[Selangorkini] Dewan Negeri lulus usul segera ganti paip usang

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sidang Dewan Negeri Selangor semalam meluluskan usul mempercepat proses penggantian paip bagi mengurang risiko gangguan bekalan air.

Usul dibawa wakil rakyat Bukit Gasing Rajiv Rishyakaran disokong beberapa Ahli Dewan Negeri termasuk Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin.

Rajiv berkata kejadian paip pecah perkara biasa di Selangor hingga menyebabkan gangguan di kawasan perumahan, perniagaan dan industri.

“Kita harus pandang serius isu ini kerana Selangor mahu menjadi Negeri Pintar menjelang 2025, oleh itu prasarana juga perlu bertaraf dunia termasuk perkhidmatan air,” katanya.

Sementara itu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penggantian paip usang bagi mengelak gangguan bekalan air keutamaan Kerajaan Negeri ketika ini.

Beliau berkata paip baharu lebih berkualiti serta tahan lasak berbanding sedia ada menggunakan jenis simen asbestos yang mudah terhakis.

Dewan Negeri lulus usul segera ganti paip usang