Semua Seksyen

Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001

Bahagian

1 (Permulaan)

Seksyen

1

Tajuk

Tajuk ringkas dan mula berkuat kuasa.
1 [1]

Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor 2001.

1 [2]

Enakmen ini hendaklah mula berkuat kuasa pada tarikh yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri melalui pemberitahuan dalam Warta.

Bahagian

1 (Permulaan)

Seksyen

2

Tajuk

Tafsiran
2 [1]

Dalam Enakmen ini, melainkan jika konteksnya menghendaki makna yang lain:

“ditetapkan” ertinya ditetapkan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Enakmen ini;

“hartanah” ertinya mana-mana tanah yang dibina atasnya sebarang bangunan untuk aktiviti komersil;

“Kumpulan Wang” ertinya kumpulan wang yang ditubuhkan di bawah Bahagian IV;

“Lembaga” ertinya Lembaga Perumahan dan Hartanah
Selangor yang ditubuhkan di bawah seksyen 3;

“Menteri” ertinya Perdana Menteri atau mana-mana Menteri seperti yang ditetapkan olehnya;

“Negeri” ertinya Negeri Selangor. “pemaju berlesen” ertinya pemaju yang dilesenkan di bawah Akta Pemaju Perumahan (Pengawalan dan Pelesenan) 1966;

“pembangunan perumahan” ertinya pembinaan atau menyebabkan dibina lebih dari empat yunit perumahan di atas mana-mana tanah untuk dijual;

“penghuni yang dibenarkan” ertinya seorang yang dinamakan dalam sesuatu permohonan yang dibuat kepada Lembaga sebagai orang yang ingin menduduki rumah, apartmen atau kediaman lain itu yang telah dijual atau akan dijual oleh Lembaga atau mana-mana orang yang dibenarkan secara bertulis oleh Lembaga untuk menduduki rumah yang berkenaan itu;

“Pengarah Eksekutif” ertinya ketua pegawai eksekutif Lembaga yang dilantik di bawah seksyen 12 dan termasuklah mana-mana pegawai yang menjalankan tugas-tugas Pengarah Eksekutif;

“Pengerusi” ertinya Pengerusi Lembaga yang dilantik di bawah seksyen 4 dan termasuklah Timbalan Pengerusi serta mana-mana Pengerusi sementara semasa menjalankan tugas-tugas sebagai Pengerusi;

“perbadanan” ertinya sesuatu perbadanan yang ditubuhkan di bawah seksyen 7;

“perumahan” termasuk apa jua rumah, apartmen, bangunan atau struktur atau mana-mana bahagiannya (sama ada siap atau sebaliknya) yang digunakan atau mempunyai niat digunakan sebagai kediaman;

“perumahan awam” ertinya mana-mana rumah, apartmen atau kediaman lain, termasuk sebarang pembangunan perumahan atau bahagiannya seperti yang ditetapkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa;

“pihak berkuasa awam” ertinya mana-mana pihak berkuasa yang menjalankan kuasa-kuasa yang terletak hak padanya oleh undang-undang Persekutuan atau undang-undang Negeri atau mana-mana orang yang dilantik oleh atau bertindak bagi mana-mana pihak berkuasa itu;

“rumah kos rendah” ertinya mana-mana rumah, apartmen atau kediaman lain yang harga penjualannya ditetapkan oleh Lembaga dari semasa ke semasa.

2 [2]

Dalam Enakmen ini rujukan kepada apa-apa rumah, apartmen atau kediaman lain hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk rujukan kepada tanah bersama rumah, apartmen atau kediaman lain itu.

Bahagian

2 (Penubuhan Lembaga)

Seksyen

3

Tajuk

Penubuhan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.
3 [1]

Suatu pertubuhan perbadanan dengan nama “Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor” adalah ditubuhkan.

3 [2]

Lembaga adalah kekal turun-temurun dan mempunyai suatu meterai perbadanan.

3 [3]

Lembaga boleh membawa guaman dan dibawa guaman terhadapnya atas namanya.

3 [4]

Tertakluk kepada dan bagi maksud Enakmen ini, Lembaga boleh, atas apa-apa terma yang didapatinya patut—

(a) membuat kontrak;

(b) memperoleh, membeli, mengambil, memegang, menjual dan menikmati apa-apa jenis harta alih dan tak alih; dan

(c) memindahkan, menyerahhakkan, menyerahkan balik, memulangkan, menggadaikan, menggadaijanjikan, mendemiskan, menyerahhakkan semula, memindahkan hakmilik atau dengan apa-apa cara lain melupuskan, atau menjalankan urusan mengenai apa-apa harta alih atau harta tak alih atau apa-apa kepentingan mengenai harta itu yang terletak hak pada Lembaga.

Bahagian

2 (Penubuhan Lembaga)

Seksyen

4

Tajuk

Keanggotaan Lembaga
4 [1]

Lembaga hendaklah terdiri daripada ahli-ahli seperti berikut:

(a) Menteri Besar yang hendaklah menjadi Pengerusi;

(b) Setiausaha Kerajaan Negeri yang hendaklah menjadi Timbalan Pengerusi;

(c) tiga orang wakil dari Kerajaan Negeri yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri;

(d) tiga orang wakil Kerajaan Persekutuan yang dilantik oleh Menteri;

(e) seorang wakil dari pemaju-pemaju perumahan yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri; dan

(f) dua orang wakil dari pertubuhan-pertubuhan profesional berkaitan yang dilantik oleh Pihak Berkuasa Negeri.

4 [2]

Tertakluk kepada apa-apa syarat yang dinyatakan dalam suratcara pelantikannya, seseorang anggota Lembaga selain dari sesiapa yang disebut di dalam perenggan-peranggan (c) dan (d) hendaklah, melainkan jika dia terlebih dahulu meletakkan atau mengosongkan jawatannya atau pelantikannya terlebih dahulu dibatalkan, memegang jawatan selama tempoh yang tidak melebihi dua tahun
dan adalah layak untuk dilantik semula.

4 [3]

Ahli-ahli Lembaga bolehlah dibayar saraan atau elaun seperti yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

4 [4]

Peruntukan-peruntukan di dalam Jadual Pertama adalah terpakai berkenaan dengan Lembaga dan ahli-ahlinya.

Bahagian

2 (Penubuhan Lembaga)

Seksyen

5

Tajuk

Meterai Lembaga.
5 [1]

Meterai perbadanan bagi Lembaga hendaklah mengandungi apa-apa reka bentuk yang diluluskan oleh Lembaga dan meterai itu boleh, dari semasa ke semasa, dipecahkan, ditukar, diubah atau dibuat baharu sebagaimana yang Lembaga fikirkan patut.

