Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

163) PUSAT JAGAAN WARGA EMAS

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah Pusat-pusat Jagaan Warga Emas yang beroperasi seluruh Selangor berdaftar dan memenuhi piawaian yang ditetapkan?

    Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sentiasa komited dalam memastikan pengoperasian pusat-pusat jagaan khususnya pusat jagaan warga emas adalah mematuhi garis panduan sepertimana yang ditetapkan di dalam Akta Pusat Jagaan 1993 [Akta 506] dan Peraturan- Peraturan Pusat Jagaan 1994 [P.U. (A) 248/1994].

     

    Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, berdasarkan kepada rekod pendaftaran pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, sehingga September 2015 terdapat sebanyak 64 buah pusat jagaan kategori warga emas yang telah berdaftar di bawah Akta Pusat Jagaan 1993 daripada sejumlah 463 pusat jagaan yang berdaftar. Semua pusat jagaan yang telah berdaftar ini telah disyaratkan untuk memenuhi piawaian dan standard minima yang ditetapkan oleh JKM serta mendapat sokongan dan kelulusan daripada agensi teknikal iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Kesihatan sebelum perakuan pendaftaran dikeluarkan kepada mereka.

    Piawaian standard minimum yang ditetapkan oleh pihak Jabatan adalah seperti berikut:

    1. Nisbah penjaga dengan penghuni : Warga emas

    Warga emas = 1 : 18

     

    Warga emas berpenyakit / terlantar = 1 : 4

     

    • Penjaga warganegara atau bukan mestilah berumur 18 tahun ke atas;
    • Mematuhi nisbah penghuni dengan ruang lantai iaitu :
      1. Warga emas adalah 3.0 meter persegi;
    • Menyediakan dan mempamerkan jadual menu makanan yang seimbang dan jadual aktiviti mengikut peringkat umur dan keperluan penghuni;
    • Pusat jagaan hendaklah mempunyai kemudahan, peralatan dan perabot yang sesuai, selamat dan mencukupi bagi keperluan penghuni;
    • Menyedia dan menyelenggara rekod-rekod di pusat jagaan; dan
    • Menjaga kebersihan dan keselamatan di dalam dan luar premis Pusat jagaan.

     

    Dalam memastikan pengendali-pengendali pusat jagaan ini sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan, pihak JKM menerusi Pegawai Diberi Kuasa Pusat Jagaan (PDBK) Daerah dengan dibantu oleh agensi teknikal akan melakukan pemeriksaan berkala ke premis sekurang-kurangnya dua kali setahun. Tindakan penguatkuasaan seperti kompaun, arahan bertulis, arahan tutup, pendakwaan serta pembatalan pendaftaran akan dikenakan kepada pengendali pusat jagaan yang didapati melanggar peraturan yang ditetapkan sepertimana yang termaktub di dalam Akta Pusat Jagaan 1993.

    Walau bagaimanapun, berdasarkan kepada pemerhatian dan pemantauan yang dijalankan mendapati masih terdapat pusat-pusat jagaan termasuk pusat jagaan warga emas yang belum berdaftar dengan pihak JKM. Sehingga September 2015, dianggarkan sebanyak 152 buah pusat jagaan di Negeri Selangor masih belum berdaftar atas pelbagai sebab. Antara sebab-sebab utama yang dikenalpasti adalah kerana tidak mendapat sokongan kelulusan daripada agensi teknikal disebabkan oleh status tanah / bangunan, mendapat bantahan daripada jiran-jiran bagi pusat jagaan yang dibuka di kawasan kediaman dan tidak memenuhi kriteria untuk didaftarkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993.

    Dalam menangani isu kewujudan pusat-pusat jagaan tidak berdaftar ini, Kerajaan Negeri menerusi JKM telah mengambil langkah-langkah yang bersesuaian bagi memastikan pengendali-pengendali pusat jagaan mendaftarkan premis mereka. Antara usaha yang dibuat adalah melaksanakan program pemutihan pusat-pusat jagaan tidak berdaftar yang dilaksanakan di daerah-daerah yang telah dikenalpasti mempunyai bilangan pusat jagaan tidak berdaftar yang tinggi. Hasil daripada program pemutihan ini, bilangan pusat jagaan tidak berdaftar telah berjaya diturunkan sebanyak 53% iaitu daripada 323 buah pusat jagaan tidak berdaftar pada Januari 2015 kepada 152 buah pusat jagaan yang tidak berdaftar sehingga September

     

    1. Menerusi program pemutihan ini, semua pengendali pusat jagaan yang tidak berdaftar telah dipanggil dan diberikan penerangan berkenaan keperluan untuk mendaftarkan premis mereka.

    Selain daripada itu, Kerajaan Negeri menerusi JKM juga telah melaksanakan aktiviti advokasi menerusi Program Jom Daftar TASKA dan Pusat Jagaan Peringkat Negeri Selangor yang melibatkan seramai 200 orang peserta yang terdiri daripada pengendali-pengendali TASKA dan pusat jagaan. Program ini telah dilaksanakan pada 17 Oktober 2015 di Kompleks Penyayang Bakti, Sungai Buloh. Antara objektif program ini diadakan adalah bagi mewujudkan kesedaran kepada pengendali-pengendali pusat jagaan agar mendaftarkan pusat jagaan mereka dengan pihak Jabatan.

    Di samping aktiviti advokasi yang dijalankan, Kerajaan Negeri menerusi JKM juga telah menjalankan dengan izin, Mesyuarat “One Stop Centre” (OSC) TASKA dan Pusat Jagaan di peringkat negeri dan juga daerah. Mesyuarat ini diadakan adalah bertujuan untuk menyelaraskan permasalahan- permasalahan yang timbul berkaitan pendaftaran pusat-pusat jagaan antara agensi-agensi teknikal yang terlibat dengan pihak JKM. Sehingga September 2015, sebanyak 8 kali mesyuarat penyelarasan telah dijalankan.

    Usaha lain yang dijalankan oleh pihak JKM adalah menerusi tindakan penguatkuasaan terhadap pusat-pusat jagaan tidak berdaftar. Antara tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil terhadap pusat jagaan tidak berdaftar ini adalah tindakan Lak, kompaun dan pendakwaan seperti diperuntukkan di bawah Akta Pusat Jagaan 1993. Setakat September 2015, sebanyak 4 buah pusat jagaan telah diambil tindakan penguatkuasaan iaitu sebuah pusat jagaan dikenakan tindakan kompaun dan 3 buah pusat jagaan dikenakan tindakan Lak atas kesalahan tidak berdaftar seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 5, Akta 506. Tindakan penguatkuasaan ini merupakan langkah terakhir yang boleh diambil oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada pengendali-pengendali yang masih berdegil untuk mendaftarkan pusat jagaan mereka setelah diberikan peringatan dan tempoh masa yang mencukupi

Lampiran

Tiada Lampiran.