Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri Selangor Adakan Lawatan Ke TKPM Sungai Blankan Dan Ulu Chuchoh

4 Disember 2019

 

SEPANG, 4 Disember: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam Negeri Selangor (PAC) telah mengadakan lawatan ke Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Sungai Blankan dan Ulu Chuchoh bagi melihat sendiri dengan lebih dekat ladang yang terletak di bawah seliaan Jabatan Pertanian Negeri Selangor (JPNS).

Sebelum ini, Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri Selangor telah mengadakan Pendengaran Tertutup bersama Jabatan Pertanian Negeri Selangor (JPNS) ekoran laporan yang berbangkit menerusi Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2017 berkaitan Pengurusan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM). Antara yang disentuh menerusi laporan tersebut adalah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) yang terletak di Sungai Blankan dan Ulu Chuchoh.

Sepanjang lawatan tersebut, Ahli-Ahli Jawatankuasa PAC Selangor telah diberi taklimat berkaitan dasar dan konsep TKPM yang dilaksanakan, latar belakang TKPM Daerah Sepang dan maklumat peserta dan tanaman yang diusahakan.

Ahli-Ahli Jawatankuasa PAC Selangor juga telah berpeluang melihat pameran jenis tanaman yang diusahakan oleh peserta TKPM, seterusnya dibawa mengelilingi kawasan TKPM Sungai Blankan dan Ulu Chuchoh yang terletak bersebelahan. Kedua-dua Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) tersebut telah diklusterkan oleh Jabatan Pertanian Negeri Selangor sebagai kawasan penanaman Ubi Kayu dan Ubi Keledek. 

Turut hadir dalam lawatan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC) Negeri Selangor, YB Tuan Rizam Ismail (Sungai Tawar) dan ahli-ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada YB Tuan Ronnie Liu Tian Khiew (Sungai Pelek), YB Tuan Saari bin Sungib (Hulu Kelang), YB Tuan Najwan bin Halimi (Kota Anggerik), YB Puan Elizabeth Wong Keat Ping (Bukit Lanjan), Setiausaha Dewan Negeri Selangor, Puan Gayathri Prasena A/P Jaya Kumar dan Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Selangor, Encik Mat Iesak bin Ngathinee.