5 [2]

Sehingga suatu meterai diadakan oleh Lembaga, suatu cap yang mengandungi perkataan “Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor” boleh digunakan dan hendaklah disifatkan sebagai meterai perbadanan bagi Lembaga.

5 [3]

Meterai perbadanan itu hendaklah disimpan di dalam jagaan Pengarah Eksekutif atau mana-mana orang lain yang diberi kuasa oleh Lembaga dan hendaklah disahkan sama ada oleh Pengerusi atau oleh orang yang diberi kuasa itu atau oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa oleh Pengerusi secara bertulis.

5 [4]

Segala surat ikatan, dokumen dan surat cara lain yang berupa sebagai dimeteraikan dengan meterai perbadanan itu dan yang disahkan mengikut subseksyen (3) hendaklah disifatkan telah disempurnakan dengan sah sehingga dibuktikan sebaliknya.

5 [5]

Walau apa pun subseksyen (4), apa-apa dokumen atau surat cara yang disempurnakan oleh seseorang yang bukan suatu pertubuhan perbadanan, tidak dikehendaki dimeteraikan boleh disempurnakan oleh Lembaga mengikut cara yang serupa; dan mana-mana dokumen atau surat cara itu boleh disempurnakan bagi pihak Lembaga oleh
mana-mana anggota, pekerja atau ejen Lembaga yang diberi kuasa secara am atau khas oleh Lembaga bagi maksud itu.

5 [6]

Meterai perbadanan bagi Lembaga hendaklah diberi pengiktirafan rasmi dan kehakiman.

Bahagian

2 (Penubuhan Lembaga)

Seksyen

6

Tajuk

Fungsi dan kuasa Lembaga
6 [1]

Fungsi Lembaga adalah untuk menggalakkan dan melaksanakan pembangunan perumahan dan hartanah dan secara khusus untuk—

(a) memberi nasihat kepada Pihak Berkuasa Negeri berkenaan dengan dasar-dasar, cara-cara dan langkah-langkah yang hendak diambil untuk menggalakkan dan memudahkan pembangunan perumahan dan hartanah;

(b) memudahkan pembangunan perumahan dan hartanah secara am dan secara khusus perumahan awam dan kos rendah;

(c) melaksanakan dan memberi kesan kepada apa-apa dasar, arahan atau perintah Pihak Berkuasa Negeri;

(d) membangun, menerima pakai dan melaksanakan dasar-dasar, panduan-panduan, piawai-piawai, cara-cara dan langkah-langkah mengenai pembangunan, pengurusan dan peruntukan perumahan awam dan kos rendah;

(e) menjalankan peranan penyelarasan antara ejensi untuk membolehkan kemajuan dan pelaksanaan pembangunan perumahan dan hartanah secara pesat;

(f) merancang, membangun, melaksana dan menggalakkan pembangunan, pelaksanaan, pemasaran dan penjualan perumahan dan hartanah secara amnya dan secara khususnya bagi perumahan awam dan kos rendah;

(g) membolehkan penubuhan dan operasi tabung-tabung amanah dan untuk meletakhak harta, hak-hak dan liabiliti-liabiliti di tabung-tabung itu;

(h) mengurus dan menjalankan pengendalian dan penyelenggaraan kawasan-kawasan perumahan termasuk kemudahan, infrastruktur, tempat-tempat dan alat-alat di kawasan-kawasan tersebut;

(i) menggalakkan, menyelaraskan dan melaksanakan kajian dan pembangunan di dalam semua aspek perumahan dan hartanah dan secara khusus mengenai perumahan awam dan kos rendah;

(j) mentadbir dan mengurus Kumpulan Wang;

(k) menjadi pusat sumber dan maklumat untuk industri perumahan dan hartanah; dan

(l) menerima pakai dan melaksanakan dasar-dasar, pelan dan projek oleh Kerajaan Persekutuan seperti yang diarah oleh Pihak Berkuasa Negeri.

6 [2]

Lembaga hendaklah mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan yang sewajarnya bagi atau yang berkaitan untuk menjalankan fungsi-fungsinya dan khusus bagi—

(a) mengendalikan, tinjauan, membuat kajian dan mengumpul maklumat untuk penyediaan pelan-pelan pembangunan dan pengurusan bagi perumahan dan hartanah;

(b) mengadakan suatu daftar mana-mana orang yang menjalankan pembangunan perumahan dan hartanah;

(c) memutuskan, menerima pakai dan melaksanakan piawai-piawai, panduan-panduan dan tindakan-tindakan lain untuk memastikan mutu pembangunan perumahan dan hartanah;

(d) merancang dan melaksanakan pembangunan perumahan dan hartanah dan sebarang kerja yang berhubungan dengannya;

(e) tertakluk kepada mana-mana undang bertulis, merumus dan melaksanakan caj-caj dan fi penyelenggaraan dan lain yang berkaitan untuk perumahan dan hartanah dan penggunaan kemudahan-kemudahan disitu;

(f) merumus dan melaksanakan tindakan-tindakan untuk memastikan bahawa pengurusan dan penyelengaraan sebarang bangunan atau kerja di dalam mana-mana pembangunan perumahan atau hartanah adalah dilaksanakan mengikut apa-apa undang-undang bertulis;

(g) menetapkan dan mengenakan fi, bayaran, faedah dan caj-caj lain yang berhubungan dengan pelaksanaan fungsi-fungsi dan kuasa-kuasa di bawah Enakmen ini;

(h) membina, menyelenggara, membaiki, memulih,mendiami semula dan menggunakan sebarang struktur, bangunan atau kerja-kerja di dalam mana-mana rancangan perumahan atau hartanah;

(i) melantik atau menggaji ejen-ejen, penasihat teknikal, konsultan, kontraktor atau orang lain untuk mengendalikan apa-apa perniagaan atau mengadakan perjanjian untuk menjalankan mana-mana fungsi atau tanggungjawabnya atau untuk perkongsian keuntungan atau usahasama dengan
mana-mana orang atau kumpulan orang;

(j) menjalankan dan menyelaraskan aktiviti-aktiviti berkaitan dengan kajian dan latihan untuk pembangunan perumahan dan hartanah termasuk melantik mana-mana orang atau badan untuk menjalankan kajian atau latihan tersebut;

