Semua Seksyen

Enakmen Mengutip Tol (Jalan-Jalan Persendirian) 1986

Seksyen

1

Tajuk

Tajuk Ringkas
1

Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Mengutip Tol (Jalan-jalan Persendirian) 1986.

Seksyen

2

Tajuk

Tafsiran
2

Dalam Enakmen ini melainkan kandungan ayatnya berkehendakkan pengertian yang berlainan –

“jalan” ertinya jalan yang dibuat di dalam atau di atas tanah, dan termasuk sesuatu jalan dan jambatan yang diselenggarakan oleh Kerajaan Persekutuan atau Negeri, atau Majlis Perbandaran atau Majlis Daerah;

“tanah” ertinya tanah yang telah diberimilik oleh Kerajaan Negeri.

Seksyen

3

Tajuk

Lesen Dikehendaki bagi Mengutip Tol
3

Melainkan ada peruntukan-peruntukan undang-undang yang lain yang memberi kuasa kepadanya, seseorang tidak boleh mengutip ataupun memberi kebenaran untuk mengutip tol kerana menggunakan sebarang jalan, melainkan ia telah mendapatkan lesen di bawah Seksyen 5 Enakmen ini.

Seksyen

4

Tajuk

Kutipan Tol bagi Digunakan untuk Penyelenggaraan Jalan.
4 [i]

Semua kutipan tol hendaklah digunakan oleh pemegang lesen semata-mata untuk menyelenggarakan dengan sempurna jalan-jalan yang orang awam dibenarkan menggunakannya.

4 [ii]

Pemegang lesen hendaklah menyelenggarakan jalan-jalan tersebut dalam keadaan sempurna dan dengan mengikut amalan kejuruteraan yang wajar.

Seksyen

5

Tajuk

Pengeluaran Lesen
5

Lesen untuk mengutip tol di bawah Enakmen ini hendaklah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan dan hendaklah bagi tempoh masa dan tertakluk kepada syarat-syarat dan sekatan-sekatan yang disebutkan dalam lesen itu.

Seksyen

6

Tajuk

Pembatalan Lesen
6

Setiausaha Kerajaan boleh pada bila-bila masa tanpa menyatakan sebabnya dan tanpa membayar apa-apa pampasan, membatalkan mana-mana lesen yang telah dikeluarkan di bawah Seksyen 5 Enakmen ini setelah memberi sebulan notis bertulis kepada pemegang lesen.

Seksyen

7

Tajuk

Pemegang Hendaklah Menyimpan Daftar dan Buku Resit
7

Tiap-tiap pemegang lesen hendaklah:

  1. Menyimpan daftar kutipan tol dalam Bahasa Kebangsaan menunjukkan jumlah kutipan bagi tiap-tiap hari;
  2. apabila dengan sendirinya atau melalui wakilnya menerima bayaran tol daripada seseorang, memberi kepada orang itu satu resit; dan
  3. menyimpan dengan sempurna kira-kira dan lain-lain rekod mengenai pendapatan perbelanjaan semua kutipan tol dan hendaklah menyediakan penyata kira-kira bagi tiap-tiap tahun.

Seksyen

8

Tajuk

Pemeriksaan oleh Pegawai Pemberi Lesen dan Pegawai-pegawai Lain
8

Setiausaha Kerajaan dan pegawai-pegawai lain yang diberikuasa olehnya secara bertulis boleh masuk ke sebarang bangunan pada masa-masa yang munasabah untuk memeriksa daftar, buku-buku resit atau rekod-rekod yang disimpan mengikut Enakmen ini.

Seksyen

9

Tajuk

Mengaudit Penyata Kira-kira
9

Penyata kira-kira bagi tahun yang lepas hendaklah diaudit oleh Jurukira yang berkelayakan dan pemegang lesen hendaklah menghantarkan penyata kira-kira itu kepada Setiausaha Kerajaan supaya sampai kepadanya pada atau sebelum 31hb Mei, tiap-tiap tahun.

Seksyen

10

Tajuk

Penalti
10 [i]

Seseorang yang melanggar peruntukan-peruntukan Enakmen ini atau mana-mana kaedah yang dibuat di bawah Seksyen 13 atau apa-apa syarat atau sekatan yang dicatatkan atas sesuatu lesen yang dikeluarkan di bawah Seksyen 5, adalah melakukan satu kesalahan dan apabila disabit boleh dihukum penjara tidak lebih daripada 6 bulan, atau didenda tidak lebih daripada $10,000.00 atau kedua-duanya.

10 [ii]

Pegawai Kewangan Negeri bolehlah menggunakan budi bicaranya untuk mengkompaun apa-apa kesalahan di bawah Enakmen ini dengan menerima daripada orang-orang yang disyaki dengan munasabahnya telah melakukan kesalahan itu suatu amaun tidak melebihi dua ribu lima ratus ringgit ($2,500.00).

Seksyen

11

Tajuk

Anggapan
11

Dalam sebarang perbicaraan mengenai kesalahan di bawah Enakmen ini, tuan atau penduduk tanah hendaklah, setakat yang diperlukan bagi membuktikan kesalahan seperti yang dituduh, dianggap kecuali jika dibuktikan sebaliknya telah mengutip atau membenarkan pengutipan tol kerana penggunaan jalan di atas tanah yang dipunyai atau yang diduduki olehnya.

Seksyen

12

Tajuk

Sekatan boleh Didirikan
12

Suatu sekatan boleh didirikan melintang jalan di tempat di mana tol kena dibayar dan sekatan ini bolehlah ditutup untuk menghalang laluan apa-apa kenderaan sehingga tol yang sepatutnya berhubung dengan kenderaan itu dibayar.

Seksyen

13

Tajuk

Kaedah-kaedah
13

Raja dalam Mesyuarat boleh membuat kaedah-kaedah untuk melaksanakan peruntukan-peruntukan dan tujuan-tujuan Enakmen ini dan pada khususnya dan tanpa menyentuh keluasan peruntukan sebelum ini, untuk semua atau mana-mana perkara berikut:

(a)  menentukan bayaran yang patut dikenakan kerana mengeluarkan lesen di bawah Seksyen 5;

(b)  menetapkan kenderaan-kenderaan atau mana-mana jenis kenderaan yang mana tol hendaklah dibayar;

(c)  menentukan amaun tol yang pemegang lesen berkuasa mengutip; dan

(d) menentukan bentuk-bentuk daftar dan resit di bawah Seksyen 7.

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.