Semua Seksyen

Enakmen Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor 2009

Bahagian

Bahagian I-PERMULAAN

Seksyen

1

Tajuk

Tajuk ringkas dan permulaan kuat kuasa
1 [1]

Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Perbadanan
Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor 2009.

1 [2]

Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh
yang ditetapkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan melalui
pemberitahuan dalam Warta.

Bahagian

Bahagian I-PERMULAAN

Seksyen

2

Tajuk

Tafsiran
2

Dalam Enakmen ini, melainkan jika kandungan ayatnya
menghendaki makna yang lain—

“adat Melayu” ertinya tidak termasuk Adat Istiadat Diraja
Selangor;

“ahli” ertinya ahli yang dilantik di bawah seksyen 6;

“ekshibit” termasuk semua benda yang berbentuk sejarah,
tradisi, kaji purba, seni bina atau kesenian yang pada pendapat
Perbadanan adalah sesuai untuk dipelihara dan dipamerkan untuk
orang ramai sebagai warisan budaya dan sejarah Negeri;

“Enakmen” ertinya Enakmen Perbadanan Adat Melayu dan
Warisan Negeri Selangor 2009;

“Kumpulan Wang Perbadanan” ertinya Kumpulan Wang
Perbadanan yang ditubuhkan di bawah seksyen 26;

“Ketua Pegawai Eksekutif” ertinya Ketua Pegawai Eksekutif
yang dilantik oleh Perbadanan di bawah seksyen 15;

“melindungi” ertinya pengenalpastian, perlindungan, pemuliharaan,
pembaikpulihan, pengubahelokan, penyelenggaraan, pendokumenan
dan penggiatan semula perkara, artifak, kawasan bersejarah atau
tradisional dan persekitarannya;

“monumen” ertinya kerja seni bina, kerja membuat arca dan
mengecat monumen, elemen atau struktur daripada jenis arkeologi,
inskripsi, penghunian gua dan gabungan ciri, yang mempunyai
nilai sejagat yang menonjol dari pandangan sejarah, seni atau sains;

“objek bersejarah” ertinya apa-apa artifak atau objek lain yang
padanya terdapat kepentingan keagamaan, tradisional, artistik atau
bersejarah dan termasuklah mana-mana—
(a) bahan etnografi seperti alat rumah tangga atau pertanian,
benda perhiasan atau perhiasan diri;

(b) kerja seni seperti ukiran, pembuatan arca, lukisan, seni
bina, tekstil, alat muzik, senjata dan apa-apa kerja tangan
lain;
(c) manuskrip, syiling, wang kertas, pingat, lencana, lambang
kebesaran, jata, panji, senjata atau perisai; atau
(d) kenderaan, kapal dan bot, yang sebahagian atau
keseluruhannya yang pengeluarannya telah dihentikan;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Perbadanan yang dilantik di
bawah seksyen 6;

“Pihak Berkuasa Negeri” ertinya Majlis Mesyuarat Kerajaan
Negeri Selangor;

“Perbadanan” ertinya Perbadanan yang ditubuhkan di bawah
seksyen 4;

“Syarikat” ertinya mana-mana syarikat yang ditubuhkan di
bawah Akta Syarikat 1965 [Akta 125].

Bahagian

Bahagian II

Seksyen

3

Tajuk

Perisytiharan dan jadual objek bersejarah dan tapak tanah bersejarah
3 [1]

Pihak Berkuasa Negeri boleh atas cadangan Perbadanan,
dengan perintah mengisytiharkan sesuatu monumen sebagai monumen lama dan sesuatu tapak tanah sebagai tapak tanah bersejarah dan boleh menentukan kawasan monumen atau tapak tanah itu.

3 [2]

Pihak Berkuasa Negeri boleh menyiarkan dalam Warta
suatu jadual objek bersejarah, monumen dan tapak tanah bersejarah bersama dengan kawasannya dan boleh, menambah kepada atau meminda jadual itu.

Bahagian

Bahagian III - PENUBUHAN PERBADANAN

Seksyen

4

Tajuk

Penubuhan Perbadanan
4 [1]

Suatu pertubuhan Perbadanan dengan nama “Perbadanan
Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor” ditubuhkan yang
kekal turun-temurun dan mempunyai suatu meterai Perbadanan.

4

Perbadanan boleh membawa guaman dan dibawa guaman
terhadapnya atas nama Perbadanannya.

4

Tertakluk kepada dan bagi maksud Enakmen ini, Perbadanan boleh, atas apa-apa terma yang disifatkannya patut—
(a) membuat kontrak; dan
(b) berkenaan dengan apa-apa jenis harta alih dan tak alih
dan kepentingan mengenai harta alih dan tak alih—
(i) memperoleh, membeli dan mengambil harta dan
kepentingan itu; dan
(ii) memegang, menikmati, memindahhakkan,
menyerahhakkan, menyerahkan balik, memulangkan,
menggadaikan, menggadaijanjikan, mendemiskan,
menyerahhakkan semula, memindahkan hak
milik, atau dengan apa-apa cara lain melupuskan
atau membuat apa-apa urusan mengenai,
harta dan kepentingan yang terletak hak pada
Perbadanan.

Bahagian

Bahagian III - PENUBUHAN PERBADANAN

Seksyen

5

Tajuk

Meterai Perbadanan
5 [1]

Perbadanan hendaklah mempunyai suatu meterai am dan
meterai itu boleh, dari semasa ke semasa dipecahkan, ditukar,
diubah atau dibuat baharu sebagaimana difikirkan patut—

Dengan syarat bahawa sehingga suatu meterai diadakan di bawah seksyen ini, suatu cap mengandungi perkataan “Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor” bolehlah digunakan dan hendaklah disifatkan sebagai meterai am.

5 [2]

Semua surat ikatan, dokumen dan lain-lain surat cara
yang memerlukan meterai Perbadanan hendaklah dimeterai
dengan sewajarnya di hadapan Pengerusi atau mana-mana ahli Perbadanan yang diberi kuasa oleh Perbadanan yang mana
hendaklah menandatangani tiap-tiap surat ikatan, dokumen atau surat cara yang dicap dengan meterai itu; dan penandatangan itu tanpa diakusaksikan selanjutnya adalah menjadi keterangan yang cukup bahawa meterai itu telah dicap dengan sewajar dan sempurna dan bahawa meterai itu adalah meterai Perbadanan yang
sah.

5

Sesuatu surat ikatan, dokumen atau lain-lain surat cara
yang jika dilaksanakan oleh seseorang yang bukan pertubuhan
Perbadanan tidak akan dikehendaki menggunakan meterai boleh dengan cara yang sama disempurnakan oleh Perbadanan dan surat ikatan, dokumen atau surat cara itu boleh disempurnakan bagi pihak Perbadanan oleh mana-mana pegawai atau pekhidmat Perbadanan yang diberi kuasa secara am atau khas oleh Perbadanan bagi maksud itu.

5 [4]

Meterai Perbadanan hendaklah diberi pengiktirafan rasmi
dan kehakiman.

