Semua Seksyen

Enakmen Tabung Amanah Bencana Alam 2011

Bahagian

Bahagian I-PERMULAAN

Seksyen

1

Tajuk

Tajuk ringkas
1

Enakmen ini boleh dinamakan Enakmen Tabung Amanah
Bencana Alam 2011.

Bahagian

Bahagian I-PERMULAAN

Seksyen

2

Tajuk

Tafsiran
2

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain—

“Kumpulan Wang” ertinya kumpulan wang amanah yang dikenali
sebagai “Tabung Amanah Bencana Alam” yang ditubuhkan oleh ketetapan Dewan Negeri Selangor di bawah perenggan 10(4)(b) Akta Acara Kewangan 1957 [Akta 61];

“Lembaga” ertinya Lembaga Tabung Amanah Bencana Alam
yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;

“sekuriti” termasuklah saham, kumpulan wang, syer, bon dan debentur dan surat cara lain yang mewujudkan atau membuktikan
suatu gadaian atau lien pada aset.

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

3

Tajuk

Lembaga Tabung Amanah Bencana Alam
3 [1]

Maka adalah ditubuhkan suatu lembaga yang dikenali sebagai “Lembaga Tabung Amanah Bencana Alam”.

3 [2]

Maka adalah menjadi fungsi Lembaga untuk mentadbirkan
Kumpulan Wang.

3 [3]

Ahli Lembaga hendaklah terdiri daripada—
(a) Pegawai Kewangan Negeri sebagai Pengerusi;
(b) Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan)
sebagai Timbalan Pengerusi;
(c) Penasihat Undang-Undang Negeri;
(d) Timbalan Pegawai Kewangan Negeri sebagai
Setiausaha;
(e) Bendahari Negeri sebagai Bendahari; dan
(f) dua orang yang mempunyai pengalaman dalam bidang
perniagaan atau kewangan.

3 [4]

Ahli Lembaga di bawah perenggan (3)(f) hendaklah dilantik
oleh Menteri Besar.

3 [5]

Lembaga boleh melalui surat cara bertulis, mewakilkan
kepada mana-mana orang segala atau mana-mana fungsinya
di bawah Enakmen ini.

3 [6]

Lembaga bolehlah membayar setiap ahli Lembaga apa-
apa elaun termasuklah elaun perjalanan dan elaun sara hidup, mengikut kadar sebagaimana yang ditentukan oleh Menteri Besar dari semasa ke semasa.

3 [7]

Tertakluk kepada Enakmen ini, Lembaga boleh membuat
kaedah-kaedah untuk mengawal selia prosidingnya.

3 [8]

Ahli Lembaga di bawah perenggan (3)(f) semasa menunaikan
kewajipan mereka di bawah Enakmen ini, hendaklah disifatkan
sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574].

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

4

Tajuk

Wang yang dikehendaki dibayar ke dalam Kumpulan Wang
4

Wang yang berikut hendaklah dibayar ke dalam Kumpulan
Wang—
(a) wang yang dari semasa ke semasa diuntukkan daripada
Kumpulan Wang Disatukan kepada dan bagi maksud
Kumpulan Wang;
(b) segala wang yang merupakan hasil daripada apa-apa pelaburan
Kumpulan Wang yang dibuat oleh Lembaga;
(c) apa-apa sumbangan yang dibuat oleh mana-mana Majlis
Daerah, Majlis Perbandaran, Badan Berkanun, atau Pihak
Berkuasa Berkanun yang lain; dan
(d) segala pemberian, dermawan, endowmen, alang, bekues,
dan sumbangan lain oleh mana-mana institusi, syarikat
atau individu kepada Kumpulan Wang.

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

5

Tajuk

Kumpulan Wang Pembangunan Negeri
5

Selepas tahun 2016, Lembaga boleh dari semasa ke semasa
memindahkan apa-apa amaun dari Kumpulan Wang sebagaimana ia fikirkan wajar ke dalam Kumpulan Wang Pembangunan Negeri.

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

6

Tajuk

Penggunaan Kumpulan Wang
6

Tertakluk kepada seksyen 5, wang dalam Kumpulan Wang
tidak boleh digunakan bagi apa-apa maksud kecuali bagi maksud yang diperuntukkan oleh Enakmen ini.

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

7

Tajuk

Pelaburan Kumpulan Wang
7

Lembaga boleh melaburkan wang yang ada di dalam
tabung:
(a) sebagai simpanan deposit di mana-mana bank dan institusi
kewangan di dalam dan di luar Malaysia;
(b) dalam mana-mana daripada pelaburan yang dibenarkan
oleh Akta Pemegang Amanah 1949 [Akta 208];
(c) dalam sekuriti mengikut terma yang menguntungkan
Kumpulan Wang;
(d) dalam surat cara pasaran wang termasuklah bil
perbendaharaan, penerimaan jurubank dan perakuan
deposit dalam apa-apa mata wang;
(e) dalam logam berharga termasuk emas, perak, platinum
dan paladium; dan
(f) sebagaimana yang dibenarkan selainnya oleh Pihak
Berkuasa Negeri.

