Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Dewan Negeri Selangor Tahun 2016

31 October - 4 November 2016 dan 7 November - 10 November 2016

205) WARGA ASING MENGUASAI PERNIAGAAN KECIL

Tahun: 2016

Sesi: 3

Isu: Warga Asing & Hal Ehwal Luar Negeri

Adun: Y.B. Puan Dr Hajah Halimah Binti Ali

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Warga tempatan rasa terpinggir dan terancam apabila warga asing semakin ramai berniaga di pasar malam, di tepi jalan, bahkan dalam kedai. Apakah tindakan yang sudah dan akan diambil oleh kerajaan negeri bagi membendung masalah ini?

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sentiasa memandang serius melibatkan warga asing yang menjalankan perniagaan secara haram/tanpa lesen dan mengambil pendekatan penguatkuasaan yang tegas, berhemah dan berperikemanusiaan sewaktu tindakan ke atas peniaga tanpa lesen. PBT tidak mengeluarkan lesen atau permit kepada warga asing selaras dengan undang-undang kecil (UUK) Penjaja yang tidak membenarkan peniaga selain warganegara.

    Tindakan awal yang dilakukan ialah dengan memberikan Notis Amaran dan arahan untuk menutup perniagaan dalam satu tempoh yang bersesuaian. Pemantauan akan diteruskan dan sekiranya peniaga tersebut masih engkar dan berdegil, pihak Jabatan Penguatkuasaan akan mengenakan dan mengeluarkan kompaun dan mengarahkan perniagaan dihenti dan ditutup serta-merta dengan pemantauan. Peniaga akan diberikan amaran lisan agar tidak meneruskan perniagaan di masa datang.

    Jika peniaga masih mengulang aktiviti perniagaan di tempat yang sama setelah Notis Amaran dan Kompaun dikenakan, Jabatan Penguatkuasaan akan mengambil tindakan merampas dan menyita peralatan alih yang digunakan sewaktu perniagaan dijalankan. Suatu Notis Inventori diberikan dan diserahkan sebagai perakuan perampasan dan penyitaan barang alih tersebut.

    Jabatan Penguatkuasaan telah dan sentiasa mengambil tindakan terus ke atas perniagaan gerai yang diurus dan dijalankan oleh warganegara asing. Walaupun begitu masih terdapat peniaga warga tempatan yang menggunakan perkhidmatan warga negara asing bagi membantu perniagaan mereka. Malah terdapat warga negara asing tersebut dijadikan proksi untuk menjalankan perniagaan tersebut. Dalam keadaan ini, Jabatan Penguatkuasaan tidak akan

     

    berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas untuk membanteras kegiatan mereka. PBT turut bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang lain seperti Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi menjalankan operasi warga asing.

Lampiran

Tiada Lampiran.