Bahagian

Bahagian III - PENUBUHAN PERBADANAN

Seksyen

6

Tajuk

Keanggotaan Perbadanan
6 [1]

Perbadanan hendaklah terdiri daripada ahli yang
berikut:
(a) seorang Pengerusi;
(b) seorang Timbalan Pengerusi;
(c) tidak lebih dari enam orang ahli lain yang pada pendapat
Pihak Berkuasa Negeri mempunyai kepakaran tinggi
dalam perkara yang berhubungan dengan adat Melayu
dan warisan Negeri Selangor atau bidang lain yang
berkaitan;
(d) tidak lebih dari tiga orang ahli lain; dan
(e) Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan sebagai
Setiausaha.

6 [2]

Kesemua ahli Perbadanan hendaklah dilantik oleh Pihak
Berkuasa Negeri dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia
Sultan.

6

Jika Pengerusi tidak ada buat sementara atau tidak berupaya
buat sementara oleh sebab sakit atau apa-apa sebab lain yang cukup untuk melaksanakan fungsi dan kewajipannya, maka Timbalan Pengerusi hendaklah melaksanakan fungsi dan kewajipan dalam masa dia tidak ada atau tidak berupaya buat sementara itu, dan Timbalan Pengerusi hendaklah, dalam tempoh dia melaksanakan fungsi dan kewajipan Pengerusi di bawah subseksyen itu, disifatkan sebagai Pengerusi.

6 [4]

Peruntukan dalam Jadual hendaklah terpakai bagi maksud
Perbadanan dan anggotanya.

Bahagian

Bahagian IV - FUNGSI DAN KUASA PERBADANAN

Seksyen

7

Tajuk

Fungsi Perbadanan
7

Fungsi Perbadanan adalah seperti yang berikut:
(a) untuk menggiatkan kecenderungan awam dan sokongan dalam
pemeliharaan dan penyebaran pengetahuan tentang adat,
budaya Melayu dan warisan sejarah Negeri Selangor;
(b) untuk memelihara monumen dan ekshibit berbentuk sejarah,
tradisi, kaji purba, seni bina atau kesenian;
(c) untuk melindungi dan membekalkan kemudahan berhubung
dengan aspek adat Melayu dan warisan Negeri Selangor
dan ekshibit;
(d) untuk mengambil tindakan yang perlu bagi memelihara
semua objek sejarah, objek warisan, monumen, rekod,
dokumen dan ekshibit;
(e) untuk mengawal, mengurus dan mentadbir Muzium Negeri
dan muzium lain yang berada di bawah pentadbiran
Perbadanan;

(f) untuk mengadakan pinjaman dan tukaran barangan
pameran dengan muzium lain di Malaysia atau di luar
Malaysia;
(g) untuk mengadakan pusat sumber maklumat bagi rujukan
dan kerja penyelidikan berhubung dengan aspek adat
Melayu dan warisan Negeri Selangor dan ekshibit;
(h) untuk menasihati dan menyelaraskan dengan Pihak Berkuasa
Tempatan, badan dan entiti lain di semua peringkat bagi
maksud melindungi, menggalakkan dan berurusan dengan
apa-apa perkara yang berkaitan dengan adat Melayu dan
warisan Negeri Selangor;
(i) untuk menggalakkan dan mengawal selia standard yang
terbaik dan amalan yang terpakai dalam pemuliharaan
dan pemeliharaan adat Melayu dan warisan Negeri
Selangor;
(j) untuk menasihati Pihak Berkuasa Negeri berhubung
dengan apa-apa perkara berkenaan dengan pemuliharaan
dan pemeliharaan adat Melayu dan warisan Negeri
Selangor;
(k) untuk mengurus dan mentadbir Kumpulan Wang yang
ditubuhkan di bawah Enakmen ini;
(l) untuk melakukan apa-apa dari semasa ke semasa fungsi
lain di bawah Enakmen ini sebagaimana yang diberikan
oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan atau Pihak Berkuasa
Negeri; dan
(m) untuk melakukan semua perkara yang bersampingan
dengan atau berbangkit daripada penunaian kuasa dan
fungsinya.

Bahagian

Bahagian IV - FUNGSI DAN KUASA PERBADANAN

Seksyen

8

Tajuk

Kuasa Perbadanan
8

Perbadanan adalah mempunyai kuasa seperti yang berikut:
(a) untuk membuat kajian ke atas adat Melayu dan warisan
Negeri Selangor dan pemeriksaan ke atas objek sejarah,
objek warisan, monumen dan ekshibit, menasihati
ke atasnya, mengawal dan menjalankan pengubahan,
pembaikan, pembaharuan atau apa-apa pembinaan bagi
tujuan pemeliharaan yang baik;

(b) untuk mendirikan atau mengadakan apa-apa bangunan di atas mana-mana harta kepunyaan Perbadanan bagi tujuan
memelihara dan mempamerkan ekshibit;(c) untuk menerima derma, pemberian, penerimaan harta alih atau harta tidak alih daripada mana-mana punca dan
mendapatkan kewangan dengan cara yang sah;
(d) untuk menyumbang dengan cara pemberian atau pinjaman terhadap perbelanjaan yang dikena atau yang akan
dikenakan bagi pembaikan dan pemeliharaan objek
sejarah, objek warisan, monumen dan ekshibit untuk
memastikan penjagaan yang baik;
(e) untuk mengambil alih monumen dan ekshibit dengan
persetujuan mana-mana orang dan pada melakukannya
boleh membuat kontrak atau perkiraan yang munasabah
dengan mana-mana orang dengan kelulusan Pihak Berkuasa
Negeri;
(f) untuk mengatur dan mengawal kemasukan orang awam ke muzium, monumen dan tempat pameran dan mengenakan
bayaran bagi kemasukan jika perlu; dan
(g) untuk melakukan semua perkara yang semunasabahnya
perlu bagi pelaksanaan kewajipannya di bawah Enakmen
ini.

 

Bahagian

Bahagian IV - FUNGSI DAN KUASA PERBADANAN

Seksyen

10

Tajuk

Kuasa untuk memberi pinjaman
10

Pada melaksanakan fungsinya dan menjalankan kuasanya,
Perbadanan boleh memberikan pinjaman bagi apa-apa maksud
sebagaimana yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri danpinjaman sedemikian boleh diberikan tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat sebagaimana yang difikirkan oleh Perbadanan, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, patut dikenakan dalam hal tertentu.

Bahagian

Bahagian IV - FUNGSI DAN KUASA PERBADANAN

Seksyen

11

Tajuk

Bahagian IV FUNGSI DAN KUASA PERBADANAN
11

Perbadanan boleh, dari semasa ke semasa, dengan kelulusan
Pihak Berkuasa Negeri, menubuhkan syarikat dengan apa-apa
nama yang ditentukan oleh Perbadanan untuk menjalankan dan untuk menjaga, mengelolakan dan menguruskan bagi pihak Perbadanan apa-apa projek, skim atau perusahaan yang ditentukan oleh Perbadanan pada melaksanakan fungsinya dan menjalankan kuasanya.

Bahagian

Bahagian IV - FUNGSI DAN KUASA PERBADANAN

Seksyen

12

Tajuk

Kuasa untuk melantik Jawatankuasa
12 [1]

Perbadanan boleh melantik Jawatankuasa bagi apa-apa
maksud yang berbangkit daripada atau berkaitan dengan apa-apa fungsi dan kuasanya; mana-mana Jawatankuasa yang dilantik itu hendaklah mengandungi sekurang-kurangnya seorang ahli Perbadanan dan bolehlah dilantik ke Jawatankuasa itu mana-mana orang lain yang difikirkan sesuai oleh Perbadanan.

