MASALAH PENGAMBILAN SYARIKAT AIR DI SELANGOR
4) MASALAH PENGAMBILAN SYARIKAT AIR DI SELANGOR
Tahun:
Sesi:
Isu: Pentadbiran
Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Hingga kini nampaknya usaha Kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan Rakyat ingin mengambil alih syarikat air masih belum berselesai. Apakah masalah utama menghalang Kerajaan Negeri Selangor mengambil alih syarikat air?
Pindaan Perlembagaan pada tahun 2005 telah meletakkan air di bawah Senarai 111-
Senarai Bersama. Melalui Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) telah
diperuntukkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa eksekutif berkenaan
dengan segala perkara berhubungan dengan sistem bekalan air dan perkhidmatan air di
seluruh Semenanjung Malaysia dan Wilayah-wilayah Persekutuan Putrajaya dan
Labuan.
Selain dari itu, Kerajaan Negeri Selangor telah menswastakan perkhidmatan bekalan air
semenjak tahun 1994 dan penswastaan sepenuhnya telah dilaksanakan pada tahun
2004. Melalui penswastaan ini, Perjanjian Konsesi telah ditandatangani di antara
Kerajaan Negeri dan Syarikat Konsesi Air.
Dalam proses untuk mengambil alih semula perkhidmatan bekalan air dari Pemegang
Konsesi untuk diuruskan oleh Kerajaan Negeri sepenuhnya, ia perlu melalui proses
deprivatisation yang akan melibatkan banyak pihak. Deprivatisation akan menjurus
kepada penamatan perjanjian konsesi sedia ada. Perlembagaan Malaysia
memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut
undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan
atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.
Oleh yang demikian, dalam melaksanakan pengambilalihan semula perkhidmatan
bekalan air dari Pemegang Konsesi, Kerajaan Negeri adalah tertakluk kepada terma dan
syarat perjanjian di mana sejumlah pampasan perlu untuk disediakan untuk dibayar
kepada Pemegang Konsesi. Sekiranya Pemegang Konsesi tidak dibayar pampasan
yang setimpal, perkara ini boleh mendedahkan Kerajaan Negeri kepada tindakan
undang-undang dan pada masa yang sama Kerajaan Negeri boleh dianggap bertindak
bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia.