PERUMAHAN
92) PERUMAHAN
Tahun:
Sesi:
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Mohd Shaid Bin Rosli
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Adakah kerajaan ada inisiatif membina rumah dengan nilai bawah Ringgit Malaysia 100 ribu?
Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri amat prihatin malah menggalakkan setiap individu terutamanya golongan berpendapatan rendah atau B40 untuk memiliki rumah idaman mereka sesuai dengan slogan Kerajaan Negeri iaitu ‘Satu Keluarga Satu Kediaman Yang Sempurna’.
Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kerajaan Negeri telah merangka beberapa langkah agar projek Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B yang ditetapkan harga jualan pada harga RM42,000.00 dan RM100,000.00 di beri keutamaan di bina. Langkah yang di ambil Kerajaan Negeri adalah melalui peringkat dasar sehinggalah ke peringkat pemantauan pelaksanaan projek. Dari peringkat dasar, Kerajaan Negeri telah meluluskan Dasar Perumahan Mampu Milik Negeri Selangorku (Rumah Selangorku 2.0) yang berkuatkuasa pemakaiannya mulai 2 April 2018 bertujuan memastikan Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B berada dan banyak di pasaran, setiap pembangunan perumahan berkeluasan melebihi 5 ekar dikenakan syarat penyediaan di antara 10% hingga 30% Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B mengikut zon- zon pembangunan. Penyediaan Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B ini disyaratkan kepada semua pemaju perumahan sama ada terdiri daripada pemaju swasta, kerajaan atau Anak Syarikat Kerajaan Negeri / Persekutuan.
Di peringkat pemantauan projek pula, Kerajaan Negeri telah menetapkan syarat agar Rumah Selangorku Jenis A dan Jenis B ini di bina terlebih dahulu atau secara serentak dengan Rumah Harga Bebas yang lain.
Untuk makluman Yang Berhormat juga, antara langkah jangka panjang Kerajaan untuk memastikan rakyat golongan B40 memiliki rumah adalah melalui beberapa pendekatan seperti berikut:
i. Skim Smart Sewa
Kerajaan Negeri telah memperkenalkan Skim Smart Sewa dengan objektif utama adalah bagi membantu golongan yang gagal mendapatkan pinjaman perumahan supaya dapat menyewa kediaman yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dengan kadar sewa yang berpatutan berbanding harga pasaran. Mereka ini akan diberi tempoh sewaan minima bagi setiap penyewa adalah selama 2 tahun dan maksima selama 5 tahun. Penyewa akan mendapat pulangan semula 30 peratus daripada jumlah sewaan bersih yang dibayar apabila mereka tidak lagi tinggal di unit berkenaan dalam tempoh 2 tahun hingga 5 tahun. Dengan pengembalian sebanyak 30 peratus wang sewaan bersih kepada pemohon maka wang tersebut boleh dijadikan sebagai wang pendahuluan dalam pembelian Rumah Selangorku pada masa akan datang. Kerajaan Negeri melalui LPHS akan memberikan keutamaan dalam penawaran kepada pemohon berkenaan untuk ditawarkan mana-mana projek Rumah Selangorku sedia ada sekiranya terdapat kekosongan unit dengan pemohon memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan. Sehingga kini, sebanyak 341 unit rumah telah disewakan dengan kadar sewaan bermula daripada RM450.00 sebulan sehingga RM700.00 sebulan. Memandangkan Skim Smart Sewa ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan millennials, Kerajaan Negeri pada tahun 2019 telah meneruskan pembiayaan Skim Smart Sewa dengan memperuntukkan dana sebanyak RM50 juta untuk membeli unit-unit Rumah Selangorku sebanyak 301 unit.
ii. Skim Dana Sel
Bagi kes golongan yang tidak layak mendapatkan pinjaman bank, Kerajaan Negeri telah menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Selangorku (Dana-Sel) yang berkonsepkan sewa dan milik bagi membantu golongan ini membeli Rumah Selangorku Jenis A. Kerajaan Negeri melalui anak syarikat LPHS iaitu syarikat Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn. Bhd. (PHSSB) menguruskan skim ini melalui kaedah pembiayaan yang merupakan satu bentuk penyewaan jangka panjang bagi membolehkan pemohon bertukar status daripada penyewa kepada pemilik rumah dalam tempoh yang telah dipersetujui dengan mematuhi semua terma-terma Perjanjian Penyewaan dan Pemilikan. Skim ini akan dipertimbangkan untuk diperluaskan lagi pada masa akan datang agar ianya dapat membantu lebih ramai golongan B40 untuk memiliki kediaman.