12 [2]

Jawatankuasa yang dilantik itu hendaklah mengawal selia
prosedurnya sendiri.

12 [3]

Mana-mana Jawatankuasa yang dilantik itu hendaklah
mematuhi apa-apa arahan yang diberikan oleh Perbadanan
dari semasa ke semasa dan Perbadanan boleh pada bila-bila
masa memberhentikan atau mengubah keanggotaan mana-mana Jawatankuasa yang dilantik sedemikian.

12 [4]

Jawatankuasa boleh menjemput mana-mana orang yang, pada
pendapatnya, mempunyai pengetahuan khusus untuk kebaikannya, untuk menghadiri mana-mana mesyuarat Jawatankuasa dan orang yang dijemput itu tidak berhak mengundi dalam mana-mana mesyuarat berkenaan.

12 [5]

Jawatankuasa hendaklah melaporkan syornya kepada
Perbadanan.

Bahagian

Bahagian IV - FUNGSI DAN KUASA PERBADANAN

Seksyen

13

Tajuk

13 [1]

Perbadanan boleh, tertakluk kepada apa-apa terma dan
syarat, had atau sekatan, sebagaimana yang difikirkannya patut dikenakan, mewakilkan kepada mana-mana Jawatankuasa atau kepada Pengerusi, atau Ketua Pegawai Eksekutif atau kepada mana-mana orang lain, kuasa dan wibawa untuk menjalankan atau melaksanakan bagi pihaknya kuasa atau fungsi yang diletakhakkan
pada atau dipertanggungkan atas Perbadanan di bawah Enakmen ini sebagaimana yang ditentukan oleh Perbadanan, kecuali kuasa untuk meminjam wang atau membuat peraturan-peraturan; dan apa-apa kuasa atau fungsi yang diwakilkan sedemikian boleh dijalankan atau dilaksanakan oleh Jawatankuasa berkenaan, atau Pengerusi, atau Ketua Pegawai Eksekutif, atau mana-mana orang lain itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, di atas nama dan bagi pihak Perbadanan.

13 [2]

Tanpa menyentuh keluasan subseksyen (1) dan peruntukan
lain Enakmen ini, Perbadanan boleh mewakilkan sama ada
kepada Pengerusi atau kepada Ketua Pegawai Eksekutif kuasa
untuk membenarkan perbelanjaan daripada Kumpulan Wang atau mana-mana wang lain yang diletakhakan yang pada atau yang di bawah kawalan Perbadanan sehingga had yang dinyatakan oleh Perbadanan.

Bahagian

Bahagian IV - FUNGSI DAN KUASA PERBADANAN

Seksyen

14

Tajuk

Kuasa Pengerusi untuk mewakilkan
14 [1]

Tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini dan mana-mana
peraturan yang dibuat di bawahnya, Pengerusi boleh mewakilkan secara bertulis kepada mana-mana anggota Perbadanan atau kepada Ketua Pegawai Eksekutif kuasa dan wibawa untuk menjalankan bagi pihaknya tugas, kuasa atau fungsinya sebagaimana yang ditetapkannya.

14 [2]

Pengerusi boleh pada masa mewakilkan mana-mana kuasa
atau wibawa di bawah subseksyen (1) atau pada bila-bila masa
selepas itu memberi arahan berkenaan dengan cara bagaimana
kuasa atau wibawa itu hendak dijalankan dan boleh pada bila-bila masa membatalkan atau mengubahsuai perwakilan itu.

Bahagian

Bahagian IV- FUNGSI DAN KUASA PERBADANAN

Seksyen

9

Tajuk

Kuasa untuk meminjam
9

Perbadanan boleh dari semasa ke semasa meminjam atas apa-apa faedah dan bagi apa-apa tempoh dan atas apa-apa terma tentang masa dan cara pembayaran balik dan selainnya sebagaimana yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri, apa apa jumlah wang yang diperlukan oleh Perbadanan bagi menjelaskan mana-mana obligasinya atau bagi melaksanakan mana-mana fungsinya atau bagi menjalankan mana-mana kuasanya.

Bahagian

Bahagian V KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

17

Tajuk

Pelantikan pegawai dan pekhidmat Perbadanan
17 [1]

Tertakluk kepada subseksyen (2) dan seksyen 16,
Perbadanan boleh melantik dari semasa ke semasa, atas apa-apa terma dan syarat, seorang Setiausaha dan sekian bilangan pegawai dan pekhidmat lain sebagaimana yang difikirkannya wajar dan perlu bagi menjalankan maksud Enakmen ini.

17 [2]

Walau apa pun peruntukan subseksyen (1), Perbadanan
tidak boleh menubuhkan atau mengubahsuai apa-apa jawatan atau skim perkhidmatan untuk pegawai dan pekhidmat Perbadanan, termasuk terma dan syarat perkhidmatan dan gaji, tanpa kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

16

Tajuk

Tugas Ketua Pegawai Eksekutif
16 [1]

Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah bertanggungjawab
untuk—
(a) menyediakan segala program, dasar dan projek untuk
pertimbangan Perbadanan;
(b) melaksanakan segala program, dasar dan projek
Perbadanan;
(c) sentiasa memaklumkan kepada Perbadanan dengan
sepenuhnya akan kemajuan program, dasar dan
projeknya;
(d) mengeluarkan panduan polisi atau menjelaskan
keputusan Perbadanan kepada pegawai dan pekhidmat
Perbadanan;
(e) melaksanakan keputusan Perbadanan dan arahan
Pengerusi;

(f) menyelia dan mengawal ke atas pelaksanaan keputusan
Perbadanan;
(g) merancang segala aktiviti yang berkaitan dengan fungsi
Perbadanan;
(h) menyelenggarakan bangunan dan struktur lain atau harta
kepunyaan Perbadanan; dan

(i) mentadbir dan mengurus dengan teratur, fungsi dan hal-
ehwal Perbadanan mengikut polisi yang ditetapkan oleh Perbadanan.

16 [2]

Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah mempunyai kuasa
pengawalan am atas pegawai dan pekhidmat lain Perbadanan.

16 [3]

Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah melaksanakan apa-apa
tugas tambahan sebagaimana yang diarahkan oleh Perbadanan
dari semasa ke semasa.

16 [4]

Sekiranya Ketua Pegawai Eksekutif tidak ada buat sementara
di dalam Malaysia atau tidak berupaya buat sementara, oleh
sebab sakit atau kerana apa-apa sebab lain yang cukup, untuk
melaksanakan tugasnya, Perbadanan boleh, dengan kelulusan
Pihak Berkuasa Negeri, mengarahkan mana-mana pegawai lain
melaksanakan tugas Ketua Pegawai Eksekutif semasa Ketua Pegawai Eksekutif tidak ada atau tidak berupaya buat sementara.

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

15

Tajuk

Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif
15 [1]

Perbadanan boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa
Negeri terlebih dahulu, melantik seorang Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan dan meletakhakkan padanya apa-apa tugas sebagaimana yang ditentukan atau diwakilkan kepadanya oleh Perbadanan.

