5 ADUN BERSATU SELANGOR KINI PEMBANGKANG

 

SHAH ALAM : Kerajaan Pakatan Harapan (PH) Selangor menyingkirkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan yang dibuat PH Selangor itu mengambil kira dinamik politik yang berlaku di peringkat Persekutuan.

Berikutan itu, lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kini adalah pembangkang di DUN Selangor.

Selain itu, dua ADUN bebas yang disebut oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari, merujuk kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (Bukit Antarabangsa) yang kemudian dilaporkan menyertai BERSATU selepas dipecat dari PKR dan Hilman Idham (Gombak Setia) yang tidak menyatakan pendirian.

Lima ADUN BERSATU itu ialah Harumaini Omar (Batang Kali); Mohd Shaid Rosli (Jeram); Sallehudin Amiruddin (Kuang); Adhif Syan Abdullah (Dengkil) dan EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari (Selat Klang).

Amirudin berkata, PH menjunjung tinggi titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mahu kestabilan dan perpaduan di negeri ini dikekalkan untuk untuk terus memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat Selangor.

“PKR, DAP dan AMANAH bersepakat meneruskan mandat besar yang diterima oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu meneruskan sokongan penuh kepada kepimpinan saya selaku Menteri Besar.

“Pimpinan tinggi PH memaklumkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bahawa pentadbiran Negeri Selangor tidak lagi dianggotai BERSATU dan secara automatik bukan lagi dalam gabungan Kerajaan Negeri Selangor dan akan dikeluarkan secara berperingkat mulai hari ini.

“Pembabitan semua pimpinan dan ahli BERSATU adalah terkeluar daripada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Permuafakatan Ketua Kampung (MPKK), anak-anak syarikat kerajaan negeri serta seluruh rangkaiannya yang berkaitan sesuai dengan keadaan politik semasa,” katanya dalam sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, di sini hari ini.

Amirudin berkata, kerajaan negeri turut akan membekukan peruntukan terhadap ADUN BERSATU terbabit.

Berikutan itu, katanya PH Selangor kini mempunyai 43 wakil rakyat manakala kedudukan ADUN BERSATU itu akan diubah kepada blok pembangkang pada sidang yang akan bermula 16 Mac depan.

Perkembangan ini menjadikan komposisi kerusi kerajaan di DUN Selangor terdiri daripada PKR (19), DAP (16) AMANAH (lapan), manakala Perikatan Nasional terdiri daripada UMNO (lima), PAS (satu) dan BERSATU (lima) serta bebas (dua).

Ketika ditanya mengenai pengganti Abdul Rashid sebagai EXCO, katanya ia akan ditentukan kemudian.

“Saya akan kemukakan calon kepada Tuanku, setakat ini kita kekalkan sembilan orang EXCO sedia ada,” katanya.

Sementara itu, beliau turut diminta mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang melihat beliau masih berpihak kepada Mohamed Azmin, Amirudin berkata beliau hanya menyokong Mohamed Azmin ketika bekas timbalan presiden PKR itu berada dalam PKR.

“Saya hanya bersama beliau ketika beliau dalam PKR, tidak sertai beliau menjadi bebas atau dipecat. Saya akan bersama PKR sebab saya janji dan kempen saya dalam pilihan raya dulu,” katanya.

Sumber: (Ruwaida Md Zain) Berita Harian, 5 Mac 2020

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/03/662212