Pelancaran Sesi Kedua Program ADUN Muda Selangor Tahun 2015

Pelancaran Sesi Kedua Program ADUN Muda Selangor Tahun 2015

 

15 OGOS 2015

Program ADUN Muda Selangor 2015 (Sesi II) akan dibuka permohonannya mulai 3 Ogos hingga 23 Ogos 2015, di mana ianya dianjurkan oleh Pejabat Speaker dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Jawatankuasa Tetap Pendidikan Negeri Selangor.

Sesi Kedua Program ADUN Muda Selangor 2015 akan diadakan selama 2 hari di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Ia dibuka kepada pelajar-pelajar dalam lingkungan umur 18 – 24 tahun daripada institusi-institusi pengajian tinggi awam, swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO), penggerak belia tempatan (PeBT) serta persatuan-persatuan mahasiswa. Seramai 56 orang anak muda akan dipilih untuk menyertai program ini dan mewakili setiap kawasan DUN di dalam Dewan Negeri Selangor.

Tempoh permohonan akan dibuka selama 3 minggu mulai 3 Ogos 2015 hingga 23 Ogos 2015. Pemohon-pemohon yang berminat untuk menyertai program ini dikehendaki membuat permohonan secara online di laman web dewan.selangor.gov.my. Panel pemilihan akan terdiri daripada YB Hannah Yeoh, YB Tuan Mohd Shafie bin Ngah dan YB Nik Nazmi bin Nik Ahmad. Keputusan pemilihan akan diumumkan di laman web rasmi dewan.selangor.gov.my pada 27 Ogos 2015.

Program ADUN Muda Selangor merupakan satu program khas bagi mahasiswa dan mahasiswi kelahiran Selangor dan yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi di sekitar Selangor. Tujuan program ini adalah untuk memberi pendedahan politik di peringkat awal kepada anak-anak muda agar lebih berminat untuk melibatkan diri dalam proses penggubalan undang-undang khususnya untuk menjadi bakal penggubal undang-undang sama ada di peringkat tempatan mahupun kebangsaan. Mereka akan diberi peluang untuk mengalami prosiding sebenar sebagai ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dalam satu sidang Dewan Negeri dan mencadangkan serta membahaskan usul-usul khususnya yang memberi impak kepada golongan anak muda. Persidangan tersebut nanti akan dipengerusikan oleh YB Hannah Yeoh (Tuan Speaker) dan YB Tuan Mohd Shafie bin Ngah (Tuan Timbalan Speaker).

Melalui program ini, mahasiswa dan mahasiswi digalakkan untuk meningkatkan pemikiran kritis tentang polisi-polisi kerajaan, serta berpeluang mengenali ADUN-ADUN Negeri Selangor dengan lebih dekat.

PEJABAT SPEAKER DEWAN NEGERI SELANGOR