15 [2]

Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah atas apa-apa
terma dan syarat sebagaimana yang ditentukan oleh Perbadanan, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

18

Tajuk

Tatatertib pegawai dan pekhidmat Perbadanan
18 [1]

Maka hendaklah ada suatu Lembaga Tatatertib Perbadanan
yang hendaklah terdiri daripada—
(a) dua orang anggota yang akan dipilih oleh dan daripada
anggota Perbadanan, yang seorang daripada mereka
hendaklah dilantik sebagai Pengerusi; dan
(b) Ketua Pegawai Eksekutif.

18 [2]

Pihak Berkuasa Tatatertib berkenaan dengan tiap-tiap
pegawai dan pekhidmat Perbadanan, selain daripada Ketua Pegawai Eksekutif, ialah Lembaga Tatatertib Perbadanan yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1).

18 [3]

Lembaga Tatatertib berkenaan dengan Ketua Pegawai
Eksekutif hendaklah terdiri daripada tiga orang anggota yang
akan dipilih oleh dan daripada anggota Perbadanan, yang seorang daripadanya hendaklah dilantik sebagai Pengerusi; dengan syarat bahawa jika Ketua Pegawai Eksekutif adalah seorang pegawai dalam perkhidmatan awam am Persekutuan dia hendaklah tertakluk kepada Lembaga Tatatertib Suruhanjaya Perkhidmatan Awam yang berkenaan.

18 [4]

Ketua Pegawai Eksekutif tidak boleh menjadi anggota
Lembaga Tatatertib atau Jawatankuasa Tatatertib yang ditubuhkan di bawah subseksyen (6) dalam apa-apa prosiding di hadapan Perbadanan atau Jawatankuasa itu yang dia menjadi pengadu; tempatnya hendaklah diambil oleh seorang anggota yang akan dipilih oleh dan daripada anggota Perbadanan.

18 [5]

Pada menjalankan fungsi dan kuasa tatatertibnya, Lembaga
Tatatertib hendaklah mempunyai kuasa untuk mengenakan apa-apa hukuman tatatertib sebagaimana yang diperuntukkan di bawah mana-mana peraturan yang boleh dibuat di bawah seksyen 34.

18

Lembaga Tatatertib boleh, tertakluk kepada subseksyen (7),
mewakilkan mana-mana fungsi dan kuasa tatatertibnya kepada mana-mana Jawatankuasa pegawai atau pekhidmat Perbadanan yang dikenali sebagai Jawatankuasa Tatatertib, berkenaan dengan mana-mana pegawai atau pekhidmat tertentu Perbadanan atau berkenaan dengan mana-mana golongan atau kategori pegawai atau pekhidmat Perbadanan, dan Jawatankuasa Tatatertib yang diwakilkan dengan fungsi dan kuasa sedemikian hendaklah boleh melaksanakan, menjalankan atau menunaikannya di bawah arahan dan kawalan Lembaga Tatatertib yang hendaklah mempunyai kuasa untuk mengkaji semula, membatalkan atau mengubah apa-apa keputusan atau dapatan Jawatankuasa itu.

18 [7]

Tiada perwakilan boleh dibuat di bawah subseksyen (6)
untuk membolehkan seseorang pegawai atau pekhidmat Perbadanan menjadi anggota mana-mana Jawatankuasa Tatatertib yang boleh menjalankan apa-apa kuasa tatatertib ke atas seseorang pegawai atau pekhidmat yang berpangkat lebih tinggi daripadanya.

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

19

Tajuk

Lembaga Rayuan Tatatertib
19 [1]

Maka hendaklah ada suatu Lembaga Rayuan Tatatertib
Perbadanan yang hendaklah terdiri daripada—
(a) Pengerusi Perbadanan sebagai Pengerusi;
(b) Setiausaha Kerajaan Negeri; dan
(c) Penasihat Undang-undang Negeri.

19 [2]

Mana-mana pegawai atau pekhidmat Perbadanan yang tidak

berpuas hati dengan keputusan Lembaga Tatatertib atau mana- mana Jawatankuasa Tatatertib yang diwakilkan dengan fungsi dan kuasa di bawah seksyen 18 boleh, dalam masa empat belas hari, merayu secara bertulis terhadap keputusan itu kepada Lembaga Rayuan Tatatertib yang boleh sesudah itu mengesahkan, mengakas atau memberi apa-apa arahan mengenai perkara itu sebagaimana yang difikirkannya patut dan wajar.

19 [3]

Apabila Lembaga Rayuan Tatatertib mempertimbangkan
apa-apa rayuan di bawah subseksyen (2), tiada anggota Lembaga Tatatertib atau Jawatankuasa Tatatertib, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang terhadap keputusannya rayuan itu dibuat, boleh menghadiri apa-apa prosiding berhubungan dengan rayuan itu.

19 [4]

Keputusan Lembaga Rayuan Tatatertib mengenai rayuan
itu adalah muktamad dan konklusif.

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

20

Tajuk

Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948
20

Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 [Akta 198]
adalah terpakai bagi apa-apa tindakan, guaman, pendakwaan atau pembicaraan terhadap Perbadanan atau terhadap mana-mana ahli, pegawai, pekhidmat atau ejen Perbadanan berkenaan dengan sebarang perbuatan, kecuaian atau keingkaran yang dibuat atau dilakukan oleh Perbadanan atau orang itu atas sifat jawatannya.

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

21

Tajuk

Penjawat Awam
21

Semua anggota, pegawai dan pekhidmat Perbadanan, semasa
melaksanakan fungsi mereka sebagai anggota, pegawai dan
pekhidmat Perbadanan, hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan [Akta 574].

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

22

Tajuk

Peraturan-peraturan berkenaan dengan penggajian
22 [1]

Perbadanan boleh, dari semasa ke semasa, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, membuat apa-apa peraturan yang difikirkannya perlu atau suai manfaat berkenaan dengan
penggajian pegawai dan pekhidmat Perbadanan.

22 [22]

Peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen ini
hendaklah termasuk peruntukan bagi—
(a) cara pelantikan, dan terma dan syarat perkhidmatan
pegawai dan pekhidmat Perbadanan; dan
(b) pembayaran ganjaran, pencen, elaun dan saraan atau faedah lain kepada pegawai dan pekhidmat Perbadanan.

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

23

Tajuk

Pemakaian Enakmen Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Selangor) 2001
23

Perbadanan hendaklah mempunyai kuasa tatatertib ke atas
semua pegawai dan pekhidmatnya dan hendaklah menjalankan
kawalan tatatertib berkenaan dengan semua orang itu mengikut Enakmen Badan-badan Berkanun (Tatatertib dan Surcaj) (Selangor) 2001 [Enakmen No. 8 tahun 2001].

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

24

Tajuk

Perbadanan boleh menerima pakai peraturan-peraturan, dsb.
24

Dalam membuat apa-apa peraturan di bawah Bahagian ini,
Perbadanan boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri,
menerima pakai dengan apa-apa ubahsuaian yang difikirkannya patut mana-mana peraturan, kaedah, dasar, pekeliling dan arahan yang diperbuat atau dikeluarkan oleh Kerajaan.

