PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS (PAWE)
51) PUSAT AKTIVITI WARGA EMAS (PAWE)
Tahun:
Sesi:
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Puan Jamaliah Binti Jamaluddin
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah kebaikan menukar sesebuah dewan komuniti biasa kepada Pusat Aktiviti Warga Emas? Apakah jenis dana ataupun peruntukan yang akan diperolehi sekiranya PAWE dibuka?
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) merupakan tempat bagi warga emas menjalankan program dan aktiviti harian di dalam komuniti. Ianya merupakan satu perkhidmatan bercorak pendampingan sosial dan pembangunan warga emas yang melibatkan kerjasama strategik antara agensi kerajaan, Pertubuhan Bukan Kerajaan dan komuniti setempat.
Kriteria penubuhan sesebuah PAWE adalah perlu mengambil kira perkara-perkara berikut:
- Bilangan warga emas yang ramai dan berminat untuk menjalankan aktiviti di dalam sesebuah komuniti;
- Lokasi premis yang strategik dan mudah diakses oleh warga emas dan orang awam. Ianya juga biasanya berhampiran dengan kemudahan awam;
- Premis yang dipilih hendaklah mesra warga emas dan sesuai dengan program dan aktiviti yang hendak dijalankan seperti bangunan kerajaan, premis swasta, kuarters, balairaya dan sebagainya;
- Komuniti penggerak yang mempunyai minat dan komitmen dalam mengendalikan warga emas seperti Pertubuhan Bukan Kerajaan, persatuan, komuniti setempat atau agensi swasta yang akan menjadi tulang belakang terhadap pelaksanaan PAWE; dan
- Mendapat sokongan terlebih dahulu daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat/ Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri bagi membolehkan proses permohonan dibuat.
Permohonan penubuhan PAWE sekiranya diluluskan oleh Ibu Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat bakal menerima geran penubuhan untuk pembaikian premis dan pembelian peralatan sebanyak RM80,000 secara one-off dan geran pengoperasian sebanyak RM33,330 untuk tempoh 12 bulan. Sehubungan dengan itu, jika bangunan dewan komuniti ditukar kepada PAWE akan dapat dibaik pulih untuk kegunaan warga emas dan komuniti.
Pertubuhan/ Persatuan/ Kelab atau mana-mana organisasi PAWE perlu menandatangani Perjanjian Bantuan Kewangan Pengoperasian PAWE bagi memastikan pengurusan kewangan dikendalikan mengikut tatacara dan mekanisme pelaporan yang telah ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
