[Harian Metro] ADUN Morib Timbalan Speaker DUN Selangor baharu

HASNUL Baharuddin. FOTO Roslin Mat Tahir

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Morib, Hasnul Baharuddin mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang baharu.

Hasnul menggantikan penyandang jawatan berkenaan iaitu Dr Daroyah Alwi yang mengumumkan peletakan jawatan, Jun lalu.

Nama Hasnul dicadangkan sebagai Timbalan Speaker oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan mendapat sokongan dewan.

Sebelum ini, Dr Daroyah mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker pada Majlis Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua DUN Selangor ke-14 pada 13 Mac 2019 bagi menggantikan ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman yang dilantik menjadi EXCO Selangor.

Bagaimanapun, pada 13 Jun lalu, ADUN Sementa itu mengumumkan untuk keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan melepaskan semua jawatan yang disandangnya.

Selain itu, Dr Daroyah menegaskan beliau tidak akan menyertai mana-mana parti dan hanya bertindak sebagai wakil rakyat bebas yang mesra Perikatan Nasional (PN).

Sumber: 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/599280/adun-morib-timbalan-speaker-dun-selangor-baharu