PERTUMBUHAN EKONOMI NEGERI SELANGOR

22) PERTUMBUHAN EKONOMI NEGERI SELANGOR

Tahun:

Sesi:

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Mohamed Azmin Bin Ali

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Apakah jangkaan pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor 5 tahun ke hadapan? Sektor manakah yang akan menjadi penggerak pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor dan apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk merealisasikannya.

    Ekonomi global telah mula mencatatkan pertumbuhan sebanyak 8.9% pada suku kedua tahun 2010. Ini telah dicerminkan oleh pertumbuhan positif di dalam peningkatan pengeluaran industri dan eksport terutamanya melalui sektor pembuatan dan perkhidmatan. Bagi negeri Selangor, jangkaan purata pertumbuhan ekonomi bagi 5 tahun pada masa hadapan adalah pada kadar 7%. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh kemantapan angka-angka pengeluaran daripada sektor perkhidmatan dan perindustrian yang bertumbuh dengan kadar yang sangat menggalakkan. Sektor-sektor ini akan disokong dengan pertumbuhan sektor pertanian dan pembinaan. Kerajaan Negeri sangat optimis bahawa pertumbuhan ekonomi negeri Selangor bagi 5 tahun yang akan datang akan meningkat dan kekal positif melalui pelbagai inisiatif yang diperkenalkan oleh Kerajaan. Inisiatif kerajaan bagi menggiatkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri termasuklah :-

    • Menggalakkan penglibatan pihak swasta bagi memacu pertumbuhan ekonomi negeri;
    • Melaksanakan amalan ketelusan (transparency) dalam semua peringkat pentadbiran;
    • Merangka perbelanjaan dengan berkhemah dan tiada pembaziran;
    • Meningkatkan kecekapan sistem penyampaian agensi dan anak syarikat Kerajaan;
    • Meningkatkan jumlah pelaburan pelabur-pelabur sedia ada serta menarik pelaburan baru ke negeri Selangor.

    Tumpuan utama akan diberi kepada sektor-sektor perkhidmatan yang semakin mendapat tempat kini di kalangan masyarakat seperti Perkhidmatan Perdagangan, Perkhidmatan Logistik, Perkhidmatan Pendidikan dan Latihan, Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan, Perkhidmatan Pelancongan, Perkhidmatan Logistik  dan sebagainya.

    Kerajaan Negeri akan terus berusaha dari semasa ke semasa menggalakkan pertumbuhan sektor perindustrian Negeri Selangor dengan mentransformasikan sektor perindustrian kepada aktiviti perindustrian yang lebih berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan berorientasikan modal dan mesra alam. Penumpuan akan sentiasa diberikan ke atas penglibatan industri-industri baru dan berpotensi besar untuk dikembangkan di negara ini seperti industri bioteknologi, industri penerbangan dan Green-Industry seperti industri solar dan industri yang berasaskan produk-produk halal.

Lampiran

Tiada Lampiran.