Bahagian

Bahagian V - KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF DAN PEGAWAI PERBADANAN

Seksyen

25

Tajuk

Kuasa untuk mengambil kerja ejen
25

Perbadanan boleh mengambil kerja dan membayar ejen dan
penasihat teknikal dan sains termasuk perunding, peguam bela
dan peguam cara, broker saham, juruukur atau penilai atau orang lain untuk menguruskan apa-apa urusan atau untuk membuat apa-apa perbuatan yang dikehendaki dijalankan atau dilakukan dalam melaksanakan fungsi dan kewajipannya dan menjalankan kuasanya atau untuk melaksanakan dengan lebih baik maksud Enakmen ini.

Bahagian

Bahagian VI - KUMPULAN WANG PERBADANAN

Seksyen

26

Tajuk

Penubuhan Kumpulan Wang
26 [1]

Bagi maksud Enakmen ini, Perbadanan hendaklah
menubuhkan, mentadbirkan dan mengawal suatu Kumpulan Wang yang hendaklah dikenali sebagai “Kumpulan Wang Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor”.

26 [2]

Kumpulan Wang itu hendaklah mengandungi—
(a) apa-apa jumlah wang yang diperuntukkan dari semasa
ke semasa oleh Kerajaan;
(b) apa-apa jumlah wang yang dipinjam oleh Perbadanan
di bawah seksyen 9;
(c) tertakluk kepada subseksyen (3), apa-apa jumlah wang
yang diperuntukkan dari semasa ke semasa kepada
Perbadanan daripada kumpulan wang pinjaman;

(d) semua wang yang didapati melalui pengendalian apa-apa
projek, skim atau perusahaan yang dibiayai daripada
Kumpulan Wang atau penyediaan perkhidmatan oleh
Perbadanan;

(e) semua wang yang didapati atau berbangkit daripada apa-
apa harta, pelaburan, gadai janji, gadaian atau debentur

yang diperoleh oleh atau terletakhak pada Perbadanan;
(f) apa-apa harta, pelaburan, gadai janji, gadaian atau debentur
yang diperoleh oleh atau terletakhak pada Perbadanan;
(g) semua derma dan sumbangan yang diterima dari dalam
atau luar Malaysia; dan

(h) semua wang atau harta lain yang mungkin dengan apa-
apa cara menjadi kena dibayar kepada atau terletakhak pada Perbadanan berkenaan dengan apa-apa perkara yang
bersampingan dengan fungsi dan kuasanya.

26 [3]

Dalam seksyen ini dan seksyen 27, ungkapan “wang
pinjaman” ertinya apa-apa jumlah wang yang boleh diadakan dari semasa ke semasa bagi Kerajaan sebagai pinjaman.

Bahagian

Bahagian VI - KUMPULAN WANG PERBADANAN

Seksyen

27

Tajuk

Perbelanjaan hendaklah dipertanggungkan kepada Kumpulan Wang
27

Tertakluk kepada seksyen 28, Kumpulan Wang hendaklah
dibelanjakan untuk—
(a) pembayaran apa-apa perbelanjaan yang mungkin dilakukan
dengan sah oleh Perbadanan, termasuklah fi dan kos
guaman dan kos dan fi yang lain, saraan bagi pegawai
dan pekhidmat yang dilantik dan diguna khidmat oleh
Perbadanan;
(b) membayar apa-apa kos atau perbelanjaan lain yang
dilakukan atau disetujuterima dengan sepatutnya oleh
Perbadanan pada menjalankan kuasanya atau melaksanakan
fungsinya;
(c) membayar balik apa-apa wang yang dipinjam di bawah
seksyen 9 dan faedah yang kena dibayar atasnya;
(d) memberikan pinjaman di bawah seksyen 10;

(e) tertakluk kepada subseksyen 26(3), bayaran apa-apa caj atas apa-apa amaun yang diperuntukkan kepada Perbadanan
daripada kumpulan wang pinjaman;
(f) pemberian pinjaman kepada pegawai dan pekhidmat
Perbadanan bagi maksud yang diluluskan oleh Pihak
Berkuasa Negeri; dan
(g) pada amnya, membayar apa-apa perbelanjaan bagi
melaksanakan peruntukan Enakmen ini.

 

Bahagian

Bahagian VI - KUMPULAN WANG PERBADANAN

Seksyen

28

Tajuk

Pengimbangan akaun hasil
28

Maka adalah menjadi tugas Perbadanan untuk memelihara
Kumpulan Wang dengan menjalankan kuasa dan melaksanakan fungsinya untuk memastikan supaya jumlah hasil Perbadanan adalah mencukupi untuk membayar semua jumlah wang yang boleh dipertanggungkan dengan sepatutnya kepada akaun hasilnya, termasuklah susut nilai dan bunga atas modal, dari setahun ke setahun.

Bahagian

Bahagian VI - KUMPULAN WANG PERBADANAN

Seksyen

29

Tajuk

Pendepositan dan Pelaburan Kumpulan Wang
29

Perbadanan boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa
Negeri—
(a) menempatkan Kumpulan Wang sebagai deposit dengan
bank di Malaysia; atau
(b) dari semasa ke semasa, melaburkan Kumpulan Wang atau mana-mana bahagiannya yang tidak dikehendaki dengan segera untuk memenuhi obligasinya atau menjalankan kuasanya atau melaksanakan fungsinya, dalam apa-apa pelaburan atau sekuriti yang pada ketika ini dibenarkan untuk pelaburan kumpulan wang amanah di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Bahagian

Bahagian VI - KUMPULAN WANG PERBADANAN

Seksyen

30

Tajuk

Perbelanjaan dan Penyediaan Anggaran
30 [1]

Perbelanjaan Perbadanan hingga sebanyak yang dibenarkan
oleh Pihak Berkuasa Negeri bagi mana-mana satu tahun hendaklah dibayar daripada Kumpulan Wang.

30 [2]

Sebelum permulaan bulan September setiap tahun,
Perbadanan hendaklah mengemukakan kepada Pihak Berkuasa Negeri suatu anggaran perbelanjaan (termasuk perbelanjaan bagi projek pembangunan) bagi tahun yang berikutnya dalam apa-apa bentuk dan yang mengandungi apa-apa butir sebagaimana yang diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri; dan sebelum permulaan tahun yang berikutnya Pihak Berkuasa Negeri hendaklah memberitahu Perbadanan amaun yang dibenarkan bagi perbelanjaan pada amnya atau amaun yang dibenarkan bagi setiap jenis perbelanjaan.

30 [3]

Perbadanan boleh pada bila-bila masa mengemukakan kepada
Pihak Berkuasa Negeri suatu anggaran tambahan bagi mana-mana satu tahun dan Pihak Berkuasa Negeri boleh membenarkan kesemua atau mana-mana bahagian daripada perbelanjaan tambahan yang termasuk dalam anggaran tambahan itu.

Bahagian

Bahagian VI - KUMPULAN WANG PERBADANAN

Seksyen

31

Tajuk

Akaun dan audit
31 [1]

Perbadanan hendaklah menyimpan atau menyebabkan
disimpan akaun yang sempurna dan rekod lain mengenai
perjalanannya mengikut prinsip perakaunan yang diterima umum dan hendaklah menyebabkan disediakan penyata bagi akaunnya bagi tiap-tiap satu tahun kewangan.

31 [2]

Akaun Perbadanan hendaklah diaudit pada tiap-tiap tahun
oleh Ketua Juruaudit Negara atau juruaudit lain yang dilantik oleh Perbadanan dengan persetujuan Pihak Berkuasa Negeri.

