PELUANG PEKERJAAN
24) PELUANG PEKERJAAN
Tahun:
Sesi:
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah usaha-usaha Kerajaan Negeri dalam memberi peluang pekerjaan kepada golongan anak muda, wanita, terutamanya ibu tunggal?
Pentadbiran Kerajaan Negeri telah mengambil langkah proaktif dalam merancang dan melipatgandakan usaha mewujudkan peluang pekerjaan di Negeri Selangor terutamanya kepada golongan anak muda (belia) dan ibu tunggal.
Antara perancangan dan langkah – langkah yang diambil oleh Kerajaan Negeri untuk mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan adalah dengan mengadakan program – program seperti berikut :
- Kerjasama dengan Selangor State Investment Centre (SSIC) bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dengan mengadakan program promosi (pengiklanan melalui local and international magazine seperti Foreign Direct Investment, in flight magazine, mengadakan lawatan ke luar negara bersama Malaysian Investment Development Authority – MIDA dan menyertai pameran perdagangan bertujuan menarik pelabur dari dalam dan luar
- Program Jom Kerja berbentuk Karnival yang telah diadakan di semua daerah di Negeri Selangor bermula tahun 2009 – 2014 dengan kehadiran seramai 7,933 pemohon, selain itu pemohon diberi pendedahan khidmat nasihat serta pengalaman cara bagaimana sesi temuduga Maklumat terperici pelaksanaan program seperti di lampiran A;
- Melalui tajaan pelajar di kolej INPENS khusunya kepada pelajar – pelajar yang berpendapatan rendah dengan jumlah tajaan sebanyak RM6,550 dan jumlah pelajar yang telah ditajakan adalah seramai 2,450 orang; dan
- Menganjurkan beberapa program kerjaya khusus untuk belia dan ibu tunggal bagi memberikan pendedahan mengenai peluang – peluang perniagaan yang boleh diceburi serta maklumat – maklumat bantuan kewangan seperti :
- Kursus Asas Keusahawanan
- Kursus Pemasaran;
- Kursus Pengurusan Kewangan; dan
- Kursus Rancangan Perniagaan
Melalui program seminar tersebut, para peserta akan didedahkan kepada peluang-peluang perniagaan yang boleh diceburi serta maklumat – maklumat berkenaan dengan bantuan – bantuan kewangan untuk tujuan perniagaan dari agensi – agensi Kerajaan Negeri seperti Skim Mikrokredit Selangor (SkimSel), Skim Mikrokredit Miskin Bandar (MiMBAR), bank-bank komersial seperti Agro bank, BSN serta agensi Kerajaan Pusat seperti PUNB (Perbadanan Usahawan Nasional Berhad).
Selain itu, melalui geran selangorku, Kerajaan Negeri telah menyediakan peruntukan bantuan perniagaan bagi membantu belia-belia yang berpotensi dalam bidang berkenaan terutamanya bekas-bekas pelajar INPENS.
Disamping itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan bantuan berbentuk mesin- mesin pemerosesan kepada usahawan – usahawan termasuk golongan belia yang telahpun memulakan perniagaan mereka tetapi kekurangan modal untuk membeli mesin – mesin pemerosesan tersebut.
Selain itu, pihak kerajaan dengan kerjasama Kumpulan Peransang Selangor Berhad telah melaksanakan Program Ransangan Kerjaya Siswazah Selangor (RKSS) bertujuan untuk membantu para siswazah Selangor yang masih belum mendapat pekerjaan dalam mempertingkat pengetahuan dengan menyediakan kursus – kursus kemahiran umum dan khusus.
Objektif utama Program RKSS ini adalah untuk membantu para siswazah Selangor yang masih belum mendapat pekerjaan untuk mempertingkat pengetahuan dan keupayaan diri mereka melalui penyediaan latihan samada dalam bentuk kemahiran umum (softskill) atau kemahiran – kemahiran khusus seperti kemahiran teknikal dan sebagainya. Program ini dilaksanakan dalam dua (2) fasa utama iaitu :
Fasa I: Penyediaan kursus dan latihan yang strategik untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan, nilai diri dan keyakinan siswazah- siswazah dalam negeri Selangor bagi membolehkan mereka lebih bersedia untuk mendapatkan pekerjaan atau memulakan perusahaan perniagaan sendiri; dan
Fasa II: Penyediaan Latihan di Tempat Kerja (On-The-Job Training) dan usaha untuk membuat rekomendasi kepada majikan-majikan yang relevan bagi siswazah-siswazah yang telah menamatkan kursus.
Program Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor (RKSS) secara percuma kepada mahasiswa Selangor (lepasan Diploma dan Ijazah) sejak September 2011 hingga Disember 2012 seramai 735 orang telah terlibat di dalam program ini. Manakala pada tahun 2013, Program Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor (RKSS) telah ditukar kepada Rangsangan Kerjaya Rakyat Selangor (RKRS), di mana majlis pelancaran telah diadakan sempena Karnival RKRS di Stadium Tertutup Kuala Selangor pada 15-16 Disember 2012. Karnival RKRS telah dilaksanakan buat kali kedua pada 23 – 24 Februari 2013 di Dewan Bunga Kertas Seksyen U2 TTDI Jaya, Shah Alam bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk menyertai kursus-kursus latihan yang disediakan. Program RKRS terbuka kepada belia, mahasiswa, surirumah dan pesara ditawarkan secara percuma dan telah berjaya melibatkan seramai 1047 orang. Maklumat terperinci mengenai senarai kursus seperti di lampiran B.
