Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

01 November 2019 hingga 13 November 2019

203) ADUAN KILANG HARAM

Tahun: 2019

Sesi: 3

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Dr. Idris Bin Ahmad

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila jelaskan apakah bentuk tindakan yang telah diambil terhadap kilang-kilang haram di Selangor?

    Pada tahun 2006, Kerajaan Negeri telah melancarkan Program Pemutihan Kilang Tanpa Kebenaran Negeri Selangor melalui Pekeliling Pengarah Tanah Dan Galian Selangor Bil. 6 Tahun 2006 bertarikh 31 Julai 2006 bertujuan untuk membantu pengusaha kilang / pemilik tanah menjadikan kilang-kilang mereka mengikut peraturan dan undang-undang terutama dari segi sudut syarat nyata tanah dan infrastruktur bangunan. Di dalam program ini pengusaha dan pemilik tanah perlu mengemukakan permohonan untuk kelulusan pelan Kebenaran Merancang dan Pelan Bangunan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta permohonan menukar syarat kegunaan tanah kepada Pejabat Tanah Dan Galian Negeri Selangor (PTG).

    Dalam program tersebut beberapa insentif telah ditawarkan antaranya seperti pengurangan premium tambahan, bayaran premium secara ansuran, pengecualian premium khas dan mewujudkan ‘fast track’ di semua PTD dan Jabatan Teknikal Yang Terlibat. Walau bagaimanapun, hanya 56.25% kilang haram yang membuat permohonan daripada inventori direkodkan iaitu 2250 buah kilang haram walaupun program tersebut telah di lanjutkan sebanyak enam (6) kali sejak 2008 sehingga 2015.

    Sehubungan dengan itu, bagi menangani isu kilang haram ini secara intensif, Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat MMKN ke 24/2019 bertarikh 21 Ogos 2019 telah disahkan pada MMKN ke 25/2019 bertarikh 28 Ogos 2019 telah telah mewujudkan semula program pemutihan bagi kilang-kilang haram, iaitu Program Pematuhan Syarat dan Penguatkuasaan Kilang Tanpa Kebenaran di Negeri Selangor yang dilancarkan pada 24 September 2019 di mana Program ini bermula pada 1 Oktober 2019 sehingga tahun 2020. Sekiranya dalam tempoh ini tiada permohonan diterima oleh pengusaha kilang atau pemilik tanah, tindakan penguatkuasaan akan diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.