31 [3]

Perbadanan hendaklah dalam masa enam bulan selepas
berakhirnya tiap-tiap tahun kewangan menyebabkan akaunnya
diaudit dan menghantarkannya kepada Menteri Besar bersama-sama dengan satu salinan apa-apa pandangan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara atau juruaudit yang dilantik di bawah subseksyen (2), mengikut mana yang berkenaan, mengenai akaun Perbadanan.

31 [4]

Menteri Besar hendaklah menyebabkan satu salinan tiap-
tiap akaun sedemikian berserta dengan satu salinan apa-apa pandangan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara atau juruaudit
yang dilantik di bawah subseksyen (2) mengenai penyata atau
akaun Perbadanan dibentangkan dalam persidangan Dewan Negeri yang akan datang.

Bahagian

Bahagian VI - KUMPULAN WANG PERBADANAN

Seksyen

32

Tajuk

Surcaj
32 [1]

Sekiranya ternyata kepada Perbadanan bahawa mana-mana
orang yang sedang atau telah bekerja dengan Perbadanan—

(a) telah gagal mengutip apa-apa wang yang terhutang
pada Perbadanan yang pemungutannya menjadi
tanggungjawabnya;
(b) adalah atau telah bertanggungjawab atas apa-apa pembayaran
wang daripada Kumpulan Wang yang tidak sepatutnya
dibuat atau atas apa-apa pembayaran wang yang tidak
diluluskan dengan sewajarnya;
(c) adalah atau telah bertanggungjawab, secara langsung atau tidak langsung, atas apa-apa kekurangan pada, atau atas pemusnahan, apa-apa wang, setem, sekuriti, storan atau
harta lain Perbadanan;
(d) sebagai, atau yang pernah menjadi, pegawai perakaunan
gagal atau telah gagal menyimpan akaun atau rekod
yang sepatutnya; atau
(e) telah gagal membuat apa-apa bayaran, atau adalah atau
telah bertanggungjawab atas apa-apa kelambatan dalam
pembayaran, wang daripada Kumpulan Wang, kepada
mana-mana orang yang kepadanya bayaran itu kena dibuat
di bawah mana-mana kontrak, perjanjian atau perkiraan
yang dibuat di antara orang itu dengan Perbadanan,

Perbadanan hendaklah menyampaikan suatu notis bertulis kepadanya yang memintanya menunjukkan sebab mengapa dia tidak sepatutnya disurcajkan, dan jika penjelasan yang memuaskan hati tidak diberikan, dalam masa empat belas hari dari tarikh penyampaian notis yang disebutkan terdahulu, kepada Perbadanan berkenaan
dengan kegagalan mengutip, bayaran yang tidak sepatutnya dibuat, bayaran yang tidak diluluskan dengan sewajarnya, kekurangan atau pemusnahan, atau kegagalan menyimpan akaun atau rekod yang sepatutnya, atau kegagalan membuat bayaran, atau kelambatan dalam membuat bayaran, maka Perbadanan boleh mensurcajkan sejumlah wang terhadap orang tersebut yang tidak melebihi apa-apa
amaun sedemikian yang tidak dikutip, apa-apa bayaran, kekurangan, atau kerugian atau nilai harta yang musnah, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan berkenaan dengan kegagalan menyimpan akaun atau rekod yang sepatutnya, atau kegagalan membuat bayaran, atau kelambatan dalam membuat bayaran, Perbadanan
boleh mensurcajkan apa-apa jumlah wang terhadap orang tersebut sebagaimana yang difikirkan patut oleh Perbadanan itu.

32 [2]

Pengerusi hendaklah menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif
diberitahu tentang apa-apa surcaj yang dibuat di bawah subseksyen (1) dan Ketua Pegawai Eksekutif hendaklah sesudah itu memberitahu orang yang disurcajkan itu.

32 [3]

Perbadanan boleh pada bila-bila masa menarik balik apa-
apa surcaj yang berkenaan dengannya penjelasan yang memuaskan hati telah diterima atau jika ternyata selainnya bahawa tiada surcaj patut dibuat, dan Pengerusi hendaklah dengan segera menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif diberitahu tentang penarikan balik itu.

32 [4]

Amaun apa-apa surcaj yang dibuat di bawah subseksyen (1)
dan tidak ditarik balik di bawah subseksyen (3) hendaklah menjadi hutang yang kena dibayar kepada Perbadanan daripada orang yang terhadapnya surcaj itu dibuat dan boleh didakwa dan didapatkan kembali dalam mana-mana mahkamah atas guaman Perbadanan
dan boleh juga didapatkan kembali melalui potongan—
(a) daripada gaji orang yang disurcajkan jika Perbadanan
mengarahkan sedemikian; atau
(b) daripada pencen orang yang disurcajkan jika Perbadanan
mengarahkan sedemikian, dengan ansuran bulanan yang sama banyak tidak melebihi satu perempat daripada jumlah gaji atau pencen bulanan, mengikut mana-mana yang berkenaan, orang itu.

Bahagian

Bahagian VI - KUMPULAN WANG PERBADANAN

Seksyen

33

Tajuk

Akaun bank
33

Segala wang yang dibayar kepada Perbadanan hendaklah dibayar dengan serta-merta ke dalam suatu akaun dalam mana-mana bank atau bank yang diluluskan oleh Perbadanan.

Bahagian

Bahagian VII - AM

Seksyen

34

Tajuk

Kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk membuat peraturan- peraturan
34 [1]

Pihak Berkuasa Negeri boleh selepas berunding dengan
Perbadanan, membuat apa-apa peraturan sebagaimana yang suai manfaat atau perlu bagi maksud melaksanakan peruntukan Enakmen ini dengan lebih baik.

34 [2]

Tanpa menjejaskan keluasan subseksyen (1), peraturan-
peraturan boleh dibuat bagi kesemua atau mana-mana maksud

yang berikut:
(a) mengenakan fi dalam hal yang ditentukan oleh
Perbadanan;
(b) bagi atau berkenaan dengan saraan atau elaun yang kena
dibayar kepada mana-mana anggota Perbadanan dan
mana-mana anggota mana-mana Jawatankuasa;
(c) menetapkan tanggungjawab, kelakuan dan kawalan atas
pegawai dan pekhidmat Perbadanan;
(d) mengatur pelantikan, tatatertib dan pemecatan pegawai
dan penjawat Perbadanan;
(e) cara bagaimana dan terma dan syarat yang di atasnya
pinjaman boleh diberikan kepada pegawai dan pekhidmat
Perbadanan di bawah seksyen 10 dan maksudnya;
(f) bagi tatatertib pegawai dan pekhidmat Perbadanan yang
boleh termasuk—
(i) peruntukan bagi penahanan kerja dan pengurangan
gaji atau saraan lain atau bagi penggantungan kerja
tanpa gaji atau saraan lain, seseorang pegawai atau
pekhidmat semasa menanti prosiding tatatertib
selesai;
(ii) perwujudan apa-apa kesalahan tatatertib dan
pengadaan peruntukan bagi apa-apa hukuman
tatatertib sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh
Perbadanan, dan hukuman yang diperuntukkan
sedemikian boleh meliputi pembuangan kerja atau
penurunan pangkat; dan

