RUMAH MAMPU MILIK DI SELANGOR
79) RUMAH MAMPU MILIK DI SELANGOR
Tahun:
Sesi:
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk memastikan bahawa harga rumah tidak melambung terlalu tinggi dan ianya masih mampu dimiliki oleh kebanyakan warga Selangor?
Untuk makluman Yang Berhormat, antara faktor utama yang dikenal pasti sebagai penyebab kepada kenaikan harga rumah adalah nilai tanah sesuatu projek, peningkatan harga barang pembinaan serta kos penyediaan infrastruktur. Kenaikan harga rumah ini akan terus berlaku selagi kos-kos ini tidak dikawal.
Memandangkan kuasa yang ada pada Kerajaan Negeri berkaitan dengan perumahan ini adalah terhad, langkah yang boleh diambil oleh Kerajaan Negeri adalah dengan mengawal harga rumah-rumah mampu milik seperti Rumah Kos Rendah yang dijual pada harga tidak melebihi RM42,000.00 seunit, Rumah Kos Sederhana Rendah tidak melebihi RM72,000.00 seunit dan Rumah Kos Sederhana tidak melebihi RM100,000.00 seunit.
Untuk memastikan rumah-rumah ini berada di pasaran, Kerajaan Negeri telah menetapkan pembangunan tanah yang melebihi 10 ekar dalam kawasan Lembah Klang akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 20% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana manakala kawasan di Luar Lembah Klang pula akan dikenakan syarat pembinaan 20% Rumah Kos Rendah, 10% Rumah Kos Sederhana Rendah dan 10% Rumah Kos Sederhana. Manakala bagi pembangunan yang kurang daripada 10 ekar (2 hingga kurang 10 ekar) pula, syarat penyediaan 30% rumah kos sederhana akan dikenakan bagi kawasan dalam Lembah Klang.
