Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

64) SENIMAN DAN KARYAWAN JALANAN

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Adat Istiadat & Warisan

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah pendirian Kerajaan terhadap rakyat Selangor yang bergiat dalam seni jalanan di sekitar Kuala Lumpur?

    a), b) dan c)

     

    Kegiatan seniman jalanan, pemuzik jalanan atau dikenali sebagai Busker, kini bukan lagi suatu stigma ke atas kumpulan ini. Busker sebelum ini dilihat sebagai satu kegiatan kurang sihat, lebih daripada itu dilihat sebagai kaedah lain mengutip sedekah. Namun hari ini, keadaannya berbeza. Busker bukan lagi semata-mata mahu mengumpul upah dari bermain di jalanan sebaliknya Busker kini mempunyai matlamat yang lebih daripada itu.

    Kegiatan Busker Jalanan di kota-kota besar kini sudah menjadi satu trend bagi kehidupan masyarakat kosmopolitan. Busker menyanyikan lagu dan muzik yang mampu menyedarkan masyarakat melalui pendekatan yang tersendiri. Selain daripada hiburan, lagu-lagu Busker turut menerapkan elemen nasihat, cinta dan masyarakat. Muzik mereka adalah muzik berjiwa rakyat yang mana, ia harus dihargai oleh kita, baik sebagai masyarakat mahupun pihak kerajaan.

    KESAN DAN PERANAN

     

    Kemajuan teknologi dan kompleksiti gaya hidup masyarakat pada hari ini telah menjadikan Busker menyesuaikan peranan mereka dalam menghibur masyarakat secara langsung di jalanan. Mengambil contoh di kota-kota utama dunia seperti New York, Busker-busker di sana menyanyikan lagu-lagu rakyat yang meliputi gaya hidup masyarakat di sana, mempunyai unsur jenaka, kritik sosial dan juga nasihat. Ini juga yang berlaku di negara-negara Scandinavia seperti Norway dan Sweden yang mana mereka ini digelarkan sebagai “Penghibur Jalanan”.

     

    Penghibur Jalanan ini bukanlah penghibur murahan sebaliknya mereka adalah artis yang berkemahiran tinggi, berpengetahuan namun memilih untuk menjadi penghibur jalanan yakni menghibur secara dekat dan langsung dengan penghayat ( masyarakat ).

    Penghibur-penghibur jalanan ini telah diiktiraf oleh Kerajaan Tempatan atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mereka sebagai profesional, dan penghibur- penghibur ini adalah berdaftar dengan PBT kawasan tersebut. Lokasi-lokasi, jadual serta masa untuk persembahan mereka turut ditetapkan dan diurus secara cekap dan sesuai.

     

     

    PERLAKSANAAN

     

    Mengambil daripada contoh tersebut, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan akan mengadakan perbincangan dan penyelarasan dengan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri untuk memastikan perkembangan budaya kreatif ini tidak terencat serta pada masa yang sama kebajikan semua pihak dan tanggungjawab PBT yang berkaitan terpelihara. Pelaksanaan, kaedah pemantauan dan tarif fi persembahan adalah antara perkara yang akan dibincangkan kelak dan akan diselaraskan di semua PBT dalam Negeri Selangor

    Pada masa yang sama, buat pengetahuan sidang Dewan, terdapat PBT yang telah mengambil langkah proaktif terhadap golong Busker ini dan  di  antaranya adalah Majlis Perbandaran Subang Jaya yang telah membuat kerjasama dengan Malaysian Busker Club (MyBC) melalui cadangan tempat untuk pihak MyBC membuat persembahan di pusat membeli-belah seperti di Mydin USJ, The Summit Shoping Mall USJ dan One City Mall, USJ 25. Pihak MyBC bertanggung jawab bagi menyediakan persembahan seni jalanan yang berkualiti dan memantau segala bentuk aktiviti persembahan seni jalanan dengan persetujuan pihak pusat beli-belah.

    Pihak MPSJ juga turut menyediakan beberapa pertandingan berkaitan dengan persembahan Busker bagi mencungkil dan mengiktiraf bakat yang ada pada seniman dan karyawan jalanan yang ada. Antara pertandingan yang pernah dianjurkan oleh pihak MPSJ adalah seperti Pertandingan Unplugged MPSJ, Pertandingan Muzik Kitar Semula dan Rentak Buskers MPSJ.

    Selain itu, pihak MPSJ telah bercadang untuk memberi peluang dari segi lokasi dan bayaran sagu hati bagi setiap persembahan Buskers yang dibuat di Program Nite Walk 3C yang bertempat di Kompleks 3C, Subang Jaya yang bakal menjadi daya tarikan baru kepada pelancong dan penduduk Subang Jaya dan Bandar Sunway. Dengan adanya program seperti ini, Buskers yang berdaftar dengan MyBC akan diberi peluang untuk menyerlahkan bakat

     

    mereka sambil mendapat sedikit pendapatan daripada sumbangan daripada penonton dan bayaran sagu hati daripada pihak MPSJ.

    Jawatankuasa Tetap Kebudayaan juga telah mengambil langkah dengan menjalinkan kerjasama bersama SACC Mall dan telah mengenal pasti beberapa buah lokasi yang sesuai untuk dijadikan sudut Buskers bagi memberi peluang dan ruang untuk mereka berkarya. Usaha ini sedang digerakkan yang mana Jawatankuasa Tetap Kebudayaan sedang mengumpul data-data seniman sekitar Shah Alam dan Busker-busker yang berminat untuk menjalankan aktiviti mereka di lokasi yang dicadangkan.

    Mengambil daripada contoh-contoh tersebut, Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Kebudayaan akan mengadakan perbincangan dan penyelarasan dengan Pihak Berkuasa Tempatan di seluruh negeri untuk memastikan perkembangan budaya kreatif ini tidak terencat serta pada masa yang sama kebajikan semua pihak dan tanggungjawab PBT yang berkaitan terpelihara. Pelaksanaan, kaedah pemantauan dan tarif fi persembahan adalah antara perkara yang akan dibincangkan kelak dan akan diselaraskan di semua PBT dalam Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, bagi pihak Kerajaan Negeri, kita tidak merancang untuk mengenakan apa-apa bayaran daripada Penghibur Jalanan ini, sebaliknya pihak kerajaan menerusi agensi terbabit akan membantu mempromosikan kegiatan mereka.

    Selain daripada itu, kerajaan negeri berhasrat untuk mengumpul butiran maklumat penghibur jalanan yang berada di seluruh Negeri Selangor untuk direkodkan agar ia dapat membantu bagi tujuan perancangan dan pembangunan pada masa akan datang. Dengan data ini juga kita akan dapat mengenal pasti jumlah kutipan atau jualan persembahan mereka, waktu-waktu yang sesuai untuk persembahan dan yang seumpamanya. Ini pastinya akan dapat memastikan keperluan kumpulan ini dibantu atau dilengkapkan.

Lampiran

Tiada Lampiran.