Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2014

16 Jun 2014 hingga 18 Jun 2014

195) AIR

Tahun: 2014

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah status terkini tentang proses penstrukturan semula pengurusan dan operasi bekalan air di Selangor?

    Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman pada 26 Februari 2014 sebagai langkah pertama untuk bersesama dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air di Negeri Selangor berdasarkan kepada lunas-lunas perundangan sedia ada dan mengutamakan kepentingan rakyat serta tidak merugikan mana-mana pihak yang terlibat dalam industri ini. Apatah lagi, salah satu rasionalnya peruntukan Akta 655 dan yang merupakan kepentingan negara adalah keperluan untuk menstrukturkan semula sektor perkhidmatan air di setiap negeri menerusi pengusaha air yang holistik oleh kerajaan negeri.

    Pada ketika ini, rundingan bersama di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor sedang giat diadakan dalam usaha untuk memuktamadkan penstrukturan semula itu berdasarkan kepada persetujuan yang telah dicapai melalui Memorandum Persefahaman yang telah ditandatangani tersebut.

    Selepas MOU ditandatangani, Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhd (KDEB) telah mengemukakan tawaran pengambilalihan ke atas keempat-empat syarikat konsesi air. Lanjutan dari tawaran yang telah dikemukakan oleh KDEB kepada kesemua syarikat konsesi air, secara dasarnya, SYABAS, Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dan Konsortium ABASS Sdn Bhd telah bersetuju menerima tawaran pengambilalihan tersebut. Setakat 31 Mei 2014, SPLASH masih tidak mengemukakan persetujuan ke atas tawaran tersebut.

    Beberapa siri mesyuarat telah diadakan bersama antara Kerajaan Negeri Selangor dengan pihak Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) dan Puncak Niaga Holding Berhad, pemegang saham majoriti di dalam SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd bagi memperhalusi segala keperluan yang perlu dipenuhi oleh setiap pihak sebelum transaksi pengambilalihan SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd boleh dimuktamadkan. Adalah dijangkakan pengambilalihan SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd akan dimuktamadkan selewat-lewatnya akhir Julai 2014.

    Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) telah bersedia dengan pasukan untuk mengambil alih operasi kesemua Syarikat Konsesi Air sebaik sahaja pengambilalihan ABASS, SYABAS dan Puncak Niaga (M) Sdn Bhd dimuktamadkan.

    Selain dari itu, dalam usaha untuk merealisaikan penstrukturan semula ini, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan supaya lesen abstraksi air mentah yang dikeluarkan oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) hanya akan diberikan secara eksklusif kepada KDEB.  Bagi membolehkan operator rawatan air meneruskan operasi, KDEB akan memasuki perjanjian dengan operator rawatan air seperti SPLASH, ABASS dan Puncak Niaga bagi membenarkan operator-operator ini mengambil air mentah untuk dirawat sehingga penstrukturan dimuktamadkan.

    Langkah yang dibuat di atas adalah sejajar dengan peruntukan di bawah

    Peraturan Lesen di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air Negara, 2006 (Akta

    655) yang memperuntukkan hanya syarikat yang diberikan lesen air mentah oleh Kerajaan Negeri boleh mendapatkan lesen dari Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Lampiran

Tiada Lampiran.