Agenda Memperkasa Belia

36) Agenda Memperkasa Belia

Tahun:

Sesi:

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Harumaini Bin Haji Omar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah usaha Kerajaan Negeri untuk menarik minat belia untuk tidak berhijrah ke bandar dan terus kekal di luar bandar dalam mencari sumber pendapatan?

    (a) dan (b) dijawab bersekali.

    Kerajaan Negeri sentiasa prihatin dan mengambil maklum untuk menambah baik keadaan ekonomi anak muda. Ini termasuklah dalam meningkatkan peluang pekerjaan kepada golongan belia di kawasan luar bandar berikutan taraf hidup yang semakin meningkat. Pembangunan belia perlu juga dititikberatkan terutamanya dari segi pekerjaan dan pendapatan untuk memastikan pembangunan Negeri yang mampan. Ini mengambil kira populasi belia yang merangkumi separuh daripada rakyat negeri Selangor berjumlah 6 juta.

    Untuk rekod, kadar pengangguran di Selangor yang dicatatkan adalah seperti berikut:-

    i. 2016 (3.2%)
    ii. 2017 (2.8%)
    iii. 2018 (2.8%)
    iv. 2019 (2.5%)
    Sumber: Jabatan Statistik Malaysia

    Antara langkah-langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri dalam usaha untuk menarik minat belia untuk tidak berhijrah ke bandar untuk mencari sumber pendapatan adalah sebagaimana berikut:-

    i. Program Karnival Kerjaya – Selangor Job Fair

    Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda & Sukan dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan Program Karnival Kerjaya – Selangor Mega Job Fair yang mana program ini telah memberi peluang kepada majikan yang terpilih untuk mengisi kekosongan jawatan dan sekaligus memberi peluang pekerjaan kepada golongan yang memerlukan pekerjaan terutamanya di kalangan generasi muda.

    Justeru itu, program ini telah dirancang untuk diadakan di sembilan (9) daerah di negeri Selangor bagi memastikan penduduk di luar bandar juga berpeluang untuk menyertai program ini. Namun begitu, berikutan pandemik COVID-19 yang melanda negara ini, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 14 Oktober 2020 telah bersetuju untuk melaksanakan “Job Fair by Invitation” dan dilaksanakan secara tertutup dan pada November 2020 di empat (4) daerah iaitu daerah Petaling, Kuala Selangor, Gombak dan Hulu Langat.

    BIL TARIKH LOKASI
    1 7 NOVEMBER 2020 (SABTU) SHAH ALAM
    2 15 NOVEMBER 2020 (AHAD) KUALA SELANGOR
    3 18 NOVEMBER 2020 (RABU) GOMBAK
    4 21 NOVEMBER 2020 (SABTU) PAYA JARAS
    5 25 NOVEMBER 2020 (RABU) HULU LANGAT
    6 29 NOVEMBER 2020 (AHAD) SHAH ALAM

    Bagi menjayakan program ini, Kerajaan Negeri Selangor mempunyai jalinan kerjasama dengan pihak JobsMalaysia di mana laman web JobsMalaysia berfungsi sebagai padanan dan carian pekerjaan atas talian bagi seluruh rakyat Malaysia. Pencari kerja khususnya graduan boleh mendaftar di laman web www.jobsmalaysia.gov.my untuk mencari pekerjaan semasa pasca COVID-19 dan mendapat notifikasi padanan pekerjaan melalui emel yang telah didaftarkan secara percuma.

    ii. Program di bawah Jawatankuasa Tetap Pembangunan Usahawan

    Kerajaan Negeri turut mengadakan program siri latihan keusahawanan secara atas talian dengan kerjasama Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan beberapa moderator kursus yang terpilih. Intipati kursus yang merangkumi aspek-aspek keusahawanan seperti pengurusan, kewangan, pemasaran, operasi dan digitasisasi bertujuan untuk mempersiap golongan usahawan dan bakal usahawan Selangor dalam mendepani arus globalisasi serta meningkatkan daya tahan industri kecil dan sederhana bagi memastikan sektor ini kekal kukuh dan menyumbang kepada ekonomi negeri Selangor. Program-program ini secara tidak langsung dapat menangani masalah pengangguran dan pemberhentian pekerja serta membantu pemasaran produk-produk luar bandar seterusnya mengelakkan penghijrahan penduduk ke luar bandar.

    iii. Program di bawah Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani

    Kerajaan Negeri menggalakan penglibatan Generasi Muda dalam Sektor Pertanian dan memperkasakan usahawan-usahawan Generasi Muda yang telah pun memulakan Projek-projek Pertanian.

    Sehubungan itu, Kerajaan Negari telah melaksanakan pelbagai Program untuk Generasi Muda yang berminat menceburi sektor pertanian sebagaimana antaranya :-

    a) Program Pembangunan Agropreneur;
    b) Program Bantuan Peralatan Pertanian;
    c) Kursus dan Seminar kepada Generasi Muda; dan
    d) Rantaian E- Bekalan Digital Selangor (SELDEC) Rider.

    iv. Skim Bantuan HIJRAH Selangor

    HIJRAH Selangor menyediakan pinjaman kewangan secara berperingkat bermula tahun 2015. Sebelum ini program pinjaman kewangan ini dikenali sebagai Mikrokredit Bersepadu yang menggabungkan skim-skim mikrokredit SKIMSEL, MIMBAR dan WALA yang telah dilaksanakan semenjak tahun 2010. Ia merupakan satu sistem pembiayaan modal yang mudah, cepat dan tidak membebankan kepada penjaja dan peniaga kecil yang menghadapi masalah kekurangan modal dan peluang mendapatkan modal tambahan. Pinjaman berperingkat ini dikategorikan mengikut skim 1 hingga 4 dan jumlah kelulusan diberikan sehingga RM50,000.00 mengikut syarat-syarat yang telah ditetapkan.

    V. Program Latihan Kemahiran Keusahawanan atau KPS Entrepreneurship Development Programmes yang dilaksanakan oleh Kumpulan Peransang Selangor Berhad (KPS)

    Program Latihan Keusahawanan KPS telah dilaksanakan untuk menangani isu pengangguran dan menggalakkan para peserta untuk meningkatkan keyakinan terhadap keusahawanan dan memulakan perniagaan berskala kecil atau meningkatkan daya saing mereka dalam perniagaan yang telah dijalankan.

    Program-program latihan ini terbuka kepada peserta yang tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan atau isi rumah berpendapatan rendah atau mereka yang tinggal di bawah garis kemiskinan (RM1,500 setiap rumah tangga sebulan). Pada tahun 2019, KPS telah memperuntukkan sebanyak RM471,278.00 untuk menganjurkan lima jenis program keusahawanan dan program ini telah melibatkan seramai 143 peserta dari sembilan daerah di Selangor. Objektif program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran keusahawanan peserta dan seterusnya meningkatkan status sosioekonomi kumpulan sasaran.

    Antara program yang disediakan adalah seperti :

    i. Home Care for Elderly (Caregiver) – Pusat Jagaan
    Orang Tua;
    ii. Perkhidmatan selepas bersalin (postnatal);
    iii. Latihan Penternakan;
    iv. Program Latihan Eksport (Malaysian External Trade Development Corporation (MATRADE); dan
    v. Program Pemberdayaan Wanita

Lampiran

Tiada Lampiran.