PENSTRUKTURAN SEMULA BEKALAN AIR NEGERI SELANGOR

202) PENSTRUKTURAN SEMULA BEKALAN AIR NEGERI SELANGOR

Tahun:

Sesi:

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah perkembangan terkini usaha penstrukturan semula bekalan air tersebut ?

    Mesyuarat Jawatan Kuasa penstrukturan kali terakhir bersidang pada 06 September 2011 di Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA).  Di dalam mesyuarat tersebut, tidak dibincangkan sama sekali mengenai cadangancadangan yang dikemukakan oleh  Kerajaan Negeri Selangor dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor.  Sebaliknya, mesyuarat tersebut membincangkan mengenai masalah kekurangan air di Negeri Selangor dan pelaksanaan Loji Langat 2.

    Selanjutnya pihak KTTHA melalui surat Y.B. Menteri bertarikh 12 Oktober 2011 telah menegaskan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak menghalang Kerajaan Negeri Selangor untuk melaksanakan penstrukturan secara holistik dengan syarat pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi air hendaklah dibuat secara “willing buyer willing seller” dan menghormati perjanjian-perjanjian konsesi yang masih sah dan berkuat kuasa.

    Di dalam surat tersebut juga menyatakan bahawa syarat-syarat yang dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor di dalam melaksanakan pendekatan dua langkah sebagai tidak praktikal dan sukar untuk dipenuhi.  Y.B. Menteri berpandangan sekiranya Kerajaan Negeri Selangor komited untuk melaksanakan pendekatan “dua langkah”, Kerajaan Negeri Selangor perlu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi air yang bersetuju dengan kaedah pengambilalihan yang dicadangkan berdasarkan “willing buyer willing seller” dan bukannya menetapkan pelbagai syarat untuk dipenuhi oleh Kerajaan Persekutuan.

    Y.B. Menteri turut berpandangan bahawa syarat-syarat yang dikemukakan oleh

    Kerajaan Negeri Selangor hanya akan dapat dipenuhi sekiranya Kerajaan Negeri Selangor dapat memberikan persetujuan tanpa syarat terhadap perkara-perkara berikut:-

    1. memberikan semua kelulusan yang diperlukan untuk membolehkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 dilaksanakan mengikut perancangan; dan
    2. meluluskan pelarasan tarif air bagi Negeri Selangor berdasarkan perakuan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN)

    Kerajaan Negeri Selangor masih berpendirian bahawa Projek Loji Rawatan Air

    Langat 2 boleh dipersetujui pelaksanaannya jika penstrukturan semula air Negeri Selangor dimuktamadkan sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan air yang tidak cekap dan kos operasi yang membebankan rakyat.

    Kerajaan Negeri Selangor juga telah menulis surat kepada Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited untuk melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor melalui Model Holistik yang sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

    Perkara mengenai penstrukturan semula ini turut dibangkitkan oleh YB Teresa Kok di Parlimen semasa sesi Perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan

    Tambahan (2011) 2012 Peringkat Dasar pada 09 Januari 2012 di mana YB Teresa Koh telah meminta supaya KTTHA mengadakan Mesyuarat Jawatan Kuasa Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Negeri Selangor bagi membolehkan pengurusan air di Selangor diserahkan kepada Kerajaan Negeri. YB Menteri dalam jawapannya menyatakan bahawa  Mesyuarat Jawatan Kuasa

    Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air hanya akan diadakan sekiranya Kerajaan Negeri Selangor dapat mengemukakan cadangan baru atau pendekatan yang berbeza dari Model Holistik yang dicadangkan sebelum ini oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Selanjutnya, YAB Dato’ Menteri Besar Selangor di dalam surat kepada YB Menteri bertarikh 17 April 2012, telah menyatakan bahawa pendirian Kerajaan Negeri Selangor mengenai Model Holistik tidak pernah berubah semenjak dikemukakan kepada KTTHA bermula pada Disember 2008.  Model Holistik tersebut adalah satu-satunya Model penstrukturan yang menjadi hasrat utama Kerajaan Negeri Selangor di dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri air kerana Model Holistik tersebut memenuhi ciri-ciri penyusunan semula yang di gariskan oleh Kerajaan Persekutuan selaras dengan penggubalan Akta Industri Perkhidmatan Air Negara 2006 (Akta 655).

    YB Menteri seterusnya melalui surat bertarikh 10 Mei 2012 dan 05 Jun 2012, masih mengulangi pendirian meminta Kerajaan Negeri Selangor mengemukakan cadangan baru atau pendekatan yang berbeza dari Model Holistik yang pernah dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor sentiasa komited untuk melaksanakan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor melalui Model Holistik yang sememangnya telah terbukti sebagai penyelesaian ke atas semua masalah pengurusan bekalan air secara komprehensif dan dapat menjamin pengurusan air yang mengutamakan tahap kecekapan dan keberkesanan perkhidmatan serta memperkukuhkan integriti, daya saing dan kemapanannya di samping tidak membebankan rakyat keseluruhannya sebagaimana yang telah dicapai di kejayaan pelaksanaan Model Holistik di Pulau Pinang, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

Lampiran

Tiada Lampiran.