Insignia Dewan Negeri Selangor

Penggunaan insignia ini sebagai jati diri Dewan Negeri Selangor yang bertemakan “Simetri Ke Arah Peningkatan Taraf Sosial” selaras dengan penjenamaan dan peningkatan perkhidmatan Dewan Negeri Selangor.

Bunga Tanjung yang terdiri daripada sembilan kuntum bunga yang mengelilingi insignia tersebut adalah lambang kepada sembilan buah daerah di dalam Negeri Selangor. Bunga Tanjung dipilih kerana ia merupakan bunga rasmi Negeri Selangor dan disusun di sekeliling insignia dengan satu kuntum bunga direka lebih besar berbanding yang lain melambangkan kedudukan Speaker Dewan Negeri Selangor yang mengetuai Dewan Negeri Selangor.

Konfigurasi dedaun yang dipisahkan kepada tiga pecahan dan dibentuk seperti satu naungan bagi menggambarkan konsep pemisahan kuasa iaitu Legislatif, Eksekutif dan Kehakiman bertujuan menzahirkan kemakmuran rakyat Negeri Selangor yang bernaung di bawah pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Warna keemasan dipilih khusus untuk menggambarkan kemegahan dan kedaulatan Negeri Selangor.