PEMASANGAN PALANG BESI DI GATED AND GUARDED DIKAWASAN PERUMAHAN
3) PEMASANGAN PALANG BESI DI GATED AND GUARDED DIKAWASAN PERUMAHAN
Tahun:
Sesi:
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Tuan Loh Chee Heng
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) diberikan kuasa mutlak MELULUSKAN pemasangan palang besi di Gated and Guarded dikawasan perumahan sedia ada? Apakah bidang kuasa yang ada pada PBT dalam pemantauan dan tindakan penguatkuasaan dalam Gated and Guarded?
Untuk makluman Y.B, konsep Skim Komuniti Berpagar dan Berpengawal (‘Gated And Guarded Community’) merupakan satu trend di dalam pembangunan perumahan masa kini. Ia dikenali sebagai komuniti tertutup atau kawasan perumahan berpagar yang amat popular di kalangan pemaju, penduduk dan para bakal pembeli
Untuk makluman Y.B, ketika ini tiada mana-mana akta yang membenarkan pelaksanaan Skim Komuniti Berpagar dan Berpengawal (‘Gated & Guarded Community’) bagi pembangunan yang melibatkan hakmilik individu (landed property). Sehubungan dengan itu, satu Garis Panduan Pembangunan Skim Komuniti Berpagar dan Berpengawal (‘Gated & Guarded Community’) di Negeri Selangor telah disediakan oleh LPHS yang mana garis panduan tersebut telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Ke-19 yang telah bersidang pada 2 Jun 2010 dan disahkan dalam MMKN ke 20/2010 pada 9 Jun 2010.
Pelaksanaan konsep Komuniti Berpengawal (‘Guarded Community’) perlu mematuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan dan juga pelanggaran yang minimum terhadap peruntukan-peruntukan perundangan sedia ada terutamanya penutupan jalan.
Berhubung bidang kuasa yang ada pada PBT dalam pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di dalam skim “Gated and Guarded” ini. Garis panduan tersebut jelas menyatakan bahawa setiap permohonan yang dibuat oleh Persatuan Penduduk untuk melaksanakan skim “Gated and Guarded” perlu dikemukakan kepada PBT dengan mengemukakan dokumen-dokumen berkaitan bagi membolehkan PBT memproses permohonan tersebut berdasarkan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh LPHS memandangkan PBT merupakan agensi yang bertanggungjawab di dalam memproses dan meluluskan sebarang bentuk permohonan yang dijalankan di dalam kawasan pentadbiran mereka.
Pada masa yang sama, melalui permohonan yang dikemukakan oleh persatuan penduduk tersebut, PBT akan membuat pemantauan dari peringkat kemukakan permohonan sehinggalah pelaksanaannya di tapak / di kawasan perumahan. Sekiranya terdapat pihak persatuan penduduk yang tidak mematuhi garis panduan dan persatuan penduduk / operator yang tidak mengemukakan permohonan di PBT, pada kebiasaanya PBT akan mengadakan perbincangan terlebih dahulu bersama persatuan penduduk / operator, para penduduk di dalam kawasan perumahan berkenaan dan mereka yang berkaitan bagi menyelesaikan isu-isu berhubung pelaksanaan skim ini terutamanya pelaksanaan skim ini melibatkan bantahan daripada penduduk setempat. Tindakan penguatkuasaan oleh PBT perlu melalui pertimbangan wajar melalui perundingan dengan semua pihak terlibat berkenaan. Tindakan penguatkuasaan termasuk perobohan hanya diambil sekiranya PBT mendapat perintah mahkamah supaya merobohkan skim berkenaan sebagaimana keputusan MMKN ke 37/2013 bertarikh 4 Disember 2013.