PENSTRUKTURAN INDUSTRI AIR

80) PENSTRUKTURAN INDUSTRI AIR

Tahun:

Sesi:

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Budiman Bin Mohd Zohdi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kerajaan negeri yakin dapat menyelesaikan walaupun gagal 5 tahun lalu?

    Pindaan Perlembagaan pada tahun 2005 telah meletakkan air di bawah Senarai 111- Senarai Bersama.  Melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

    Selain dari itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menswastakan perkhidmatan bekalan air semenjak tahun 1994 dan penswastaan sepenuhnya telah dilaksanakan pada tahun 2004. Melalui penswastaan ini, Perjanjian Konsesi telah ditandatangani di antara Kerajaan Negeri dan Syarikat Konsesi Air.

    Dalam proses untuk mengambil alih semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya, ia perlu melalui proses deprivatisation yang akan melibatkan banyak pihak. Deprivatisation akan menjurus kepada penamatan perjanjian konsesi sedia ada.  Perlembagaan Malaysia memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.

    Oleh yang demikian, dalam melaksanakan pengambilalihan semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada terma dan syarat perjanjian di mana sejumlah pampasan perlu untuk disediakan untuk dibayar kepada Pemegang Konsesi.  Sekiranya Pemegang Konsesi tidak dibayar pampasan yang setimpal, perkara ini boleh mendedahkan Kerajaan Negeri kepada tindakan undang-undang dan pada masa yang sama Kerajaan Negeri boleh dianggap bertindak bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.

    Pemegang Konsesi menuntut nilai pampasan yang tinggi walaupun Kerajaan Negeri telah bersetuju untuk membayar 12% sebagai pulangan kepada pelaburan yang dibuat serta mengambil alih semua liabiliti berkaitan air.

    Keengganan Kerajaan Persekutuan untuk turut serta bersama Kerajaan Negeri di dalam rundingan pengambilalihan syarikat konsesi telah melambatkan penstrukturan semula dimuktamadkan walaupun Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif dalam sektor air sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 3(1) Akta 655.

    Memandangkan industri perkhidmatan air di Negeri Selangor semakin berada dalam keadaan yang membimbangkan baik dari segi operasi dan kewangan, Kerajaan Negeri Selangor berharap agar perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan dalam waktu yang terdekat ini dapat menyelesaikan keadaan tersebut berpaksikan kepada matlamat untuk memuktamadkan penstrukturan semula di bawah Model Holistik dengan berlandaskan perundangan sedia ada dan mengutamakan kepentingan rakyat serta tidak merugikan mana-mana pihak yang terlibat dalam industri ini.

    Berdasarkan kepada kenyataan media oleh YB Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air, jelas menunjukkan kesediaan Kerajaan Persekutuan untuk berbincang dan membantu Kerajaan Negeri Selangor dalam hal perkara berkaitan industri bekalan air di negeri Selangor tanpa mengambil kira fahaman politik yang ada.

Lampiran

Tiada Lampiran.