PROGRAM PEMBANGUNAN DESA

14) PROGRAM PEMBANGUNAN DESA

Tahun:

Sesi:

Isu: Pembangunan Luar Bandar

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah program Pembangunan Desa yang akan dimulakan pada tahun ini?

    Pembangunan Desa merupakan satu subjek utama dalam pembangunan negara. Pelan perancangan pembangunan desa sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan bermula dari Rancangan Malaysia kedua. Negeri Selangor melalui perancangan tersebut telah berkembang menjadi negeri perbandaran. Pembangunan Negeri Selangor ini telah mencakupi 90% daripada perbandaran seluruh Selangor.

    Namun begitu, Kerajaan Negeri Selangor masih memandang serius tentang pembangunan desa kerana masih terdapat seramai lebih kurang  2 juta penduduk negeri Selangor yang merangkumi demografi masyarakat desa yang ketinggalan dari segi pembangunan. Pada masa ini, aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada sumber pendapatan penduduk desa adalah bergantung kepada pertanian, penternakan, industri kecil sederhana dan sebagainya.

    Penduduk desa masih jauh ketinggalan dari segi pendapatan per kapita berbanding penduduk bandar. Atas kesedaran ini, Kerajaan Negeri Selangor ingin meningkatkan pendapatan dan juga mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek yang mendatangkan pendapatan kepada mereka. Kerajaan Negeri ingin mengubah strategi pembangunan desa kearah satu konsep yang menyeluruh dan holistik bagi memastikan pembangunan kampung secara bersepadu dan mampan bagi tujuan meningkatkan pendapatan penduduk kampung dan mewujudkan nilai keempunyaan penduduk setempat dapat dilaksanakan. Bagi merealisasikan konsep pembangunan sebegini, sistem sokongan yang kukuh yang melibatkan jaringan keselamatan, “land reform”, khidmat sokong jabatan-jabatan berkaitan seperti Jabatan Pertanian, MARDI dan juga khidmat sokongan kewangan amat diperlukan. Program pembangunan desa yang ingin direalisasikan oleh Kerajaan Negeri Selangor merupakan salah satu program di mana ia merupakan satu platform untuk mendekatkan penduduk luar bandar supaya tidak tercicir daripada arus kemajuan di Negeri Selangor ini.

    Sumbangan sektor pertanian dan penternakan oleh kawasan luar bandar adalah tidak boleh disangkal lagi. Walaupun bukan menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri Selangor, tetapi sektor pertanian dan penternakan seperti tanaman padi, kelapa sawit, kelapa, penternakan lembu daging dan ayam menjadi pendukung kepada ekonomi negeri. Bagi sektor pelancongan pula, Kerajaan Negeri melihat keberhasilan produk pelancongan desa seperti homestay, produk kraftangan serta penghasilan kerepek oleh IKS telah menjadi satu sumber pendapatan tambahan kepada masyarakat kampung. Usaha penambahbaikan ke atas pertanian, penternakan dan pelancongan ini kelak akan dapat dinikmati oleh rakyat dengan peningkatan sumber pendapatan serta taraf hidup yang lebih baik dan selesa melalui industri yang diceburi.

Lampiran

Tiada Lampiran.