[Harian Metro] DUN Selangor lulus usul gesa Parlimen gubal undang-undang lompat parti

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor. FOTO BERNAMA

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini meluluskan usul bagi mendesak serta menggesa Parlimen untuk menggubal Rang Undang-Undang bagi menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) atau Ahli Parlimen daripada lompat parti tanpa alasan munasabah.

Speaker DUN Ng Suee Lim berkata, menerusi usul berkenaan, dewan bersetuju sekiranya sesiapa dalam kalangan ADUN yang melompat parti, perlu mengosongkan kerusi untuk mempertahankan mandat rakyat yang memilih mereka.

Usul dibawa ADUN Bukit Gasing R Rajiv (DAP) itu pada awalnya mendapat bantahan kerana DUN tidak mempunyai hak menggubal undang-undang.

“Kalau ikutkan, sebagai ADUN termasuk saya sendiri, memang selama ini sesiapa pun yang dipilih menerusi pilihan raya dan apabila mereka lompat parti, khianat dan sebagainya tanpa alasan munasabah, rakyat pasti akan marah.

“Kita tidak ada hak untuk menggubal undang-undang kerana ia adalah kuasa Parlimen dan hari ini, kita hanya menggubal usul untuk menggesa dan mendesak agar undang-undang anti lompat parti digubal.

“ADUN atau ahli Parlimen yang melompat parti perlu mengosongkan kerusi bagi menghormati mandat rakyat. Usul ini akan kita tandatangan dan hantar ke Parlimen untuk diteliti jika ada keperluan untuk digubal (undang-undang),” katanya kepada media di lobi Bangunan Annex.

Beliau berkata, pada sidang kali ini, dewan juga meluluskan usul Pelan Pemulihan Ekonomi Selangor (Pakej Rangsangan Ekonomi), pembasmian kemiskinan (Pembangunan Perniagaan Atas Talian), Penilaian Prestasi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Ahli Majlis, proses mempercepatkan penggantian paip bagi mengurangkan masalah gangguan bekalan air serta pengurusan sumber air berhubung pencemaran air.

Sidang DUN kali ini akan ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kelak.

Sumber:

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/600702/dun-selangor-lulus-usul-gesa-parlimen-gubal-undang-undang-lompat-part