Semua Seksyen

Enakmen Wilayah Persekutuan 1973

Seksyen

1

Tajuk

Tajuk Ringkas dan Mula Berkuat-kuasa
1 [1]

Enakmen ini bolehlah dinamakan Enakmen Wilayah Persekutuan, 1973.

1 [2]

Seksyen 2 dan 3 hendaklah mula berkuatkuasa pada 1hn Februari, 1974.

Seksyen

2

Tajuk

Perubahan Sempadan-Sempadan Negeri Selangor
2 [1]

Sempadan-sempadan bagi Negeri Selangor adalah dengan ini diubah dengan dikeluarkan darinya Wilayah Persekutuan yang diperihalkan di bawah ini.

2 [2]

Wilayah Persekutuan hendaklah terdiri daripada kawasan-kawasan yang ditunjukkan dalam plan yang didepositkan yang dikenali dengan rujukan Plan Warta No. 383 iaitu plan –

(a) yang diperakui oleh Ketua Jurukur Selangor sebagai suatu plan yang benar dan betul bagi kawasan-kawasan itu; dan

(b) yang bertarikh dan didepositkan di pejabat Ketua Jurukur Selangor.

2 [3]

Takrif bagi “State” di bawah Perkara XLVI dalam Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor, 1959, itu adalah dengan ini dipinda dengan memasukkan perbahasaan “excluding the areas of the Federal Territory defined in the Federal Territory Enactment, 1973” selepas sahaja perkataan “thereto” yang terdapat di hujung takrif itu.

Seksyen

3

Tajuk

Terkeluarnya Wilayah Persekutuan dari Selangor dan Pelepasan Kuasa-kuasa dsb., oleh Selangor
3

Wilayah Persekutuan hendaklah terhenti daripada menjadi sebahagian daripada Negeri Selangor dan Sultan Negeri Selangor hendaklah melepaskan dan berhenti daripada menjalankan apa-apa kedaulatan ke atas Wilayah Persekutuan dan segala kuasa dan bidangkuasa Sultan dan Dewan Negeri bagi Negeri Selangor dalam atau berkenaan dengan Wilayah Persekutuan hendaklah berakhir.

Seksyen

4

Tajuk

Persetujuan di Bawah Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan
4 [1]

Persetujuan-persetujuan adalah dengan ini diberi terhadap –

(a) Perubahan sempadan-sempadan bagi Negeri Selangor, iaitu perubahan yang diperihalkan dalam seksyen 2 Enakmen ini dan dalam peruntukan yang bersamaan dengannya dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2), 1973;

(b) Penubuhan Wilayah Persekutuan mengikut Rang Undang-undang yang tersebut itu;

(c) Pemindahan bidangkuasa, kuasa-kuasa, hak-hak dan hak-hak kedaulatan yang dinyatakan dalam Rang Undang-undang yang tersebut itu; dan

(d) Penyempurnaan suatu Perjanjian di antara Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menetapkan, antara lain, peruntukan-peruntukan berkaitan kepada kiraan kewangan bagi Wilayah Persekutuan.

 

4 [2]

Peruntukan-peruntukan yang berkenaan dalam Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2), 1973, adalah dinyatakan dalam Jadual kepada Enakmen ini.

 

 

Disclaimer (Penafian):

Sebarang maklumat yang terkandung di dalam laman ini hendaklah dianggap sebagai maklumat am sahaja. Maklumat yang terdapat dalam laman ini tidak bermaksud untuk memberikan maklumat-maklumat berkenaan perundangan negeri Selangor yang komprehensif atau lengkap. Oleh yang demikian, pengguna adalah dinasihatkan agar mendapatkan bantuan profesional secara bebas.

Pejabat Dewan Negeri Selangor akan cuba memastikan agar laman web ini dan maklumat-maklumat yang terkandung di dalamnya adalah yang terkini dan tepat. Walau bagaimanapun, Pejabat Dewan Negeri Selangor tidak memberikan jaminan bahawa maklumat yang dipaparkan adalah maklumat yang terkini dan juga tidak memberikan jaminan terhadap ketepatan maklumat tersebut. Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Dewan Negeri Selangor atau mana-mana pegawai dan pekerjanya, tidak bertanggungjawab dan tidak menanggung sebarang risiko terhadap apa-apa kerugian (sama ada yang secara langsung atau tidak langsung) hasil daripada penggunaan laman web ini atau apa-apa maklumat yang terkandung di dalamnya.