Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

49) PROGRAM BLUEPRINT PEMBASMIAN KEMISKINAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Rozana Binti Zainal Abidin

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan jumlah terkini penerima bantuan tersebut mengikut DUN dan nyatakan jumlah penerima bantuan yang gagal mencapai tahap yang ditetapkan Kerajaan Negeri?

    Sepertimana semua sedia maklum, Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan merupakan salah satu daripada usaha Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Program ini bertujuan untuk meningkatkan taraf ekonomi melalui penjanaan/ peningkatan pendapatan bagi golongan masyarakat/ individu yang berpendapatan di bawah RM1,500.00 sebulan atau pendapatan seisi rumah di bawah RM3,000.00 terutamanya melibatkan peniaga-peniaga kecil menerusi pemberian bantuan peralatan/ mesin berdasarkan perusahaan yang sedang dijalankan.

     

    Program Bantuan Blueprint Pembasmian Kemiskinan adalah program bantuan yang dilaksanakan mengikut daerah di mana borang permohonan perlu dikemukakan ke Pejabat Daerah/ Tanah untuk diproses. Berdasarkan rekod, jumlah permohonan yang diluluskan dan telah berjaya menerima mesin/ peralatan bagi tahun 2019 adalah seramai 422 orang. Ia melibatkan peruntukan yang telah disalurkan ke sembilan buah daerah sebanyak RM1,613,750.00 (Satu Juta, Enam Ratus Tiga Belas Ribu, Tujuh Ratus Lima Puluh Ringgit).

     

     

    Manakala jumlah penerima bantuan yang lulus dan gagal bagi  tahun 2019 mengikut daerah adalah seperti berikut :-

     

    BIL. DAERAH JUMLAH PERMOHONAN LULUS JUMLAH PERMOHONAN GAGAL JUMLAH KESELURUHAN PEMOHON
    1 GOMBAK 20 24 44
    2 HULU SELANGOR 46 20 66
    3 KUALA LANGAT 58 21 79
    4 HULU LANGAT 48 32 80
    5 KLANG 32 7 39
    6 KUALA SELANGOR 29 13 42
    7 PETALING 16 5 21
    8 SABAK BERNAM 75 46 121
    9 SEPANG 98 32 130
    JUMLAH 422 200  
    JUMLAH KESELURUHAN  PERMOHONAN 622

     

    Sumber : Database, Seksyen Sektoral UPEN sehingga Oktober 2019

Lampiran

Tiada Lampiran.