PROGRAM JOM SHOPPING
68) PROGRAM JOM SHOPPING
Tahun:
Sesi:
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Lai Wai Chong
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah ada cadangan Kerajaan Negeri untuk meningkatkan agihan dan nilai Program Jom Shopping?
Program Pemberian Bantuan Secara Baucar untuk Rakyat Miskin Bersempena Perayaan atau lebih dikenali sebagai Program Jom Shopping merupakan program bantuan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri secara tahunan sejak tahun 2012 melalui Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi. Ianya merupakan program bantuan bersempena tiga (3) perayaan utama iaitu Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali di mana setiap keluarga yang kurang berkemampuan akan membuat pembelian barangan keperluan bernilai RM100 di pasar raya terpilih. Objektif program ini adalah untuk meringankan bebanan keluarga yang kurang berkemampuan dalam membuat persiapan menyambut perayaan. Dengan peruntukan berjumlah RM8.4 juta dan sasaran tahunan seramai 84,000 orang penerima manfaat, program ini merupakan salah satu daripada empat puluh dua (42) Program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang mengutamakan kebajikan rakyat serta memberikan kesan langsung terhadap kesejahteraan hidup rakyat Negeri Selangor.
Dalam memastikan rakyat terutamanya golongan kurang berkemampuan sentiasa mendapat manfaat serta terus menikmati kemakmuran dan kesejahteraan, Kerajaan Negeri menyambut baik serta mengalu-alukan sebarang syor atau cadangan dalam meringankan bebanan golongan yang kurang berkemampuan. Justeru itu, Kerajaan Negeri mengambil perhatian akan cadangan meningkatkan agihan dan menaikkan nilai baucar. Untuk makluman, jumlah perbelanjaan tahunan bagi program ini melibatkan perbelanjaan yang tinggi.
Sebagai contoh, bagi tahun 2017 sahaja, jumlah perbelanjaan dengan nilai RM100 per baucar adalah sebanyak RM8,311,000.00. Berdasarkan rekod, jumlah perbelanjaan bagi program ini sejak ianya mula dilaksanakan pada tahun 2012 sehingga 14 November 2018 adalah sebanyak RM46,873,700.00. Selain itu, Kerajaan Negeri juga telah memperkenalkan program-program bantuan lain seperti Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) pada tahun 2018, di mana setiap keluarga menerima bantuan makanan asas sebanyak RM2,400 setahun atau RM200 sebulan melalui pembelian di pasaraya dan kedai runcit terpilih. Program tersebut turut melibatkan peruntukan yang tinggi iaitu berjumlah RM96,000,000.00.
Oleh yang demikian, cadangan untuk meningkatkan agihan dan menaikkan nilai setiap baucar ini dijangka akan melibatkan implikasi kos yang lebih tinggi serta ianya dilihat perlu diteliti semula secara terperinci bagi melihat jangkaan impak dan kesan pelaksanaannya.