(iii) prosedur bagi prosiding tatatertib, yang hendaklah
memberi peluang kepada pegawai atau pekhidmat
yang terhadapnya prosiding tatatertib itu diambil
untuk membuat representasi sebelum keputusan
diambil oleh pihak berkuasa tatatertib atas
pertuduhan tatatertib yang dibuat terhadap pegawai
atau pekhidmat itu;

(g) menetapkan caj bagi perkhidmatan yang diberikan oleh
Perbadanan dan bagi kemasukan pelawat ke dalam
mana-mana pameran atau aktiviti yang dikelolakan atau
diadakan oleh Perbadanan;
(h) bagi mengawal selia kemasukan ke dalam atau pengeluaran daripada bangunan atau kawasan yang diuruskan atau dikawal oleh Perbadanan;
(i) bagi menjaga, mengawal dan mengurus tanah dan bangunan yang dipunyai oleh atau di bawah kawalan dan pengurusan Perbadanan;
(j) menetapkan pengurusan dan tatacara bagi pemuliharaan
dan pemeliharaan tapak warisan, objek warisan dan adat
Melayu Negeri Selangor;
(k) bagi menetapkan prosedur kewangan mengenai pentadbiran Kumpulan Wang;
(l) bagi mengawal selia prosedur untuk memanggil tender
dan sebut harga termasuk penubuhan Lembaga Tender
Perbadanan; dan
(m) peraturan lain yang difikirkan wajar dan patut oleh
Perbadanan.

Bahagian

Bahagian VII - AM

Seksyen

35

Tajuk

Penyata, laporan, akaun dan maklumat
35 [1]

Perbadanan hendaklah memberi Pihak Berkuasa Negeri
apa-apa penyata, laporan, akaun dan maklumat berkenaan dengan harta dan aktiviti Perbadanan sebagaimana yang dikehendaki atau diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa.

35 [2]

Tanpa menjejaskan keluasan peruntukan subseksyen (1),
Perbadanan hendaklah, dengan seberapa segera yang praktik selepas akhir setiap tahun kewangan, menyebabkan dibuat dan dihantar kepada Pihak Berkuasa Negeri suatu laporan yang memperkatakan aktiviti Perbadanan sepanjang tahun kewangan yang sebelumnya dan laporan itu hendaklah dalam bentuk serta hendaklah mengandungi apa-apa maklumat yang berhubungan dengan prosiding dan dasar Perbadanan sebagaimana yang dinyatakan dari semasa ke semasa oleh Pihak Berkuasa Negeri.

Bahagian

Bahagian VII - AM

Seksyen

36

Tajuk

Kuasa Pihak Berkuasa Negeri untuk memberikan arahan
36

Pihak Berkuasa Negeri boleh memberikan kepada Perbadanan
apa-apa arahan yang bersifat am, yang tidak konsisten dengan
peruntukan Enakmen ini mengenai pelaksanaan fungsi dan penjalanan kuasa Perbadanan dan Perbadanan hendaklah melaksanakan arahan ini.

Bahagian

Bahagian VII - AM

Seksyen

37

Tajuk

Salah menggunakan maklumat
37

Mana-mana anggota, pegawai atau pekhidmat Perbadanan dan mana-mana anggota sesuatu Jawatankuasa tidak boleh menggunakan apa-apa maklumat yang diperoleh menurut kuasa kedudukannya sebagai anggota, pegawai atau pekhidmat Perbadanan atau anggota Jawatankuasa untuk mendapatkan, secara langsung atau tidak langsung, apa-apa kepentingan tidak wajar bagi diri sendiri atau untuk mana-mana orang lain atau menyebabkan kemudaratan kepada Perbadanan.

Bahagian

Bahagian VII - AM

Seksyen

38

Tajuk

Penyampaian
38 [1]

Apa-apa notis atau perhubungan lain yang dikehendaki diberikan atau disampaikan di bawah Enakmen ini kepada mana-mana orang boleh dihantar melalui pos berdaftar.

38 [2]

Maka hendaklah disifatkan bahawa notis atau perhubungan
sedemikian telah disampaikan pada hari yang berikutan hari notis atau perhubungan itu sepatutnya diterima dalam perjalanan biasa pos.

38 [3]

Jika seseorang yang kepadanya suatu surat berdaftar di
bawah subseksyen (1) dialamatkan, diberitahu hakikat tentang
adanya surat berdaftar yang menantinya di pejabat pos dan dia
enggan atau mengabaikan untuk mengambil surat berdaftar itu, maka notis atau perhubungan itu hendaklah disifatkan telah disampaikan kepadanya pada tarikh yang dia dimaklumkan sedemikian.

Bahagian

Bahagian VII - AM

Seksyen

39

Tajuk

Kesalahan oleh Perbadanan
39

Jika Perbadanan melakukan suatu kesalahan di bawah Enakmen ini—
(a) mana-mana orang yang, pada masa kesalahan itu dilakukan merupakan Ketua Pegawai Eksekutif, setiausaha atau pegawai yang seumpamanya bagi pertubuhan Perbadanan itu, boleh didakwa secara berasingan atau bersesama dalam prosiding yang sama dengan pertubuhan Perbadanan itu; dan
(b) tiap-tiap Ketua Pegawai Eksekutif, setiausaha atau pegawai yang seumpamanya bagi Perbadanan itu, yang dalam apa-apa cara, melalui perbuatan atau peninggalan secara langsung atau tidak langsung, terlibat dengan, atau
menjadi pihak dalam, perlakuan kesalahan itu hendaklah
disifatkan telah melakukan kesalahan itu,

melainkan jika dia membuktikan bahawa kesalahan itu telah
dilakukan tanpa pengetahuannya atau pembiarannya atau bahawa dia telah mengambil segala langkah berjaga-jaga yang munasabah atau bahawa dia telah mengambil segala usaha yang wajar bagi mengelakkan kesalahan itu daripada berlaku.

Bahagian

Bahagian VII - AM

Seksyen

40

Tajuk

Indemniti dan perlindungan daripada guaman dan prosiding undang-undang
40

Tiada tindakan boleh diambil atau pendakwaan boleh
dibawa, dimulakan atau dibuat terhadap Pihak Berkuasa Negeri, Perbadanan, sesuatu Jawatankuasa, anggota Perbadanan atau sesuatu Jawatankuasa, Ketua Pegawai Eksekutif, pegawai dan pekhidmat Perbadanan atau mana-mana orang yang bertindak
di bawah arahan Pihak Berkuasa Negeri atau Perbadanan di dalam mana-mana mahkamah bagi apa-apa perkara yang dilakukan atau ditinggalkan daripada dilakukan di bawah Enakmen ini—
(a) dengan suci hati;
(b) dengan semunasabahnya mempercayai bahawa perkara
itu perlu bagi maksud yang diniatkan untuk dicapai melaluinya; atau
(c) bagi melaksanakan peruntukan Enakmen ini.

Bahagian

Bahagian VII - AM

Seksyen

41

Tajuk

Hak akses
41 [1]

Ketua Pegawai Eksekutif dan semua pegawai dan
pekhidmat Perbadanan hendaklah, pada setiap masa yang munasabah, mempunyai akses bebas untuk memasuki semua tanah bagi maksud melaksanakan peruntukan Enakmen ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya.

