Lawatan Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah Dan Tanah (JP-PADAT) Dewan Negeri Selangor Perkukuh Hubungan Dengan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA)

9 Disember 2019

 

KUALA LUMPUR, 9 Disember: Jawatankuasa Pilihan Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) Dewan Negeri Selangor yang diketuai oleh Yang Berhormat Tuan Lau Weng San (Banting) telah mengadakan lawatan ke Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang bertujuan untuk melihat ruang dan peluang yang wujud di Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) untuk menambahbaik mutu dan kualiti Pentadbiran Tanah di Negeri Selangor.

Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang dahulunya dikenali sebagai Agensi Remote Sensing Malaysia (ARMS) telah digabungkan dengan Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) dan dijenamakan semula sebagai Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Februari 2019 dengan menjadikan teras utamanya untuk mengukuhkan Tadbir urus Kerajaan dalam sektor angkasa.

Ahli Jawatankuasa Pejabat Daerah dan Tanah (JP-PADAT) yang turut hadir dalam lawatan ini adalah YB Tuan Rajiv A/L Rishyakaran (Bukit Gasing) dan YB Puan Wong Siew Ki (Balakong). Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Penguatkuasaan, Pengambilan Tanah dan Teknikal, Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) Encik Mohd Azrul bin Hashim turut bersama sepanjang lawatan ini bagi mengkaji input-input yang wajar dijadikan peluang penambahbaikan dan kerjasama bagi mempertingkat tahap kecekapan urus tadbir tanah dan teknologi di Negeri Selangor.

Taklimat dari Agensi Angkasa Malaysia (AAM) telah disampaikan sendiri oleh YBrs. Tuan Haji Azlikamil bin Napiah, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang turut diiringi oleh YBrs. Puan Nik Mazlina binti Nik Mustapha, Timbalan Ketua Pengarah (Perkhidmatan Teknikal dan Operasi MYSA) serta Pengarah-Pengarah Bahagian MYSA.

Taklimat yang diadakan kepada JP-PADAT sedikit sebanyak telah mendedahkan jawatankuasa kepada maklumat-maklumat baharu berkaitan Agensi Angkasa Malaysia yang memiliki kemampuan untuk mencerap permukaan bumi dan menyediakan data menggunakan teknologi angkasa seperti drone dan satelit.

Antara aspek yang disentuh adalah berkaitan kemampuan MYSA untuk melakukan cerapan terhadap aktiviti pembukaan kawasan, pemantauan pembinaan bangunan, aktiviti pembukaan tanah, mengesan perubahan guna tanah, memantau aktiviti pelupusan sisa, aktiviti pengurusan bencana, sistem maklumat dan logistik banjir serta analisis terhadap kawasan berisiko tinggi banjir.

Untuk memahami lebih dekat berkaitan aktiviti MYSA, Jawatankuasa telah dibawa melawat contoh-contoh Imej Satelit yang dihasilkan dan telah diproses, aplikasi-aplikasi serta sistem berimpak yang telah dihasilkan oleh Agensi Angkasa Malaysia merentasi pelbagai kementerian, jabatan dan agensi serta melihat bilik simpanan data dan maklumat Agensi Angkasa Malaysia.