Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2018
23 – 30 November 2018 dan 3 – 5 Disember 2018
121) PENJUALAN LOT-LOT LIDI OLEH TUAN TANAH
Tahun: 2018
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Mohd Fakhrulrazi Bin Mohd Mokhtar
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai mekanisme untuk mengawal aktiviti penjualan lot-lot lidi oleh tuan tanah?
Untuk makluman Yang Berhormat, Mesyuarat Penyelarasan Pentadbiran Tanah/ Daerah dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri Selangor (MPPTDPBTNS) Bil. 1/2018 yang dipengerusikan oleh Y.B. Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor pada 16 Julai 2018 telah bersetuju untuk menolak semua permohonan Pendaftaran Surat Ikatan Amanah atas semua alasan bagi semua lot-lot tanah pertanian (lot lidi) di Negeri Selangor. Penolakan ini terpakai mulai 28 September 2018 di semua Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS) sehingga satu dasar berkaitan dirangka dan diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri (PBN).
Hal ini bagi membendung aktiviti penjualan lot lidi secara berleluasa tanpa mengikut syarat-syarat pembangunan dan pendaftaran hakmilik yang dibenarkan yang memberi kesan langsung kepada pembeli.
Selain itu, pelbagai medium digunakan bagi mewujudkan kesedaran di kalangan orang awam melalui hebahan informasi berkenaan risiko pembelian lot-lot tanah di media sosial seperti Facebook dan Portal rasmi jabatan. Hebahan ini turut dipanjangkan ke Majlis Peguam Negeri Selangor untuk makluman. Khidmat nasihat berterusan juga diberikan kepada mereka yang hadir terus ke Pejabat Tanah dan Daerah (PDT) dan Pejabat Tanah dan Galian Negeri Selangor (PTGS). Langkah-langkah ini dapat melindungi kepentingan masyarakat agar tidak mudah terpedaya dan menjadi mangsa kepada pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kerajaan Negeri juga dalam proses bagi mewujudkan satu dasar yang konkrit berkaitan pembangunan di atas tanah pertanian bagi tujuan selain pertanian ini bagi menangani isu ini.