PUSAT WANITA BERDAYA (PWB)

202) PUSAT WANITA BERDAYA (PWB)

Tahun:

Sesi:

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Wong Siew Ki

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Selain daripada aspek ekonomi, adakah Kerajaan Selangor merancang memberi skop perkhidmatan yang lebih luas kepada PWB seperti mengadakan latihan cara mengatasi masalah-masalah jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak kepada penyelia PWB dan menjadikan mereka satu koordinator di antara rakyat dan kerajaan?

    Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Pusat Wanita Berdaya (PWB) merupakan platform utama wanita di Negeri Selangor untuk mendapatkan latihan pengupayaan, baik dari aspek kepimpinan, pemberdayaan ekonomi mahupun kemahiran asas sebagai persediaan untuk mereka ini diangkat ke tahap yang lebih tinggi, iaitu menjadi pemimpin di peringkat komuniti, daerah mahupun negeri. Kerajaan Negeri Selangor terus komited untuk memperkasa wanita di Negeri Selangor melalui platform PWB ini yang akan memasuki tahun ke-empat (4)

    Justeru pada sesi kali ini, Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan Wanita dan Keluarga telah melancarkan slogan “Wanita Berdaya, Wanita Berdikari” bagi tujuan pemerkasaan PWB. Pihak Pengurusan PWB akan memastikan setiap PWB DUN menjalankan program-program yang merangkumi kesemua 10 fokus yang telah digariskan iaitu Perundangan, Kepimpinan & Pendemokrasian, Urustadbir baik, Ekonomi, Pembangunan Keluarga, Kesihatan Keluarga, Keusahawanan, Latihan Gender, Alam Sekitar & Kepenggunaan dan Keselamatan Keluarga.

    Untuk maklumat Ahli Yang Berhormat, PWB dengan kerjasama Institut Wanita Berdaya (IWB) juga telah membangunkan 19 modul Program-program Umum PWB yang telah dibahagikan kepada 2 kategori iaitu; i.) Program Pembangunan Kapasiti dan ii.) Program-program Kemahiran yang meliputi kategori seperti berikut;

    i)Program Pembangunan Kapasiti:

    • Pendemokrasian & Hak rakyat (Pengundi wanita)
    • Gender
    • Urustadbir baik (Good Governance)
    • Wanita & Perundangan
    • Alam Sekitar & Kepenggunaan
    • Kesihatan Keluarga
    • Pembangunan & Keselamatan Keluarga
    • Asas Keusahawanan
    • Asas Pelaburan & Pengurusan Kewangan

    ii)Program-program Kemahiran:

    • Seni kraftangan
    • Rekabentuk dalaman
    • Laman tani dan landskap
    • Industri makanan dan minuman (mass produce)
    • Program 3R (Reduce, Reuse, Recycle)
    • Gaya hidup sihat
    • Penyelenggaraan automobil
    • Teknologi maklumat
    • Seni & budaya
    • Seni pertahanan diri

    Bagi menjawab persoalan Ahli Yang Berhormat, untuk program latihan cara mengatasi masalah-masalah jenayah terhadap wanita dan kanak-kanak telah terangkum dalam modul Program-program Kemahiran ini. Selain itu, PWB juga telah berkerjasama dengan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Selangor dalam Program Seminar Wanita Anti Jenayah (WAJA) yang telah diadakan pada  9 Oktober 2018 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), di mana lebih 200 orang peserta PWB telah menyertai seminar ini.

    Suka juga untuk saya mengambil kesempatan ini dengan merujuk kepada ucapan Yang Berhormat Menteri Kewangan di Dewan Rakyat pada pembentangan Bajet 2019 yang lepas di mana Kerajaan Pakatan Harapan komited ke arah meningkatkan penglibatan wanita di peringkat kepimpinan selaras dengan sasaran 30% daripada pembuat dasar dan keputusan. Justeru, PWB pada sesi kali ini telah merangka modul untuk Program-program Khusus Wanita Berdaya Selangor (WBS) yang mensasarkan perserta-perserta terpilih daripada sesi Program- program umum PWB dari setiap DUN. Program-program khusus WBS ini merangkumi modul Kepimpinan, Pengucapan Awam, Pengurusan, Kewangan, Integriti, Latihan Fizikal, Pendidikan Politik dan Pembangunan Sosial. Di akhir program ini, para perserta akan melalui proses penilaian berdasarkan penglibatan mereka sepanjang modul dilaksanakan dan akan dianugerahkan Sijil Wanita Berdaya Selangor daripada Kerajaan Negeri.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.