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

8

Tajuk

Pelantikan Pengurus Pelaburan
8

Lembaga boleh melantik Pengurus Pelaburan daripada kalangan institusi kewangan yang mempunyai pengalaman luas dan pengetahuan dalam pengurusan dan pelaburan wang bagi tujuan menasihati Lembaga berhubung dengan perkara bersangkutan kepada pelaburan aset Tabung dan untuk menjalankan urusan pelaburan Tabung.

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

9

Tajuk

Pelantikan pegawai dan penjawat
9 [1]

Lembaga boleh melantik atas terma dan saraan yang
Lembaga fikirkan patut, pegawai dan penjawat yang perlu bagi
menjalankan fungsi di bawah Enakmen ini.

9 [2]

Semua pegawai dan penjawat Lembaga hendaklah disifatkan
sebagai penjawat awam dalam pengertian Kanun Keseksaan
[Akta 574].

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

10

Tajuk

Perbelanjaan Pentadbiran
10

Apa-apa kos, perbelanjaan atau pembayaran lain yang secara
langsung boleh dikaitkan, dengan pentadbiran Kumpulan Wang hendaklah dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang.

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

11

Tajuk

Arahan Menteri Besar
11 [1]

Menteri Besar boleh secara bertulis memberi arahan kepada
Lembaga apa-apa arahan bersifat am yang tidak bercanggah dengan peruntukan Enakmen ini yang ada hubungan dengan perjalanan dan pelaksanaan fungsinya dan Lembaga hendaklah melaksanakan
segala arahan itu.

11 [2]

Lembaga hendaklah memberi kepada Menteri Besar apa-
apa penyata, akaun dan maklumat lain berkenaan dengan aset dan aktiviti Kumpulan Wang sebagaimana yang dikehendakinya dari semasa ke semasa.

Bahagian

Bahagian III - KEWANGAN

Seksyen

12

Tajuk

Tahun kewangan
12

Bagi maksud Enakmen ini, tahun kewangan Kumpulan Wang
hendaklah bermula pada 1 Januari dan berakhir pada 31 Disember pada setiap tahun.

Bahagian

Bahagian III - KEWANGAN

Seksyen

13

Tajuk

Akaun dan audit
13 [1]

Selepas 31 Disember tiap-tiap tahun kewangan tetapi
tidak lewat daripada 31 Julai dalam tahun kewangan berikutnya, Bendahari Negeri hendaklah dengan secepat mungkin menyedia dan mengemukakan penyata kewangan kepada Ketua Audit Negeri untuk diaudit.

13 [2]

Penyata Kewangan itu hendaklah mengandungi maklumat
mengenai penerimaan dan pembayaran dan mengenai pendapatan dan perbelanjaan serta lembaran imbangan Kumpulan Wang seperti pada 31 Disember tahun kewangan itu.

13 [3]

Penyata kewangan yang diperakukan oleh Ketua Audit
Negara serta sebarang pemerhatian Ketua Audit Negara ke atasnya hendaklah disampaikan kepada Pegawai Kewangan Negeri untuk dibentangkan dengan seberapa segera yang boleh dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Bahagian

Bahagian III - KEWANGAN

Seksyen

14

Tajuk

Laporan tahunan
14

Lembaga hendaklah tidak lewat daripada 30 April dalam
setiap tahun, menyebabkan dibuat dan dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri suatu laporan mengenai pelaburan Kumpulan Wang di sepanjang tahun kewangan yang terdahulu; dan laporan itu hendaklah mengandungi apa-apa maklumat yang berhubungan dengan prosiding dan polisi Lembaga.

Bahagian

Bahagian III - KEWANGAN

Seksyen

15

Tajuk

Akaun teraudit dan laporan tahunan hendaklah dibentangkan dalam Dewan Negeri
15

Menteri Besar hendaklah menyebabkan akaun teraudit tahunan di bawah seksyen 13 dan laporan tahunan di bawah seksyen 14 dibentangkan dalam Dewan Negeri.

Bahagian

BAHAGIAN IV - PELBAGAI

Seksyen

16

Tajuk

Peruntukan Akta Prosedur Kewangan 1957 [Akta 61] hendaklah terpakai
16

Kecuali sebagaimana yang diperuntukkan selainnya dalam
Enakmen ini, peruntukan Akta Prosedur Kewangan 1957 [Akta 61] dan mana-mana peraturan yang dibuat dan arahan yang dikeluarkan di bawahnya hendaklah terpakai bagi Kumpulan Wang.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.