(k) tertakluk kepada Akta Pemaju Perumahan (Pengawalan dan Pelesenan) 1966, salvaj, memperolehi, menyelamat, menyerah hak semula atau menghendaki mana-mana pemaju perumahan atau hartanah atau ejensi awam untuk salvaj,
menyelamat atau menyerah hak semula sebarang pembangunan perumahan atau hartanah yang terbengkalai atau yang terlalu lewat;

(l) menetapkan dasar-dasar dan panduan-panduan bagi memperuntukkan rumah-rumah di sebarang pembangunan perumahan kepada pembeli-pembeli dan melaksanakan dasar-dasar dan panduan-panduan itu;

(m) memperolehi melalui pembelian, hadiah, suratikatan, amanah atau sebaliknya dan melupuskan atau berurusan dengan harta alih dan harta tak alih dan sebarang kepentingan di dalamnya, atas terma-terma dan syarat-syarat
yang dianggap wajar oleh Lembaga;

(n) membuat atau melaksanakan sebarang perbuatan yang dianggap oleh Lembaga sebagai perlu, bermanfaat atau suai manfaat untuk dilakukan atau dibuat di dalam pelaksanaan tugas-tugasnya atau untuk melaksanakan secara lebih berkesan tujuan-tujuan Enakmen ini; dan

(o) melaksanakan semua fungsi dan kuasa dan menjalankan semua tugas yang diberikan atau diwakilkan kepadanya di bawah atau berkenaan mana-mana undang-undang bertulis yang lain.

Bahagian

2 (Penubuhan Lembaga)

Seksyen

7

Tajuk

Kuasa untuk menubuhkan perbadanan
7

Lembaga bolehlah dari semasa ke semasa, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, setelah berunding dengan Menteri, menubuhkan suatu perbadanan menurut Jadual 2 untuk membangunkan dan mempunyai tanggungjawab, pengendalian dan pengurusan mana-mana rancangan perumahan pada melaksanakan tugas-tugas dan fungsinya di bawah seksyen 6.

Bahagian

2 (Penubuhan Lembaga)

Seksyen

8

Tajuk

Perwakilan
8 [1]

Lembaga bolehlah, tertakluk kepada apa-apa syarat, had atau sekatan yang didapati patut dikenakan, mewakilkan kepada mana-mana jawatankuasa, jawatankuasa kecil, pihak berkuasa awam atau Pengerusi, Timbalan Pengerusi atau Pengarah Eksekutif kuasa serta kebenaran untuk melaksanakan bagi pihaknya mana-mana fungsi, tanggungjawab dan kuasa yang ditentukan oleh Lembaga untuk dilaksanakan di dalam atau di luar Negeri kecuali kuasa untuk meminjam wang, mendapatkan pinjaman atau membuat peraturan dan sebarang fungsi, tugas atau kuasa yang telah diwakilkan boleh dilaksanakan atau dilakukan di atas nama dan bagi pihak Lembaga.

8 [2]

Tanpa prejudis kepada keluasan subseksyen (1), Lembaga boleh mewakilkan kepada Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Pengarah Eksekutif atau mana-mana ahlinya, pegawai, jawatankuasa atau jawatankuasa kecil kuasa untuk membenarkan perbelanjaan dari Tabung atau sebarang wang lain di bawah kawalan Lembaga sehingga satu had yang disebutkan oleh Lembaga dalam kes itu.

Bahagian

2 (Penubuhan Lembaga)

Seksyen

9

Tajuk

Arahan-arahan oleh Menteri dan Pihak Berkuasa Negeri.
9 [1]

Pihak Berkuasa Negeri boleh, dari semasa ke semasa, memberikan kepada Lembaga arahan-arahan yang perlu yang bersifat am yang bukan tak konsisten dengan peruntukan Enakmen ini atau arahan dari Menteri di bawah subseksyen (2), dan Lembaga hendaklah melaksanakan arahan-arahan itu.

9 [2]

Menteri boleh memberi kepada Lembaga apa-apa arahan yang perlu diikuti di dalam penjalanan dan pelaksanaan fungsi-fungsinya dan Lembaga hendaklah memberi kesan kepada arahan-arahan itu.

9 [3]

Tambahan kepada tugas-tugas yang dikenakan ke atas Lembaga di bawah Enakmen ini, Lembaga boleh menjalankan apa-apa fungsi lain, melaksanakan apa-apa kuasa lain dan mentadbir dan membelanjakan apa-apa wang lain bagi apa-apa maksud yang mungkin diuntukkan atau diberi kepadanya oleh Kerajaan Negeri atau mana-mana pihak berkuasa, setelah diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan, dan dalam melakukan yang demikian Lembaga hendaklah disifatkan sebagai menunaikan maksud Enakmen ini.

Bahagian

2 (Penubuhan Lembaga)

Seksyen

10

Tajuk

Maklumat kepada Pihak Berkuasa Negeri
10

Lembaga hendaklah membekalkan sebarang penyata, laporan, akaun dan maklumat kepada Pihak Berkuasa Negeri berhubung dengan harta dan kegiatannya seperti yang diperlukan atau diarahkan oleh Pihak Berkuasa Negeri dari semasa ke semasa.

Bahagian

2 (Penubuhan Lembaga)

Seksyen

11

Tajuk

Pembentangan projek- projek kepada Pihak Berkuasa Negeri
11

Lembaga hendaklah dari semasa ke semasa menyediakan dan membentangkan kepada Pihak Berkuasa Negeri cadangan-cadangan, pelan dan projek yang menunjukkan bidang kerja yang dicadangkan dilaksanakan dan Pihak Berkuasa Negeri bolehlah menolak, meminda atau meluluskan mana-mana cadangan, pelan atau projek
itu atau sebahagian darinya

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

12

Tajuk

Pelantikan Pengarah Eksekutif dan pekerja lain
12 [1]

Lembaga hendaklah melantik seorang Pengarah Eksekutif atas apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Lembaga.

12 [2]

Pelantikan Pengarah Eksekutif hendaklah dengan terlebih dahulu mendapat kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

12 [3]

Jika pada sesuatu tempoh Pengarah Eksekutif atas apa-apa sebab tidak boleh menjalankan kuasa dan tugas jawatannya Lembaga boleh melantik orang lain yang layak dan wajar untuk bertindak sebagai Pengarah Eksekutif.

12 [4]

Lembaga boleh melantik atas apa-apa terma dan syarat-syarat sebagaimana yang difikirkannya perlu beberapa orang pekerja untuk melaksanakan maksud Enakmen ini.

