PROJEK RUMAH TERBENGKALAI
61) PROJEK RUMAH TERBENGKALAI
Tahun:
Sesi:
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah usaha Kerajaan Negeri bagi membantu memulihkan projek perumahan yang terbengkalai?
Kerajaan Negeri sememangnya amat prihatin ke atas nasib pembeli-pembeli
rumah yang terlibat dengan projek terbengkalai. Walaupun begitu Kerajaan
Negeri hanya boleh mengambil tindakan secara pentadbiran sahaja bagi
membantu pembeli-pembeli tersebut. Beberapa langkah proaktif diambil ke arah
membantu pembeli-pembeli projek terbengkalai tersebut bagi memahami situasi
yang mereka hadapi dan bertindak sebagai pemudah cara dalam menasihati
mereka bagi mengatasi masalah yang dihadapi dalam menyalurkan aduan
tersebut kepada pihak yang berkaitan seperti Kementerian Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (KPKT), bank dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Langkah-langkah lain yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membantu
memulihkan projek terbengkalai adalah seperti berikut :
1) Penubuhan Jawatankuasa Task Force Projek Terbengkalai yang
dipengerusikan oleh Y.B. Saari Sungib ADUN Hulu Kelang di mana
membantu untuk menilai semula sama ada projek terbengkalai tersebut
berdaya maju dan boleh dipulihkan. Setakat ini terdapat 48 buah projek
dalam proses kajian Task Force.
2) Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan
yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang
terlibat di mana persetujuan untuk memulihkan perlu diperoleh daripada
sekurang-kurangnya 85% daripada pembeli.
3) LPHS juga akan mengadakan perbincangan dengan pemaju terbabit
bersama semua jabatan teknikal termasuk pihak bank sekiranya projek
tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan dengan tujuan mempercepatkan
kaedah pemulihan projek dengan mengenakan syarat minima bagi
membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang minima
tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
4) Bagi pemaju yang menghadapi masalah kewangan, LPHS akan mengatur
pertemuan dengan pembiaya-pembiaya bagi melihat pendekatan yang
sesuai dalam membantu pemaju-pemaju menstruktur semula pembiayaan
titian (bridging loan) supaya projek boleh diteruskan. Sekiranya masih gagal
dan terdapat pemaju/kontraktor berwibawa yang berminat memulihkan
projek berkenaan LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan tersebut
kepada KPKT untuk membuat keputusan.
5) Bagi pemaju-pemaju yang sedang dalam proses atau telah digulung,
perbincangan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia akan diaturkan dari
masa ke semasa untuk menyemak sama ada LPHS boleh mencadangkan
mana-mana ‘liquidator’/Pegawai Penerima yang berwibawa bagi
mempercepatkan pemulihan semula projek terbengkalai. Bagi projek-projek
yang telah diletakkan di bawah ‘liquidator’/Pegawai Penerima pula
perbincangan akan dijalankan bersama ‘liquidator’/Pegawai Penerima
terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang
terbengkalai.
6) Bagi projek yang boleh dipulihkan di mana melibatkan kenaikan kos, LPHS
akan melantik Juruukur Bahan untuk menilai semula kos pemulihan projek
tersebut yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu
ditanggung oleh pembeli sekiranya projek itu ingin diteruskan.
7) LPHS juga memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang
boleh diambil oleh pembeli untuk membawa kes ke Kementerian
Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Akta Pemaju
Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan
Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.
