DUN Selangor tegang isu PTPTN

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor bertukar tegang apabila seorang wakil rakyat tidak berpuas hati dengan ucapan Ketua Pembangkang, Rizam Ismail.

Kekecohan itu tercetus apabila Mohd Sany Hamzan (AMANAH- Taman Templer) mendakwa Rizam (BN-Sungai Air Tawar) mengeluarkan fitnah ketika menyampaikan ucapan pada sesi perbahasan Belanjawan Selangor 2020.

 

Ketika berucap, Rizam mendakwa dasar flip flop, u-turn dan caca merba kerajaan PH menyebabkan rakyat terhimpit, selain gagal menunaikan janji manifesto pilihan raya umum (PRU) lalu.

 

“Kerajaan PH banyak mungkir janji antaranya gagal memansuhkan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN),” katanya.

Kenyataan itu menyebabkan Mohd Sany mencelah ucapan Rizam serta menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Air Tawar itu membuktikan dakwaan kerajaan PH mungkir janji.

“Jangan kaitkan isu PTPTN dengan PH. Kenyataan Sungai Air Tawar (Rizam) adalah fitnah kerana manifesto PH tidak menyatakan akan mansuhkan PTPTN. Sungai Air Tawar sepatutnya tanya kepada Sijangkang (ADUN PAS Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi).

“Sebenarnya PAS yang membuat janji hapuskan PTPTN, bukannya PH,” katanya.

Berikutan itu Dr Ahmad Yunus bangun menafikan serta mendakwa ramai pemimpin PH menjanjikan perkara itu ketika kempen PRU lalu.

Turut bangun mencelah ialah Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) yang mendakwa banyak lagi manifesto PH gagal ditunaikan.

Bagaimanapun Mohd Sany berkata, kerajaan PH masih mempunyai masa sekurang-kurangnya tiga tahun lagi untuk menunaikan janji dalam manifesto.

Terdahulu, Speaker DUN, Ng Sue Lim meminta semua ADUN mengawal tingkah laku serta mengelakkan ucapan berunsur fitnah.

“Saya minta semua ADUN duduk serta menunjukkan contoh baik terutama kepada ADUN senior,” katanya.