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

13

Tajuk

Tugas Pengarah Eksekutif
13

Pengarah Eksekutif hendaklah—

(a) bertanggungjawab untuk pentadbiran dan pengurusan Lembaga yang patut;

(b) bertanggungjawab untuk penyediaan dasar-dasar, pelan-pelan, program-program, skim-skim atau projek-projek untuk pertimbangan Lembaga;

(c) bertanggungjawab untuk melaksanakan, menyelia dan mengawal kesemua keputusan dasar, pelan, program, skim dan projek yang diluluskan oleh Lembaga;

(d) menjalankan penyeliaan dan kawalan ke atas kesemua pekerja Lembaga; dan

(e) melakukan tugas-tugas dan menjalankan kuasa-kuasa seperti yang dari semasa ke semasa ditetapkan atau diwakilkan oleh Lembaga atau sebagaimana diarah oleh Pengerusi.

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

14

Tajuk

Lembaga menentukan syarat-syarat perkhidmatan
14 [1]

Pekerja Lembaga hendaklah memegang jawatan bagi tempoh tertentu, menerima saraan, fi dan elaun serta tertakluk kepada syarat-syarat perkhidmatan sebagaimana yang ditetapkan oleh Lembaga dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri.

14 [2]

Seseorang pekerja lembaga hendaklah tidak menggunakan apa-apa maklumat yang diperolehi dengan sebab kedudukannya sebagai seorang pekerja lembaga untuk mendapat apa-apa faedah tidak wajar sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk dirinya sendiri atau untuk orang lain atau menyebabkan kerugian kepada
lembaga.

14 [3]

Lembaga boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, membuat peraturan-peraturan yang difikirkannya perlu atau sesuai untuk menentukan syarat-syarat perkhidmatan pekerjanya.

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

15

Tajuk

Tatatertib
15

Lembaga hendaklah mempunyai kuasa tatatertib ke atas semua pekerjanya dan hendaklah menjalankan kawalan berkenaan dengan semua orang yang sedemikian menurut Enakmen Badan-Badan Berkanun (Tatatertib Dan Surcaj) (Selangor) 2001.

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

16

Tajuk

Penzahiran kepentingan
16 [1]

Seseorang anggota Lembaga atau mana-mana jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen 18 yang mempunyai atau yang memperoleh kepentingan langsung atau tidak langsung dengan sendiri, menerusi anggota  keluarganya atau menerusi sekutunya berhubung dengan mana-mana perkara yang sedang dibincangkan oleh Lembaga atau jawatankuasa itu hendaklah menzahirkan kepada Lembaga atau jawatankuasa itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, hakikat kepentingannya dan jenis kepentingan itu.

16 [2]

Penzahiran di bawah subseksyen (1) hendaklah direkodkan dalam minit mesyuarat Lembaga atau jawatankuasa itu, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dalamnya perkara itu dibincangkan dan selepas penzahiran itu, anggota itu—

(a) tidak boleh dikira bagi maksud membentuk kuorum mesyuarat Lembaga atau jawatankuasa itu, mengikut mana-mana yang berkenaan; dan

(b) tidak boleh mengambil bahagian atau hadir dalam mana-mana perbincangan atau keputusan Lembaga atau jawatankuasa itu, mengikut mana-mana yang berkenaan,

apabila perkara itu dibincangkan atau diputuskan.

16 [3]

Mana-mana anggota Lembaga atau jawatankuasa yang tidak menzahirkan kepentingannya sebagaimana yang diperuntukkan di bawah subseksyen (1) adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

16 [4]

Tiada tindakan atau prosiding Lembaga atau jawatankuasa, boleh ditaksahkan atas alasan bahawa mana-mana anggota Lembaga atau jawatankuasa telah melanggar peruntukan-peruntukan seksyen ini.

16 [5]

Bagi maksud seksyen ini—

(a) “anggota keluarga”, berhubung dengan seseorang anggota Lembaga atau jawatankuasa, termasuklah—

(i) suami atau isterinya;

(ii) ibu atau bapanya (termasuk ibu atau bapa suami atau isterinya);

(iii) anaknya (termasuk anak angkat atau anak tiri);

(iv) adik beradiknya (termasuk adik beradik suami atau isterinya); dan

(v) suami atau isteri anaknya atau adik beradiknya; dan

(b) “sekutu”, berhubung dengan seseorang anggota Lembaga atau jawatankuasa, ertinya—

(i) mana-mana orang yang merupakan penama atau pekerja anggota itu;

(ii) mana-mana firma yang anggota itu atau mana-mana penamanya merupakan seorang pekongsinya;

(iii) pekongsi anggota itu;

(iv) pemegang amanah sesuatu amanah yang di bawahnya anggota itu atau seseorang anggota keluarganya menjadi
benefisiarinya; atau

(v) mana-mana perbadanan, mengikut pengertian Akta Syarikat 1965, yang anggota itu atau mana-mana penamanya atau seseorang anggota keluarganya menjadi pengarahnya atau mempunyai kepentingan kawalan atau syer yang jumlah nilainya tidak kurang daripada tiga puluh peratus daripada jumlah modal diterbitkan perbadanan itu.

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

17

Tajuk

Lembaga boleh menerima pakai peraturan- peraturan, dsb.
17

Dalam membuat apa-apa peraturan di bawah Bahagian ini, Lembaga boleh, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, menerima pakai dengan membuat apa-apa ubahsuaian yang difikirkannya patut mana-mana peraturan, kaedah, dasar, pekeliling dan arahan yang diperbuat atau dikeluarkan oleh Kerajaan Negeri atau Kerajaan
Persekutuan.

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

18

Tajuk

Penubuhan jawatankuasa.
18 [1]

Lembaga boleh menubuhkan apa-apa jawatankuasa yang didapatinya perlu atau suai manfaat untuk membantunya melaksanakan fungsinya dan menjalankan kuasanya di bawah Enakmen ini.

18 [2]

Anggota sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah subseksyen (1) boleh dilantik daripada kalangan anggota Lembaga atau mana-mana orang lain yang didapati patut oleh Lembaga.

18 [3]

Lembaga boleh membatalkan pelantikan mana-mana anggota sesuatu jawatankuasa tanpa memberikan apa-apa sebab bagi pembatalan itu.

18 [4]

Anggota sesuatu jawatankuasa boleh meletakkan jawatan dengan memberikan notis bertulis kepada Pengerusi.

18 [5]

Sesuatu jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen ini boleh melantik mana-mana anggotanya menjadi pengerusi dan boleh mengawal selia tatacaranya sendiri, dan pada menjalankan kuasanya jawatankuasa itu hendaklah tertakluk kepada dan bertindak mengikut apa-apa arahan yang diberikan kepada jawatankuasa itu oleh Lembaga.

