Kunjungan Hormat Dewan Negeri Selangor Ke Dewan Undangan Negeri Kedah Rapatkan Hubungan Antara Dewan

20 November 2019

 

Alor Setar, 20 November: Berteraskan semangat keakraban dan kebersamaan antara Dewan Undangan Negeri, Dewan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif mengadakan lawatan dan diskusi dua hala ke Dewan Undangan Negeri Kedah.

Ketibaan delegasi dan rombongan Dewan Negeri Selangor pada pukul 8.30 pagi telah disambut sendiri oleh YB Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Datuk Ahmad Kassim di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar bersama Setiausaha dan kakitangan Pejabat Dewan Undangan Negeri Kedah.

Lawatan ini menyaksikan kunjungan bersama seramai 21 orang Ahli Dewan Negeri Selangor yang turut sama menjayakan sesi lawatan ini yang diketuai oleh YB Tuan Ng Suee Lim, Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor dengan diiringi oleh Setiausaha Dewan Negeri Selangor, Puan Gayathri Prasena A/P Jaya Kumar dan kakitangan Pejabat Dewan Negeri Selangor dan Pejabat Speaker.

Sejurus tiba, rombongan Ahli Dewan Negeri Selangor telah dibawa melawat Muzium Padi Negeri Kedah yang menempatkan sejarah, maklumat, teknik-teknik dan kejayaan-kejayaan penghasilan tanaman padi di Negeri Kedah.

Muzium ini ternyata begitu unik dan kreatif serta mendedahkan ahli-ahli delegasi tentang kepentingan memajukan dan mengembangkan perusahaan padi bagi penghasilan sumber makanan yang cekap dan mencukupi kepada rakyat.

Delegasi Dewan Negeri Selangor seterusnya dibawa berkunjung ke Pusat Perusahaan Industri Kecil Sederhana (IKS) milik anak tempatan yang berjaya iaitu Era Edar Marketing Sdn Bhd, syarikat yang menghasilkan produk kesihatan berasaskan herba dan homeopati yang diasaskan oleh Allahyarham Profesor Dr. Azizan Ismail.

Kemuncak lawatan ini berlangsung pada pagi 31 November apabila delegasi Selangor telah diterima berkunjung dan berdiskusi di Dewan Persidangan, Dewan Undangan Negeri Kedah.

Diskusi ini telah membuka ruang perkongsian pengalaman antara Speaker dan Ahli Dewan bagi kedua-dua negeri, amalan-amalan yang digunakan semasa persidangan, Peraturan Tetap (Standing Order), mesyuarat dan pendengaran jawatankuasa pilihan serta konsep pemisahan kuasa (Separation Of Power) yang diamalkan.

Konsultasi dua hala pada sebelah pagi dilanjutkan menerusi perlawanan bowling persahabatan antara Ahli Dewan Negeri Selangor dan kakitangan bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Kedah bersama kakitangan. Penyampaian hadiah yang diadakan pada sebelah malam menyaksikan Dewan Negeri Selangor menjuarai keseluruhan jatuhan pin terbanyak pertandingan bowling.

Majlis Makan Malam antara Dewan Undangan Negeri menjadi lebih istimewa apabila YAB Datuk Seri Utama Haji Mukhriz Tun Mahathir, Menteri Besar Kedah turut meluangkan masa untuk hadir bersama dan menyampaikan ucapan serta menyampaikan hadiah kepada hadirin. Tidak ketinggalan menyampaikan ucapan adalah YB Tuan Ng Suee Lim, Tuan Speaker Dewan Negeri Selangor dan YB Tuan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, YB Datuk Ahmad Kassim.