Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
154) PROJEK PERUMAHAN BEKAS PEKERJA LADANG DUSUN DURIAN, MORIB
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Pekerjaan
Adun: Y.B. Tuan Haji Hasiman Bin Sidom
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan dan penyelesaian status projek perumahan tersebut ?
Tanah yang terlibat berkeluasan lebih kurang 4.0468 ha (10.0 ekar) pada asalnya
dipunyai oleh Golden Hope Plantations (Peninsular) Sdn Bhd (Golden Hope) dan
Golden Hope telah bersetuju untuk menyerahkan tanah tersebut kepada Kerajaan
Negeri untuk dijadikan tapak perumahan pekerja-pekerja Ladang Dusun Durian
sebagai sebahagian pakej pemberhentian pekerja ladang tersebut setelah mendapat
persetujuan daripada National Union Plantation Workers (NUPW).
Tanah yang terlibat dengan pembangunan projek perumahan di Ladang Dusin
Durian masih berstatus tanah rizab Melayu. Walaupun Golden Hope telah
mengemukakan Borang 12B yang lengkap melalui surat bertarikh 26 Oktober 1994,
status tanah rizab Melayu masih belum dibatalkan.
Keputusan MMKN bil 30/2006 bertarikh 13 Disember 2006 berkenaan kelulusan
pelupusan secara pemberimilikan kepada 122 nama peserta terlibat tidak dapat
dilaksanakan kerana status tanah rizab Melayu masih belum dibatalkan.
Setelah perbincangan diadakan dengan wakil bekas pekerja ladang dan wakil
kontraktor serta wakil-wakil daripada jabatan kerajaan berkaitan seperti Pejabat
Tanah dan Galian Selangor, Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat dan Majlis Daerah
Kuala Langat, didapati isu berkaitan pemberimilikan tanah kepada peserta yang telah
disenaraikan perlu disemak semula berdasarkan tujuan asal cadangan penyerahan
balik tanah oleh Golden Hope Plantations Sdn Bhd iaitu untuk penyediaan skim
perumahan bagi bekas pekerja ladang Dusun Durian.
Satu mesyuarat penyelarasan telah diadakan di Lembaga Perumahan dan Hartanah
Selangor pada 15 Mac 2010 bagi tujuan mendapatkan maklumat dan perincian lanjut
mengenai masalah yang dihadapi dalam pembangunan projek perumahan bekas
pekerja ladang Dusun Durian untuk membolehkan Lembaga menyediakan kertas
ringkasan sepertimana yang diarahkan oleh EXCO MMKN bagi mendapatkan
penyelesaian kepada masalah status projek perumahan tersebut.Sebagai jalan penyelesaian,senarai nama yang dikemukakan oleh Pejabat Tanah
Daerah Kuala Langat bagi tujuan pemberimilikan terus kepada peserta projek
perumahan di Ladang Dusun Durian perlu disemak semula memandangkan terdapat
aduan daripada bekas pekerja Ladang Dusun Durian yang mendakwa nama mereka
tercicir sedangkan ada di antara nama peserta yang terpilih bukan dari kalangan
bekas pekerja Ladang Dusun Durian.
Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat juga perlu mengesahkan senarai 71 peserta
asal yang merupakan bekas pekerja ladang serta 38 nama waris bekas pekerja
ladang terlibat bagi membolehkan penetapan harga premium berdasarkan keputusan
MMKN tahun 2007 diguna pakai manakala kelulusan bagi senarai peserta untuk 11
unit kedai perlu dikaji semula kerana didapati kesemua pembeli bukan dari kalangan
bekas pekerja ladang dan sepatutnya kadar premium yang dikenakan perlu mengikut
harga pasaran semasa.
Pejabat Tanah Daerah Kuala Langat kini dalam tindakan untuk membuat pembatalan
dan gantian tanah rizab Melayu serta memproses permohonan pelupusan secara
pemberimilikan dengan mengekalkan syarat-syarat serta kadar premium yang
dinyatakan dalam keputusan MMKN pada 13 Disember 2006 dan 13 Jun 2007
kepada 121 peserta asal yang terlibat.
Kontraktor yang dilantik, Tetuan Era Permai Sdn Bhd menyatakan bahawa
syarikatnya mengalami masalah kewangan untuk menyiapkan projek
memandangkan kebanyakan pembeli tidak berjaya mendapat pembiayaan bagi
tujuan membeli rumah daripada institusi kewangan kerana faktor umur dan
pendapatan yang kecil.
Sebagai jalan penyelesaian, pihak kontraktor dikehendaki mengemukakan nilaian
(valuation) keseluruhan kos projek yang terlibat yang dipersetujui diperingkat awal
penerimaan projek tersebut serta kos yang diperlukan bagi tujuan penyiapan projek
tersebut bagi memudahkan semua pihak mengenal pasti punca dan seterusnya
menyelesaikan masalah yang berlaku.
Pihak Kontraktor juga dikehendaki merujuk kepada Majlis Daerah Kuala Langat
(MDKL) untuk membincangkan keperluan perancangan yang perlu dipatuhi bagi
tujuan melicinkan perjalanan proses kelulusan projek kelak.