PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI
133) PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI
Tahun:
Sesi:
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah masalah sebenar yang dihadapi oleh pemaju bagi Projek Taman Sungai Yu Indah, Kampung Sungai Yu sehingga pembeli merana menunggu sekian lama?
Untuk makluman Yang Berhormat, Taman Sungai Yu Indah mempunyai 100%
pembangunan Perumahan Teres Kos Rendah. Pada awal perancangan
pembangunan, pemaju bersedia untuk membangunkan keseluruhan pembangunan
499 unit Rumah Teres Kos Rendah dan 11 unit kedai ini tanpa berfasa.
Namun begitu setelah penjualan dibuat pemaju menghadapi pelbagai masalah. Di
antara masalah tersebut ialah ada pembeli tidak layak untuk membuat pinjaman dan
sesetengah pembeli mengambil langkah tunggu dan lihat iaitu dengan hanya
membayar 10% dan tidak meneruskan pembayaran sehingga projek benar-benar
berjaya. Ini menyebabkan pemaju mempunyai masalah aliran tunai dalam
meneruskan projek ini.
Kesulitan ini ditambah dengan kelembapan jualan dan kekurangan pembeli. Pemaju
terpaksa menyiapkan kerja-kerja infrastruktur dahulu seperti pembersihan dan
meratakan tapak serta penyediaan jalan masuk yang sempurna bagi menarik
perhatian pembeli seterusnya untuk meningkatkan jualan. Namun usaha yang
dijalankan gagal menarik perhatian orang ramai.
Sehubungan dengan itu, pemaju terpaksa memecahkan cadangan pembangunan
kepada dua fasa. Cadangan Fasa 1 meliputi 227 unit Rumah Teres Kos Rendah dan
11 unit kedai manakala Fasa 2 meliputi pembangunan 272 unit Rumah Teres Kos
Rendah. Di dalam usaha untuk menyiapkan pembangunan agar tidak terbengkalai,
pemaju cuba untuk menyiapkan dahulu Fasa 1 dan kesemua 49 pembeli di Fasa 2
cuba dipindahkan ke Fasa 1.
Sambutan yang diterima juga tidak memberangsangkan. Ada di antara pembeli Fasa
2 tidak mahu menukar unit ke Fasa 1 malah ada di antara mereka mahu
membatalkan perjanjian jual beli. Ini memberi tekanan kepada pemaju yang juga
mempunyai masalah pusingan modal mereka.
