Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2015

30 Oktober 2015, 02 November - 06 November 2015 dan 11 November - 13 November 2015

95) TINDAKAN MENGATASI PENCEMARAN AIR

Tahun: 2015

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Datuk Haji Johan Bin Abdul Aziz

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sejauh mana dan apakah tindakan mengatasi pencemaran air telah dilaksanakan oleh agensi berkaitan seperti mana yang dicadangkan dalam kertas Bil 37/2015?

    Berdasarkan Kertas Bil 37/2015 iaitu Penyata Oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Pengurusan Sumber Air Mentah (JPK-SAM) Negeri Selangor Berhubung Pengurusan Air Negeri Selangor (Kualiti) : Kaedah Menangani Pencemaran Air, semua saranan yang dikemukakan telah diambil tindakan dan sedang dilaksanakan oleh agensi berkaitan, antaranya Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

     

    Bagi cadangan supaya Kerajaan Negeri memastikan LUAS mempunyai perancangan yang lebih menyeluruh bagi mengawal pencemaran di sumber air mentah, perkara pengawalan pencemaran ini dilaksanakan oleh LUAS berdasarkan kepada Pelan Strategik LUAS 2012-2016. Semakan semula Pelan Strategik ini akan dilaksanakan pada tahun 2016 bagi perancangan 5 tahun seterusnya (2017-2021).

     

    Bagi cadangan supaya Kerajaan Negeri menambah kakitangan kontrak LUAS, buat masa ini LUAS telah membuat pengisian jawatan kosong berdasarkan kelulusan pengukuhan organisasi oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Selain itu, LUAS akan mengemukakan cadangan tambahan jawatan kontrak bagi memperkasakan pemantauan dan penguatkuasaan di lembangan sungai. LUAS juga akan mengemukakan semula cadangan pemantapan organisasi kepada pihak JPA.

     

    Dari aspek perundangan dan penguatkuasaan, pelaksanaan diambil secara bersepadu dan holistik antara agensi berlaitan. Usaha penjagaan dan pemuliharaan sumber air juga dikuatkuasakan melalui jawatankuasa- jawatankuasa yang telah ditubuhkan :

     

    1. Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Sungai,

     

    1. Pasukan Petugas Lembangan Sungai, dan

     

    • Jawatankuasa Kecemasan Pencemaran Sumber

     

    Kerajaan Negeri melalui LUAS kini dalam peringkat kajian semula perundangan sedia ada yang berkait rapat dengan pengurusan sumber air melalui Kajian Semula Peraturan-peraturan Kemasukan Atau Pelepasan Bahan Pencemar (Negeri Selangor) 2012 di mana aktiviti-aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air turut dikaji dan dipertimbangkan untuk dikawal di bawah peraturan ini. Namun ianya terhad kepada aktiviti-aktiviti yang tidak dikawal di bawah mana-mana akta yang berkaitan.

     

    Bagi perkara penganalisaan sampel, pihak Mahkamah hanya menerima sampel yang dianalisa oleh Jabatan Kimia Malaysia sahaja. Walaubagaimanapun, bagi tujuan siasatan awal dan pemantauan, sampel akan dihantar kepada makmal yang diakredetasi untuk dianalisa.

     

    Bagi isu yang berkaitan dengan projek Tapak Pelupusan Sampah Pajam, Negeri Sembilan, perkara ini adalah di luar bidang kuasa negeri dan perlu melibatkan kerjasama daripada Negeri Sembilan dan persekutuan. Surat daripada SUK Negeri Selangor turut telah dihantar kepada SUK Negeri Sembilan bagi menjelaskan dan menyelesaikan isu ini. Di peringkat Kerajaan Negeri, LUAS telah menyelaraskan penyelesaian isu ini melalui JK Pengurusan Lembangan Sungai Negeri Selangor dan Pasukan Petugas Lembangan Sungai Langat dengan melibatkan agensi-agensi yang berkaitan dari Negeri Sembilan dan persekutuan, namun ia masih memerlukan kelulusan pihak tertinggi daripada agensi persekutuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.