Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

40) PROGRAM MERAKYATKAN EKONOMI SELANGOR

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Bilakah akan dilaksanakan pemberian bantuan terus kepada warga emas semasa hayat daripada Skim Mesra Usia Emas (SMUE)?

    Kerajaan Negeri amat prihatin dan mengambil berat akan kebajikan warga emas di Negeri Selangor. Melalui Program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2008, program ini lebih tertumpu bagi meringankan bebanan waris bagi menguruskan perihal jenazah warga emas selepas kematian mereka. Namun demikian, atas dasar keprihatinan dan kasih sayang Kerajaan Negeri, maka penambahbaikan program sedang dirangka bagi membolehkan warga emas di Negeri Selangor menikmati dan menerima manfaat menerusi program Skim Mesra Usia Emas (SMUE) semasa ada hayat mereka.

    Seperti yang telah dinyatakan pada sesi Sidang Dewan Negeri Selangor sebelum ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk memberikan manfaat RM100.00 sekali untuk 5 kali shopping kepada setiap Ahli SMUE yang berdaftar. Kerajaan Negeri juga berharap ia dapat dilaksanakan pada tahun hadapan setelah perkara-perkara yang berkaitan dapat diselesaikan.

    Kerajaan Negeri telah menerima cadangan untuk nilai RM100.00 itu diberikan dalam bentuk program Jom Shopping. Selain dapat mengurangkan tekanan akibat sindrom “empty bird nest”, program ini juga mampu menimbulkan suasana keceriaan, memberikan ruang dan peluang untuk mereka saling berinteraksi, membuat keputusan dan pilihan sendiri untuk memiliki barangan yang dihajati, malahan ia juga dapat mengeratkan hubungan di  antara pemimpin dengan rakyat di satu-satu kawasan.

    Oleh kerana terdapatnya penambahbaikan dan beberapa pengubahsuaian yang perlu dilakukan termasuk yang melibatkan perkara berkaitan prosedur kewangan, ia tidaklah dapat dilaksanakan pada ketika ini.

    Jumlah manfaat yang dicadangkan ini akan diambil daripada jumlah asal wang manfaat SMUE yang berjumlah RM2500.00 yang ketika ini diserahkan dalam dua fasa yang berlainan. Wang tersebut adalah wang yang berada dalam satu tabung amanah yang dikhususkan bagi membayar manfaat berupa khairat kematian apabila ahli SMUE yang berdaftar telah meninggal dunia. Maka apabila ia mahu digunakan bagi tujuan yang lain, sudah tentu sedikit penyesuaian dalam prosedur kewangan perlulah dilakukan.

Lampiran

Tiada Lampiran.