18 [6]

Syarat-syarat yang terkandung di dalam Jadual 3 adalah mutatis mutandis dipakaikan kepada jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen ini.

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

19

Tajuk

Pewakilan fungsi atau kuasa Lembaga kepada mana- mana jawatankuasa.
19 [1]

Lembaga boleh mewakilkan mana-mana fungsi atau kuasanya kepada mana-mana jawatankuasa yang ditubuhkan di bawah seksyen 18 sebagaimana yang disifatkannya perlu atau wajar.

19 [2]

Apa-apa fungsi atau kuasa yang diwakilkan di bawah seksyen ini—

(a) boleh diwakilkan sedemikian tertakluk kepada apa-apa syarat atau sekatan sebagaimana yang dikenakan secara am atau khas oleh Lembaga; dan

(b) hendaklah dijalankan oleh jawatankuasa itu atas nama dan bagi pihak Lembaga.

19 [3]

Pewakilan di bawah seksyen ini tidaklah menghalang Lembaga melaksanakan atau menjalankan sendiri mana-mana fungsi atau kuasa yang diwakilkan itu pada bila-bila masa.

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

20

Tajuk

Pekhidmat awam untuk tujuan Kanun Keseksaan. Akta 574.
20

Semua anggota Lembaga dan jawatankuasanya dan semua pekerja dan ejen Lembaga semasa menunaikan kewajipannya sebagai anggota, pekerja atau ejen itu hendaklah disifatkan sebagai pekhidmat awam mengikut pengertian Kanun Keseksaan.

Bahagian

3 (Pengarah Eksekutif dan Pekerja Lembaga)

Seksyen

21

Tajuk

Pemakaian Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam, 1948. Akta 198.
21 [1]

Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam, 1948 hendaklah terpakai bagi apa-apa tindakan, guaman, pendakwaan atau prosiding terhadap Lembaga atau terhadap mana-mana ahli, pekerja atau ejen Lembaga berkenaan dengan apa-apa perbuatan, keabaian atau keingkaran yang dibuat atau dilakukan olehnya atas sifat yang sedemikian.

21 [2]

Tiada perkara atau benda dilakukan dan tiada perjanjian yang dimasuki oleh Lembaga dan tiada perkara atau benda dilakukan oleh anggota, pekerja atau ejen Lembaga yang bertindak di bawah arahan Lembaga, sekiranya perkara atau benda dilakukan atau perjanjian
itu dilakukan secara bona fide untuk tujuan Enakmen ini, akan mendedahkan anggota, pekerja atau ejen kepada Lembaga kepada apa-apa tindakan undang-undang, tanggungjawab atau tuntutan, dan segala perbelanjaan oleh Lembaga atau mana-mana anggota, pekerja atau ejen yang berkenaan hendaklah dibayar oleh Lembaga dengan wang dari Tabung.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

22

Tajuk

Penubuhan Kumpulan Wang.
22

Untuk tujuan Enakmen ini maka adalah ditubuhkan suatu Tabung, selepas ini disebutkan sebagai “Tabung itu”, yang hendaklah ditadbir dan dikawal oleh Lembaga—

(a) Tabung itu hendaklah terdiri daripada—

(i) apa-apa jumlah wang yang diperuntukkan dari semasa ke semasa oleh Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan;

(ii) apa-apa jumlah wang yang diagihkan dari semasa ke semasa kepada Lembaga daripada hasil pinjaman yang diperolehi oleh Kerajaan Negeri;

(iii) apa-apa jumlah wang yang dari semasa ke semasa dipinjam oleh Lembaga bagi tujuan memenuhi obligasi atau menunaikan mana-mana fungsi dan kuasanya;

(iv) wang yang diperolehi Lembaga daripada mana-mana projek, skim atau rancangan yang dibiayai melalui Tabung itu;

(v) wang yang diperolehi atau terbit daripada apa-apa harta, pelaburan, gadai-janji, gadaian atau debentur yang diperoleh oleh atau yang terletakhak pada Lembaga;

(vi) apa-apa fi atau caj lain yang dikenakan dan dipungut oleh Lembaga; dan

(vii) segala jumlah wang atau harta lain yang mungkin dengan apa-apa cara menjadi kena dibayar kepada atau terletakhak pada Lembaga berkenaan dengan apa-apa
perkara bersampingan dengan fungsi-fungsi dan kuasa-kuasanya.

(b) Tabung itu hendaklah dibelanjakan bagi maksud-maksud yang berikut—

(i) semua perbelanjaan, termasuk perbelanjaan modal yang ditanggung oleh Lembaga dalam melaksanakan fungsi dan tugasnya;

(ii) wang untuk membayar balik pinjaman yang diberi kepada Lembaga di bawah kuasa meminjamnya;

(iii) saraan, fi dan ganjaran pekerja, ejen dan penasihat teknikal serta penasihat lain Lembaga, termasuk pinjaman yang diberi kepada pekerja; dan

(iv) apa-apa subsidi atau kemudahan kredit yang diberi oleh Lembaga mengikut kuasanya di bawah Enakmen ini.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

23

Tajuk

Hadiah.
23

Lembaga bolehlah menerima apa-apa hadiah yang diberi kepada Lembaga bagi segala atau mana-mana daripada maksud yang dinyatakan dalam Enakmen ini dan, tertakluk kepada syarat-syarat mengenai mana-mana hadiah itu, boleh menggunakannya bagi maksud-maksud itu mengikut peruntukan Enakmen ini.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

24

Tajuk

Kuasa untuk meminjam.
24

Tertakluk kepada seksyen 27 Lembaga bolehlah, dengan kelulusan Pihak Berkuasa Negeri, meminjam atas apa-apa terma dan apa-apa syarat yang ditentukan oleh Pihak Berkuasa Negeri, apa-apa jumlah wang yang diperlukan oleh Lembaga untuk melaksanakan mana-mana fungsi dan kuasanya di bawah Enakmen ini.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

25

Tajuk

Kewangan.
25 [1]

Perbelanjaan Lembaga, setakat had amaun yang dibenarkan oleh Pihak Berkuasa Negeri mengikut subseksyen (2) pada mana-mana satu tahun, hendaklah dibayar daripada Tabung itu.

25 [2]

Lembaga hendaklah, sebelum permulaan Julai, menyerahkan kepada Pihak Berkuasa Negeri anggaran perbelanjaan untuk tahun hadapan dalam bentuk dan beserta butir-butir yang dikehendaki oleh Pihak Berkuasa Negeri dan Pihak Berkuasa Negeri hendaklah sebelum permulaan September setiap tahun memberitahu Lembaga berkenaan jumlah yang dibenarkan untuk perbelanjaan secara amnya ataupun berkenaan jumlah yang dibenarkan untuk setiap
jenis perbelanjaan.

