Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

88) PENIAGA DAN PEMILIK HARTANAH KERUGIAN

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Yap Ee Wah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Difahamkan kebanyakan peniaga dan pemilik hartanah menghadapi kerugian dan berisiko tinggi dalam masa kelembapan ekonomi sedunia ini. Adakah Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengurangkan caj cukai tanah, cukai taksiran tahunan dan memberi diskaun bagi lesen peniagaan?

    JAWAPAN DARIPADA PEJABAT TANAH DAN GALIAN

     

    Kuasa Kerajaan Negeri untuk menyemak kadar cukai tanah adalah tertakluk kepada peruntukan Seksyen 101, Kanun Tanah Negara 1965. Berdasarkan kepada seksyen tersebut, Pihak Berkuasa Negeri boleh membuat semakan terhadap kadar cukai tanah secara sekali dalam tempoh 10 tahun. Semakan cukai tanah terakhir yang dikuatkuasakan ialah pada tahun 2006. Oleh yang demikian, Pihak Berkuasa Negeri hanya boleh membuat semakan semula kadar cukai tanah seawalnya pada tahun 2016.

     

    JAWAPAN DARIPADA UPBT

     

    a) Buat masa ini Kerajaan Negeri belum bercadang untuk mengurangkan cukai taksiran tahunan atau memberi diskaun bagi lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan bagi meringankan beban yang perlu ditanggung oleh pemilik premis dan golongan peniaga di Selangor. Kerajaan Negeri memerlukan masa untuk memantau keadaan ini memandangkan kesan kemelesetan ekonomi ini masih di peringkat awal dan sukar untuk meramalkan sejauh mana tahap kemelesetan yang berlaku. Oleh itu, Kerajaan Negeri memerlukan sedikit masa lagi sebelum sebarang tindakan selanjutnya dapat diputuskan.

     

    Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri khuatir sekiranya pengurangan cukai dan diskaun untuk lesen perniagaan dilakukan secara tergesa-gesa, ianya akan menjejaskan pendapatan PBT keseluruhannya. Berdasarkan pemantauan Kerajaan Negeri mengenai prestasi cukai taksiran PBT untuk Januari 2009, secara keseluruhannya peratus kutipan telah menurun sebanyak 18.07 peratus berbandingkan bulan yang sama pada tahun 2008. Sekiranya trend kutipan ini berterusan, maka pendapatan PBT di Selangor akan terjejas. Akibatnya segala perancangan pembangunan yang dirancang untuk kesejahteraan rakyat akan turut terjejas.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.