Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

1) PUSAT SANTUARI KELIP-KELIP KG KUANTAN

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Pelancongan

Adun: Y.B. Puan Juwairiya Binti Zulkifli

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Adakah terdapat kajian baharu bagi kelangsungan hidup habitat kelip-kelip di Kg Kuantan? Sila huraikan kajian dan dapatan tersebut.

    FRIM merupakan satu agensi yang bertanggungjawab untuk memantau populasi kelip-kelip setiap bulan dengan menggunakan kaedah fotografi malam yang mesra alam di tujuh lokasi merangkumi 1.6 kilometer sepanjang Sungai Selangor antara Tanjung Labak dan Kampung Sepakat di kawasan yang telah diwartakan seluas lebih 1000 hektar di sepanjang Sungai Selangor sebagai zon perlindungan kelip-kelip pada 2009.

    Berikut tindakan ini, di peringkat Majlis Daerah Kuala Selangor bagi memastikan kelangsungan habitat kelip-kelip sentiasa terpelihara adalah dengan menggalakkan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat daripada pelbagai pihak secara sukarela yang ingin menyumbang tenaga dan masa mereka dalam aktiviti seperti penanaman semula pokok serta pembersihan sungai secara berterusan kerana komposisi tumbuhan di Kampung Kuantan perlu diperkayakan dengan penanaman lebih banyak pokok seperti pokok sagu, berembang dan nipah untuk memastikan kelestarian populasi kelip-kelip. Ianya merupakan satu inisiatif yang berterusan bagi memastikan habitat dan populasi kelip-kelip di Kampung Kuantan sentiasa terpelihara dari semasa ke semasa sekali gus memberi kesedaran kepada semua peringkat umur masa kini tentang kebaikan dan keperluan dalam menjaga flora dan fauna untuk kegunaan generasi akan datang.

    Selain itu, usahasama antara MDKS dengan pihak Tenaga Nasional Berhad juga turut diperuntukkan sejumlah kos yang ditaja sepenuhnya oleh pihak TNB dengan tujuan utama untuk menjalankan pengajian khas berkaitan habitat kelip-kelip yang dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar daripada universiti tempatan yang mempunyai kepakaran untuk membantu memulihara populasi kelip-kelip melalui pemuliharaan ekosistem yang menyokong kitaran hidup kelip-kelip serta kelestarian sumber makanannya. Hasil dan dapatan yang diperolehi bermula 2016 sehingga 2019 adalah tiada penurunan jumlah habitat kelip-kelip yang ketara kerana kitaran hidup kelip-kelip masih terkawal dengan keadaan persekitaran yang sentiasa terpelihara dengan baik.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.