Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

24 November - 28 November 2014 dan 01 Disember - 05 Disember 2014

140) AGENDA MEMPERKASA BELIA

Tahun: 2014

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Datuk Seri Dr. Wan Azizah Binti Wan Ismail

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah inisiatif kerajaan negeri untuk mempersiapkan golongan belia dengan program latihan pekerjaan

    Kerajaan Negeri telah merancang untuk melaksanakan program pemerkasaan belia bagi membantu golongan belia miskin di Selangor bagi menaikkan taraf hidup mereka dari segi latihan kemahiran / vokasional bagi belia-belia di desa adalah melalui kerjasama yang dijalinkan  bersama pihak INSPENS untuk memberikan latihan seperti dalam bidang kecantikan, automatif, pendandan rambut, elektrik, elektronik, motorsikal, sistem komputer dan penyaman udara.

    Latihan-latihan yang dijalankan ini sebagai persediaan kepada mereka dalam menghadapi persaingan untuk mendapatkan peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran / vokasional. Di samping itu, kerajaan negeri juga telah mengadakan program-program seperti SPIES untuk menonjolkan aspek kepimpinan di kalangan belia sebagai pemimpin pada masa akan datang.

    Seterusnya Program Jom Kerja juga telah dijalankan dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Pendidikan bermula tahun 2009 hingga November 2014 dengan keseluruhan permohonan yang hadir adalah seramai 8739 orang.

    Pada tahun 2015, peruntukan bagi projek menaiktaraf dan membaikpulih kemudahan sukan telah dinaikkan dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM9,075,000.00. Ini berikutan Kerajaan Negeri telah meluluskan projek membaikpulih Stadium Hoki Pandamaran, Klang dengan jumlah sebanyak RM4,445,000.00 dan projek membaikpulih Stadium Hoki, Petaling Jaya dengan kos sebanyak RM3,510,000.00 yang mana kedua-dua projek tersebut akan dilaksanakan pada tahun 2015 oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkenaan.

    Di samping itu, Kerajaan Negeri juga telah merancang untuk melaksanakan projek menaiktaraf kemudahan dan fasiliti sukan di Selangor dengan memperuntukkan sebanyak RM20,000.00 untuk setiap DUN dengan jumlah keseluruhan adalah sebanyak RM1,120,000.00. Perancangan ini dibuat bertujuan untuk memastikan kemudahan sukan di Selangor sentiasa berada dalam keadaan yang baik dan dapat digunakan untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sukan.

    Di antara usaha-usaha Kerajaan Negeri untuk merangsang aktiviti keusahawanan belia di Selangor dengan bantuan perniagaan kepada anak muda dalam usaha untuk membantu mereka menceburi diri dalam bidang keusahawanan. Sehubungan dengan itu, kerajaan telah menyediakan kemudahan penyediaan sewaan premis perniagaan kepada golongan usahawan seperti di Uptown Shah Alam dan Pasar Seri. Seterusnya, kerajaan juga turut menyediakan Kursus Keusahawanan kepada mereka bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mereka untuk menceburi dalam bidang perniagaan dan keusahawanan. Selain daripada itu, Kerajaan Negeri turut menyediakan pinjaman daripada Skimsel dan Mimbar bagi memulakan perniagaan.

    Kerajaan Negeri telah memperuntukan sebanyak RM50 juta dari jumlah Rizab Negeri bagi projek pembangunan usahawan dan pemerkasaan belia. Sehubungan dengan itu, Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan telah merancang untuk mengadakan program dengan kerjasama daripada Inpens dan Jabatan-jabatan Kerajaan dan NGO seperti mewujudkan Yayasan BES, Program-program kemahiran dan teknikal, Program- program keusahawanan dan Program Pemerkasaan Belia. Program- program tersebut bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan anak muda untuk menceburi diri dalam bidang keusahawanan, kepimpinanan dan kemahiran dalam usaha untuk melahirkan generasi yang berpendidikan dan berpengetahuan.

Lampiran

Tiada Lampiran.