KESAN EKONOMI COVID-19
27) KESAN EKONOMI COVID-19
Tahun:
Sesi:
Isu: Kewangan & Ekonomi
Adun: Y.B. Tuan Chua Wei Kiat
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Bagaimana Covid-19 menjejaskan prestasi pendapatan negeri pada tahun ini?
Tidak dinafikan Pandemik COVID-19 memberi kesan kepada prestasi pendapatan Kerajaan Negeri pada tahun ini. Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung penularan jangkitan COVID-19 telah memberi impak kepada kutipan hasil berikutan keadaan ekonomi yang kurang stabil akibat pendemik ini.
Status pendapatan Kerajaan Negeri sehingga 16 Oktober 2020 secara keseluruhannya adalah sebanyak RM1,949.09 juta atau 88.59 peratus daripada anggaran hasil RM2.2 bilion. Kutipan Hasil Cukai adalah sebanyak RM578.17 juta, Hasil Bukan Cukai sebanyak RM1,134.83 juta dan Terimaan Bukan Hasil sebanyak RM236.09 juta.
Daripada jumlah kutipan tersebut, hasil yang terjejas sehingga 16 Oktober 2020 adalah daripada Hasil Cukai dengan jumlah kutipan sebanyak RM578.17 juta berbanding RM641.73 juta pada 16 Oktober 2019 iaitu telah berlaku penurunan sebanyak 9.90 peratus iaitu RM63.56 juta. Hasil Cukai adalah terdiri daripada Cukai Tanah, Caruman Parit, Cukai Hasil Hutan dan Cukai Hiburan.
Hasil Bukan Cukai mencatatkan peningkatan sebanyak 12.56 peratus iaitu RM126.66 juta, manakala Terimaan Bukan Hasil pula menurun sebanyak 1.75 peratus iaitu RM4.2 juta berbanding pada tempoh yang sama tahun 2019.
Walau bagaimanapun, secara keseluruhannya hasil Negeri pada 16 Oktober 2020 mencatatkan peningkatan sebanyak 3.12 peratus iaitu RM58.9 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019.
