Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor Tahun 2013

28 Jun 2013, 01 Julai - 05 Julai 2013 dan 08 Julai 2013

210) AGENDA WANITA MALAYSIA DI PERINGKAT NEGERI

Tahun: 2013

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Puan Tiew Way Keng

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah Kerajaan Negeri telah melaksanakan Agenda Wanita Malaysia yang mana di bawah bidang kuasa Negeri dan bagaimana dengan perancangan tahun 2014 di DUN Teratai?

    Agenda Wanita Malaysia adalah agenda Pakatan Rakyat yang akan dilaksanakan apabila Pakatan Rakyat mentadbir kerajaan persekutuan Malaysia di Putrajaya. Ia mengandungi beberapa fokus yang sedia diimplementasikan oleh Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Kerajaan Negeri Selangor ketika pentadbiran Pakatan Rakyat pada penggal yang lalu. Fokus-fokus tersebut ialah penubuhan Pusat Wanita Berdaya di seluruh negeri Selangor, skim mikrokredit membantu usahawan-usahawan kecil wanita, penjagaan kesihatan menerusi Skim Kesihatan Wanita dan usaha-usaha advokasi dalam kesihatan mental dan reproduktif serta pembangunan semula Pusat Krisis Sehenti (OSCC) dan usaha-usaha advokasi mengenai hak, undang-undang dan keselamatan wanita.

    Banyak lagi usaha-usaha sedia ada Kerajaan Negeri Selangor di bawah kendalian program-program MES (Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor) dan portfolio-portfolio lain seperti Jawatankuasa Tetap Kebajikan yang seiring dengan Agenda Wanita Malaysia.

    Di antara program-program yang telah dan akan berterusan dilaksanakan ialah Tawas, Tunas, SiKembar, Tabung Pendidikan Anak Pekerja Ladang, Program Tuisyen Rakyat, penubuhan pusat-pusat dialisis, advokasi gender dan bajet peka gender, SKIMSEL, MIMBAR, WALA, skim bantuan kemudahan pembelian rumah pertama, dan lain-lain lagi.

    Kesemua skim-skim Kerajaan Negeri Selangor berhasrat untuk dinikmati oleh rakyat secara langsung.   Rakyat di DUN Teratai seperti juga DUN-DUN yang lain akan berfungsi untuk terus menyebarluaskan segala skim kerajaan negeri kepada rakyat.

Lampiran

Tiada Lampiran.