tahap Kelas I dan Kelas II ke atas.
    ii) Pemantauan pencemaran sumber air  mentah pada waktu kecemasan.
    iii) Pelaksanaan pelesenan dan caj air mentah di Negeri Selangor.
    iv) Pelaksanaan pelesenan pelepasan bahan pencemar.(Peringkat Draf Peraturan)
    v) Pelaksanaan pelesenan dan caj navigasi jalan air pedalaman di Negeri Selangor bagi (sungai, tasik dan tanah perairan). (Peringkat Draf Peraturan)
    vi) Pelaksanaan kebenaran bertulis bagi aktiviti pengubahan sumber.
    vii) Pelaksanaan program kesedaran awam seperti program ‘Qua-Qua’ bagi meningkatkan keprihatinan orang awam untuk melindungi sumber air dari aspek kuantiti dan kualitinya.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.