Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

97) PROJEK AGROTEK TERNAKAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Zakaria Bin Hanafi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Nyatakan hasil projek penternakan dari projek agrotek penternakan yang menggunakan baka yang baik?

    Projek agrotek penternakan di negeri ini dilaksanakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Penternakan (TKPM) Penternakan yang diselia oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Selangor (DVS Selangor) dan TKPM Pertanian yang mempunyai komponen penternakan yang diselia pula oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Secara keseluruhannya, terdapat 6 TKPM Penternakan dan 4 TKPM Pertanian yang mempunyai komponen penternakan di seluruh Negeri Selangor dengan 56 peserta yang menternak Lembu Pedaging, Lembu Tenusu, Kambing Pedaging, Kambing Tenusu, Ayam Pedaging dan menanam rumput atau foder.  Secara khusus pula, terdapat 1 TKPM Penternakan di DUN Semenyih iaitu TKPM Hulu Semenyih dengan 3 peserta yang menternak lembu tenusu iaitu:

    1. Jaspal Singh a/l Sadara Singh             –     55 ekor lembu tenusu
    2. Naim Hamayon –     50 ekor lembu tenusu
    • Sugenthiran a/l Rajan                         –     70 ekor lembu tenusu

    Bagi menjawab pertanyaan ini, DVS Selangor telah menyenarai pendek beberapa projek di TKPM Penternakan yang dikenalpasti menggunakan baka yang baik iaitu:

    1. projek lembu tenusu yang menggunakan baka kacukan Jersey Freisian dan kacukan Freisian Sahiwal, dan
    2. projek kambing tenusu yang menggunakan baka tulin Saanen.

    Hasil daripada projek TKPM Penternakan yang menggunakan baka yang baik adalah:

    1. pengeluaran susu yang tinggi bagi penternakan tenusu,
    2. kadar kelahiran tahunan yang tinggi

    Namun, pencapaian yang baik ini juga tertakluk kepada faktor-faktor lain seperti kaedah penjagaan, tahap kesihatan dan pemakanan ternakan.

Lampiran

Tiada Lampiran.