41

Mana-mana orang yang menghalang, menggalang, menahan,
melengah-lengahkan atau mengganggu Ketua Pegawai Eksekutif atau mana-mana pegawai atau pekhidmat Perbadanan daripada menjalankan mana-mana kuasanya atau melaksanakan fungsi atau kewajipannya yang sah di bawah Enakmen ini atau mana- mana peraturan yang dibuat di bawahnya atau tidak memberikan bantuan yang semunasabahnya dikehendaki oleh Ketua Pegawai
Eksekutif atau mana-mana pegawai atau pekhidmat Perbadanan melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Bahagian

Bahagian VII - AM

Seksyen

42

Tajuk

Pendakwaan
42

Tiada pendakwaan boleh dimulakan bagi mana-mana kesalahan di bawah Enakmen ini tanpa keizinan secara bertulis daripada Pendakwa Raya.

Bahagian

Bahagian VIII - PEMANSUHAN DAN PERALIHAN

Seksyen

43

Tajuk

Pemansuhan
43

Enakmen Muzium Selangor 1975 [Enakmen No. 6/1975]
dimansuhkan.

Bahagian

Bahagian VIII - PEMANSUHAN DAN PERALIHAN

Seksyen

44

Tajuk

Keberterusan undang-undang, dsb.
44 [1]

Tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini, segala undang-
undang bertulis, perintah, peraturan dan kaedah yang menyentuh atau bagi perlindungan Lembaga dan berkuat kuasa sebaik sebelum tarikh yang ditetapkan hendaklah, sehingga dipinda atau dibatalkan di bawah Enakmen ini, terus berkuat kuasa pada dan selepas tarikh yang ditetapkan dan ditafsirkan seolah-olah Enakmen ini telah tidak diluluskan; dan apa-apa sebutan di dalamnya mengenai
Lembaga hendaklah, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain, ditafsirkan sebagai sebutan mengenai Perbadanan, dan ungkapan yang mengandungi sebutan sedemikian hendaklah ditafsirkan sewajarnya.

44 [2]

Segala perintah, arahan, pelantikan, pemberitahuan dan
peraturan yang dibuat di bawah Enakmen yang dimansuhkan dan berkuat kuasa sebaik sebelum tarikh yang ditetapkan hendaklah, setakat yang perintah, arahan, pelantikan, pemberitahuan dan peraturan itu selaras dengan peruntukan Enakmen ini, disifatkan telah dibuat di bawah Enakmen ini, dan hendaklah terus berkuat kuasa sehingga perintah, arahan, pelantikan, pemberitahuan dan peraturan itu digantikan, dipinda atau dibatalkan di bawah Enakmen ini.

Bahagian

Bahagian VIII - PEMANSUHAN DAN PERALIHAN

Seksyen

45

Tajuk

Perpindahan kuasa, hak, liabiliti dan tugas
45

Tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini, segala kuasa,
hak, keistimewaan, tugas, liabiliti atau kewajipan yang sebaik
sebelum tarikh yang ditetapkan ialah kuasa, hak, keistimewaan, tugas, liabiliti atau kewajipan Lembaga hendaklah dari tarikh itu turun kepada Perbadanan.

Bahagian

Bahagian VIII - PEMANSUHAN DAN PERALIHAN

Seksyen

46

Tajuk

Perpindahan harta
46

Tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini, segala harta alih
atau tak alih, yang terletak hak pada Lembaga sebaik sebelum
tarikh yang ditetapkan hendaklah pada hari itu terletak hak pada Perbadanan tanpa apa-apa permindahhakan, penyerahhakan atau pemindahan hak milik.

Bahagian

Bahagian VIII - PEMANSUHAN DAN PERALIHAN

Seksyen

47

Tajuk

Kontrak yang sedia ada
47

Tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini, segala surat ikatan, bon, perjanjian, surat cara dan perkiraan kerja yang wujud sebaik sebelum tarikh yang ditetapkan dan menyentuh mana-mana harta yang dipindahkan di bawah seksyen 46 hendaklah mempunyai kuat kuasa dan kesan penuh terhadap atau memihak kepada Perbadanan dan boleh dikuatkuasakan sepenuhnya dan secara berkesan seolah-olah Perbadanan, dan bukannya Lembaga atau mana-mana orang yang bertindak bagi pihak Lembaga, telah dinamakan di dalamnya
atau telah menjadi suatu pihak kepadanya.

Bahagian

Bahagian VIII - PEMANSUHAN DAN PERALIHAN

Seksyen

48

Tajuk

Keberterusan prosiding sivil
48 [1]

Tertakluk kepada peruntukan Enakmen ini, apa-apa
prosiding sivil atau kausa tindakan yang belum selesai atau yang wujud sebaik sebelum tarikh yang ditetapkan oleh atau terhadap Lembaga atau mana-mana orang yang bertindak bagi pihak Lembaga bolehlah diteruskan atau dimulakan oleh atau terhadap Perbadanan sebagaimana ia boleh diteruskan atau dimulakan oleh atau terhadap Lembaga atau orang itu seolah-olah Enakmen ini telah tidak diluluskan.

48 [2]

Apa-apa rayuan yang dibawa atau apa-apa kebenaran untuk
merayu yang dipohon pada atau selepas tarikh yang ditetapkan
terhadap sesuatu keputusan yang diberikan dalam mana-mana
prosiding undang-undang sebelum tarikh itu bolehlah dibawa
oleh atau terhadap Perbadanan sebagaimana ia boleh dibawa
oleh atau terhadap Lembaga seolah-olah Enakmen ini telah tidak diluluskan.

Bahagian

Bahagian VIII - PEMANSUHAN DAN PERALIHAN

Seksyen

49

Tajuk

Pegawai dan pekhidmat Lembaga
49 [1]

Perbadanan hendaklah menerima ke dalam penggajiannya
pada tarikh yang ditetapkan tiap-tiap orang yang sebaik sebelum tarikh itu ialah seorang pegawai atau pekhidmat Lembaga dan yang telah diberi pilihan oleh Lembaga dan telah membuat pilihan untuk berkhidmat sebagai pekerja Perbadanan.

49 [2]

Tiap-tiap orang yang memilih untuk berkhidmat sebagai
pekerja Perbadanan hendaklah diambil kerja oleh Perbadanan atas terma dan syarat perkhidmatan yang tidak kurang baiknya daripada terma dan syarat perkhidmatan yang kepadanya dia berhak sebaik sebelum tarikh yang ditetapkan.

Bahagian

Bahagian VIII - PEMANSUHAN DAN PERALIHAN

Seksyen

50

Tajuk

Mengelakkan anomali
50 [1]

Jika apa-apa kesukaran timbul berkenaan dengan
peruntukan peralihan yang diperuntukkan dalam Bahagian ini,
Pihak Berkuasa Negeri boleh, melalui perintah, membuat apa-apa ubahsuaian dalam peruntukan ini sebagaimana yang didapatinya perlu bagi mengatasi atau mengelakkan apa-apa kesukaran.

50 [2]

Pihak Berkuasa Negeri tidak boleh menjalankan kuasa yang
diberikan oleh subseksyen (1) selepas habis tempoh dua tahun
dari tarikh yang ditetapkan.

50 [3]

Dalam seksyen ini, “ubahsuaian” termasuklah pindaan,
penambahan, pemotongan, penggantian, penyesuaian, perubahan, pengubahan dan ketidakpakaian mana-mana peruntukan Bahagian ini.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.