25 [3]

Lembaga bolehlah pada bila-bila masa menyerahkan anggaran tambahan untuk mana-mana satu tahun dan Pihak Berkuasa Negeri boleh memberikan kesemua atau mana-mana bahagian perbelanjaan tambahan yang termasuk di dalam anggaran tambahan itu.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

26

Tajuk

Pinjaman dan biasiswa kepada pekerjanya.
26 [1]

Tertakluk kepada subseksyen (2), (3) dan (4), Lembaga tidak boleh memberi pinjaman wang kepada seorang pekerjanya.

26 [2]

Lembaga bolehlah memberi pinjaman wang kepada
seorang pekerjanya untuk—

(a) pembelian, pembinaan, pengubahan, pengubah-
suaian atau pembesaran rumah di mana ia tinggal atau berniat untuk tinggal;

(b) melepaskan gadaian atau sekatan di atas rumah itu;

(c) pembelian kenderaan; dan

(d) pembelian lain yang difikirkan wajar oleh Lembaga.

26 [3]

Lembaga bolehlah, di mana ia berpuas hati bahawa keadaan yang khas atau keadaan ehsan wujud atau tujuannya sesuai, memberi pinjaman kepada seorang pekerjanya atas terma-terma dan syarat-syarat Lembaga fikir wajar, wang tidak melebihi pada mana-mana ketika sejumlah tiga bulan saraan pekerja itu.

26 [4]

Lembaga bolehlah menganugerahkan pinjaman pelajaran atau biasiswa kepada mana-mana pekerjanya atau mana-mana anak (termasuk anak tiri atau anak angkat) pekerja itu, atau mana orang yang sesuai, mengikut apa-apa terma dan syarat sebagaimana diluluskan oleh Lembaga secara am dan atau di dalam kes tertentu.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

27

Tajuk

Sekatan pemberian bantuan kewangan, pelaburan, dsb.
27 [1]

Lembaga hendaklah, tidak tanpa kebenaran bertulis terdahulu dari Menteri Kewangan dan Pihak Berkuasa
Negeri—

(a) menubuh atau menganjurkan penubuhan atau
pembesaran syarikat-syarikat atau lain-lain badan
untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sama ada di bawah kawalan atau separuh kawalan Lembaga sendiri atau secara bebas;

(b) memberi bantuan kewangan kepada mana-mana
syarikat, lain-lain pihak berkuasa berkanun, atau
mana-mana badan atau orang melalui pengambilan saham atau debentur atau melalui sebarang pinjaman, pendahuluan, geran, jaminan kewangan atau sebagainya;

(c) membeli, menanggung atau sebagainya memiliki
apa-apa stok dan saham di dalam mana-mana syarikat awam atau persendirian; atau

(d) meminjam wang atau memasuki sebarang jaminan
yang melibatkan liabiliti kewangan.

27 [2]

Jika Lembaga menjalankan kuasanya di bawah subseksyen (1)(a) atau jika ianya mempunyai kawalan atau kawalan separuh sesuatu syarikat atau badan lain ahli-ahli pengurusan syarikat atau badan lain itu hendaklah mengandungi tidak kurang dari seorang ahli atau seorang pegawai dari Lembaga.

27 [3]

Semasa memberi apa-apa persetujuan di bawah subseksyen (1) Menteri Kewangan dan Pihak Berkuasa Negeri boleh mengenakan apa jua terma-terma dan syarat-syarat seperti yang difikirkan sesuai olehnya.

27 [4]

Tiada badan berkanun boleh ditubuhkan oleh Lembaga di bawah Enakmen ini atau di bawah mana-mana undang lain.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

28

Tajuk

Pelaburan wang yang tidak dibelanjakan.
28

Tabung Lembaga itu bolehlah, setakat mana ianya tidak dikehendaki untuk dibelanjakan oleh Lembaga, dilaburkan mengikut apa-apa cara atau disimpan di mana-mana institusi kewangan yang diluluskan oleh Menteri Kewangan.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

29

Tajuk

Aset tidak boleh dilupuskan tanpa kebenaran.
29

Lembaga tidak boleh, tanpa kebenaran bertulis terlebih
dahulu daripada Menteri Kewangan, melupuskan, menanggalkan atau menukarkan bagi ganjaran lain mana-
mana asetnya melainkan Menteri tersebut mengarahkan, samada secara khusus mengenai sesuatu aset, atau secara
am mengenai mana-mana kategori aset, bahawa setelah
mengambil kira nilai aset atau aset-aset itu yang rendah,
kebenaran bertulis terlebih dahulu itu tidak perlu diperolehi:

Dengan syarat peruntukan ini hendaklah tidak terpakai kepada hal mengenai penjualan sebarang tanah yang telah diubahbahagikan kepada kilang, perumahan atau lot-lot kedai, tanpa mengira samada tanah tersebut bermaksud untuk dijual dengan sebarang bangunan dibina atasnya atau tidak.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

30

Tajuk

Penyimpanan akaun.
30 [1]

Lembaga hendaklah menyimpan dengan sepatutnya akaun dan lain-lain rekod yang berkenaan dengan urusniaga dan hal-ehwalnya mengikut prinsip-prinsip perakaunan yang diterima umum dan hendaklah membuat segala yang perlu untuk memastikan bahawa semua pendapatan adalah dikira secara betul dan segala perbelanjaan daripada Tabung itu adalah dibenarkan secara betul dan kawalan yang mencukupi dikekalkan ke atas harta-hartanya atau ianya adalah di dalam simpanan Lembaga dan ke atas sebarang liabiliti yang ditanggung oleh Lembaga.

