TABUNG BUDI
82) TABUNG BUDI
Tahun:
Sesi:
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) kerana melancarkan Tabung Budi. Apakah asas tindakan kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang tersebut?
Kerajaan Negeri Selangor setakat ini belum memulakan sebarang tindakan perundangan terhadap Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) bagi kes Tabung Budi. Kerajaan Negeri Selangor hanya mengeluarkan notis di bawah Enakmen Pembekalan Air 1997 kepada SYABAS kerana tindakan SYABAS menubuhkan Tabung Budi dan mengutip sumbangan dari orang ramai bagi tujuan membayar caj bekalan air adalah bertentangan dengan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam lesen yang telah dikeluarkan kepada SYABAS. SYABAS sebagai pemegang lesen hanya diberikan kuasa untuk mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang oleh pengguna di dalam kawasan pembekalan air.
Di dalam Perjanjian Konsesi yang telah ditandatangani oleh SYABAS dan Kerajaan Persekutuan serta Kerajaan Negeri Selangor, tidak ada sebarang peruntukkan yang membenarkan SYABAS mengutip apa-apa bayaran dari pengguna atau mana-mana pihak selain dari mengutip dan menyimpan caj yang masih berhutang oleh pengguna di dalam kawasan pembekalan air sahaja.
Belum pun lagi Kerajaan Negeri mengambil sebarang tindakan perundangan terhadap SYABAS, SYABAS telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Kerajaan Negeri Selangor atas dakwaan YAB Dato’ Menteri Besar membuat tuduhan fitnah ke atas SYABAS.
Dalam mencapai hasrat untuk Merakyatkan Ekonomi Selangor, kepentingan rakyat adalah merupakan keutamaan di dalam setiap perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Selangor termasuk di dalam perkhidmatan air. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri Selangor telah melaksanakan pemberian air 20 meter padu percuma kepada semua pengguna domestik yang mempunyai meter individu. Bagi pengguna domestik di pangsapuri pula, pemberian air percuma ini diberikan melalui kaedah kupon. Kos bagi 20 meter padu percuma tersebut ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor. Air percuma sebanyak 20 meter padu tersebut dapat digunakan oleh 4 orang di dalam sesebuah keluarga. Walaupun pada dasarnya pemberian air percuma merupakan sumbangan kecil dari Kerajaan Negeri Selangor, namun ini dapat meringankan kos air di dalam setiap keluarga di mana sebahagian kos ditanggung oleh Kerajaan Negeri.
Adalah menjadi tanggung jawab setiap individu sebagai pengguna air untuk menanggung kos penggunaan air.