30 [2]

Menteri kewangan boleh membuat peraturan-peraturan yang perlu untuk mencapai objektif subseksyen (1) dan untuk memastikan sistem sepatutnya pengurusan kewangan dan kawalan dan amalan di dalam Lembaga dan bertambah beliau boleh membuat peraturan-peraturan mengenai—

(a) pemungutan, penerimaan, penyimpanan, pengeluaran, perbelanjaan, menyimpan akaun untuk, pengawasan dan pengurusan semua pendapatan, pinjaman, amanah dan wang lain dan semua bon, debentur dan sekuriti lain yang dikutip dengan apa cara pun atau diterima oleh atau ke atas akaun Lembaga dan bagi panduan kesemua orang yang berkaitan dengannya;

(b) pelantikan pegawai-pegawai akaun Lembaga dan tanggungjawabnya bagi memastikan wang dan harta Lembaga adalah disimpan di bawah kawalan mereka pada setiap masa dan wang tersebut dibelanjakan dengan bijak, berekonomi dan sangat mengambil berat untuk nilai yang diterima;

(c) penyimpanan rekod, pemeriksaan dan naziran secara lebih efektif semua resit-resit dan perbelanjaan dan penyimpanan semua buku-buku dan akaun-akaun oleh Lembaga;

(d) borang-borang untuk semua buku-buku, pulangan-pulangan dan dokumen-dokumen yang apa sahaja diperlukan di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan di bawahnya;

(e) pembelian, penyimpanan selamat, pengeluaran, penjualan atau penghapusan lain atau pelupusan catel atau harta lain Lembaga dan simpanan akaun sepatutnya untuk sebarang pengiraan stok catel-catel dan harta tersebut; dan

(f) penyediaan anggaran pendapatan dan perbelanjaan oleh Lembaga.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

31

Tajuk

Tahun kewangan dan akaun beraudit.
31 [1]

Lembaga hendaklah mempunyai tahun kewangan
yang bermula 1 Januari.

31 [2]

Akaun itu hendaklah diaudit tiap-tiap tahun oleh Ketua Audit Negara atau juru audit lain yang dilantik oleh Lembaga dengan kebenaran Menteri Kewangan.

31 [3]

Lembaga hendaklah dalam 6 bulan selepas berakhirnya tiap-tiap satu tahun kewangan mengauditkan akaun-akaunnya dan menghantar kepada Menteri Besar dan Menteri, bersama-sama dengan satu salinan apa-apa pandangan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara atau juru audit yang dilantik di bawah subseksyen (2) atas apa-apa kenyataan atau akaun-akaun Lembaga bersama-sama dengan satu salinan laporan tahunan yang dirujuk dalam seksyen 33.

31 [4]

Menteri Besar hendaklah menyebabkan satu salinan bagi tiap-tiap kenyataan bersama dengan satu salinan apa-apa pandangan yang dibuat oleh Ketua Audit Negara atau juru audit yang dilantik di bawah subseksyen (2) atas apa-apa kenyataan atau akaun-akaun Lembaga dan satu salinan laporan tahunan yang dirujuk dalam seksyen 33 dibentangkan di dalam persidangan akan datang Dewan Undangan Negeri.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

32

Tajuk

Siasatan terhadap akaun.
32 [1]

Menteri Kewangan boleh pada bila-bila masa mengarah orang tertentu yang dilantik olehnya untuk membuat penyiasatan terhadap buku-buku, akaun dan urusniaga Lembaga.

32 [2]

Lembaga hendaklah memberi kepada orang itu akses kepada buku-buku, akaun dan dokumennya dan memberi apa-apa maklumat yang dikehendaki oleh orang itu untuk menjalankan penyiasatan:

Dengan syarat buku-buku, akaun-akaun dan dokumen-
dokumen itu tidak boleh dikehendaki dikemukakan pada masa-masa dan tempat-tempat yang akan mengganggu
dengan penjalanan wajar perniagaan biasa sehari Lembaga.

Bahagian

4 (Kewangan)

Seksyen

33

Tajuk

Laporan Tahunan.
33 [1]

Lembaga hendaklah, tidak lewat daripada 30 Jun setiap tahun kewangannya, menyebabkan dibuat dan dihantar kepada Menteri dan Menteri Besar suatu laporan menyentuh kegiatan-kegiatan Lembaga pada tahun yang lepas.

33 [2]

Menteri Besar hendaklah menyebabkan suatu salinan tiap-tiap laporan tahunan itu dibentangkan dalam Dewan
Undangan Negeri.

Bahagian

5 (Pembangunan Perumahan dan Hartanah)

Seksyen

34

Tajuk

Tanggungjawab untuk pembangunan perumahan dan hartanah dalam Negeri.
34

Lembaga hendaklah bertanggungjawab untuk pembangunan dan penggalakkan dan pemudahan pembangunan perumahan dan hartanah dalam Negeri.

Bahagian

5 (Pembangunan Perumahan dan Hartanah)

Seksyen

35

Tajuk

Pemberian maklumat oleh pemaju perumahan.
35 [1]

Lembaga boleh, bagi pentadbiran wajar Enakmen ini, menghendaki mana-mana orang atau pihak berkuasa awam yang menjalankan pembangunan perumahan, memberi apa-apa maklumat mengenai pembangunan itu kepada Lembaga yang difikirkannya patut.

35 [2]

Pengarah Eksekutif boleh, melalui notis bertulis menghendaki mana-mana orang, pihak berkuasa awam atau pemaju berlesen memberi dalam sesuatu tempoh tertentu apa-apa maklumat yang ditetapkan dalam notis.

35 [3]

Mana-mana orang yang gagal memberikan maklumat yang dikehendaki mengikut subseksyen (2) atau memberi jawapan atau maklumat palsu atau mengelirukan dalam apa jua bentuk, melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit.

Bahagian

5 (Pembangunan Perumahan dan Hartanah)

Seksyen

36

Tajuk

Pendaftaran orang yang menjalankan pembangunan hartanah.
36 [1]

Mana-mana orang atau pihak berkuasa awam yang menjalankan pembangunan hartanah hendaklah, sebelum memulakan pembangunan itu, mendaftar dengan Lembaga.

36 [2]

Sesuatu permohonan untuk pendaftaran hendaklah dalam borang seperti yang ditetapkan dan hendaklah disertai
dengan—

(a) butir-butir aktiviti atau pembangunan yang dicadangkan; dan

(b) apa-apa fi seperti yang boleh ditetapkan.

Bahagian

5 (Pembangunan Perumahan dan Hartanah)

Seksyen

37

Tajuk

Lembaga boleh mengusir dan mengambil alih harta.
37 [1]

Lembaga, tertakluk kepada sebarang syarat yang dikenakan oleh peraturan-peraturan yang dibuat di bawah seksyen 43, boleh—

(a) mengambil alih sebarang apartmen, rumah atau kediaman lain yang dijual oleh Lembaga; dan

(b) mengusir mana-mana orang dari sebarang premis yang disewakan dari Lembaga,

sekiranya pemilik atau penghuni yang dibenarkan itu melanggar apa-apa peruntukan peraturan itu.

37 [2]

Jika Lembaga hendak menggunakan kuasa mengambil balik harta yang diperuntukkan di bawah seksyen ini, Lembaga boleh mengambil balik harta itu menurut peruntukan undang-undang yang bertulis berkaitan dengan pengambilan balik tanah yang kini berkuatkuasa di dalam Negeri walaupun ganti rugi adalah dibayar dari Tabung Kewangan Lembaga.

37 [3]

Perbelanjaan dan ganti rugi dalam hal pengambilan balik harta itu di bawah peruntukan seksyen ini hendaklah dibayar oleh pihak Lembaga.

Bahagian

6 (Pelbagai)

Seksyen

38

Tajuk

Pemberian maklumat oleh pemaju hartanah atau penghuni.
38 [1]

Lembaga boleh melalui notis bertulis menghendaki mana-mana pemaju hartanah atau penghuni mana-mana premis mengikut keadaan, untuk memberi dalam sesuatu tempoh tertentu apa-apa maklumat yang ditetapkan dalam notis.

38 [2]

Sesiapa yang gagal memberikan maklumat yang dikehendaki mengikut subseksyen (1) atau memberi jawapan atau maklumat palsu atau mengelirukan dalam apa jua bentuk, melakukan kesalahan dan jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit.

Bahagian

6 (Pelbagai)

Seksyen

39

Tajuk

Menghalang suatu kesalahan.
39

Sesiapa yang menghalang atau mengganggu Pengarah
Eksekutif, mana-mana pegawai yang diberikuasa atau pegawai polis dari melaksanakan yang ianya berhak melaksanakan menurut mana-mana kuasa di bawah Enakmen ini atau mana-mana peraturan di bawahnya melakukan kesalahan di bawah Enakmen ini dan apabila disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya sekali.

Bahagian

6 (Pelbagai)

Seksyen

40

Tajuk

Hak akses.
40

Semua pegawai Lembaga hendaklah, pada bila-bila masa munasabah, mempunyai hak memasuki dengan bebas ke sebarang tanah untuk tujuan melaksanakan peruntukan-
peruntukan Enakmen ini atau apa-apa peraturan yang dibuat di bawahnya.

Bahagian

6 (Pelbagai)

Seksyen

41

Tajuk

Perlindungan daripada tanggungan peribadi.
41

Kecuali sebagaimana diperuntukkan sebaliknya dalam
Enakmen ini, tiada pegawai Lembaga boleh terdedah kepada
apa-apa tindakan, tuntutan atau dakwaan oleh mana-mana
orang berkenaan dengan apa-apa yang telah dilakukan atau tidak dilakukan dengan suci hati lanjutan daripada atau dalam pelaksanaan yang diniatkan, mana-mana kuasa yang diberikan oleh Enakmen ini.

Bahagian

6 (Pelbagai)

Seksyen

42

Tajuk

Penggulungan
42 [1]

Pihak Berkuasa Negeri boleh, melalui perintah yang disiarkan dalam Warta, mengarahkan supaya Lembaga digulungkan dan dibubar.

42 [2]

Apabila Lembaga dibubarkan, aset-aset Lembaga hendaklah selepas membayar semua tanggungan, dihapuskan mengikut mana-mana cara yang ditetapkan oleh Menteri setelah berunding dengan Pihak Berkuasa Negeri.

Bahagian

6 (Pelbagai)

Seksyen

43

Tajuk

Peraturan
43

Lembaga boleh, dengan kelulusan Menteri dan Pihak Berkuasa Negeri, melalui pemberitahuan dalam Warta,
membuat apa-apa peraturan yang dirasakan perlu atau wajar untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan Enakmen ini, dan tanpa prejudis kepada keluasan yang
disebut sebelum di atas, untuk kesemua atau mana-mana
perkara berikut—

(a) operasi dan penjalanan wajar Lembaga;

(b) fungsi-fungsi dan tugas-tugas Pengarah Eksekutif,
mana-mana pegawai dan jawatankuasa yang dilantik oleh Lembaga;

(c) penubuhan dan penyelenggaraan satu daftar mana-mana orang yang menjalankan pembangunan perumahan dan hartanah;

(d) untuk menetap yuran, bayaran dan lain-lain kadar;

(e) pengurusan kuantiti dan kualiti pembangunan
perumahan dan hartanah;

(f) pengukuran, klasifikasi dan penyelenggaraan rekod-rekod kuantiti, kualiti atau ciri-ciri lain pembangunan perumahan dan hartanah;

(g) perancangan yang teratur, rekaan, pembinaan,
pengurusan, operasi, pengawasan dan penyelenggaraan pembangunan perumahan dan hartanah yang dijalankan oleh Lembaga;

(h) klasifikasi dan peruntukan sebarang perumahan
sebagai perumahan kos rendah atau perumahan
awam;

(i) penyerahan laporan-laporan, akaun-akaun,
statistik dan maklumat lain oleh pemaju-pemaju
perumahan dan hartanah;

(j) syarat-syarat untuk mengambil alih perumahan
yang dijual oleh Lembaga;

(k) syarat-syarat untuk mengusir mana-mana orang
dari perumahan atau hartanah yang disewakan dari Lembaga;

(l) cara diperuntukkan rumah-rumah kepada pembeli-pembeli termasuk syarat-syarat, tatacara dan prosedur pembahagian itu;

(m) bayaran-bayaran, kos dan jumlah lain yang
dikenakan untuk mana-mana perkara atau hal yang diperlukan atau diberikuasa dilakukan di bawah Enakmen ini atau peraturan-peraturan di bawahnya;

(n) kutipan, pelepasan, rebet atau penangguhan
bayaran mana-mana jumlah yang perlu dibayar di bawah Enakmen ini; dan

(o) untuk menetapkan semua perkara lain keseluruhannya untuk memberi kesan kepada
peruntukan Enakmen ini:

Kecuali peraturan-peraturan itu adalah tidak tak konsisten
dengan peruntukan Jadual Kedua, Akta Perbadanan
(Kekompetenan Badan Perundangan Negeri) 1962.

Bahagian

6 (Pelbagai)

Seksyen

44

Tajuk

Kesalahan dan penalti am
44

Setiap peninggalan atau kelalaian dalam mematuhi, dan setiap perbuatan atau percubaan untuk melakukan sesuatu yang bertentangan dengan peruntukan Enakmen ini atau mana-mana peraturan yang dibuat di bawahnya adalah suatu kesalahan di bawah Enakmen ini dan berkenaan dengan kesalahan itu yang tiada hukuman diperuntukkan secara nyata pesalah itu hendaklah, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi sepuluh ribu ringgit atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.