Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2019

29 Julai 2019 dan 31 Julai 2019

53) AIR BNB

Tahun: 2019

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Puan Michelle Ng Mei Sze

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan langkah-langkah atau dasar yang sedang direka oleh Kerajaan Negeri untuk mengawal selia fenomena AirBnB

    Kerajaan Negeri buat masa ini tidak mempunyai sebarang dasar khusus bagi mengawal selia aktiviti AirBnB ataupun kegiatan penawaran penginapan pelancongan di premis kediaman. Namun demikian, Kerajaan Negeri di bawah Program Pemurnian Pelancongan Selangor atau P3S telah meletakkan aktiviti AirBnB ini sebagai salah satu aktiviti pelancongan yang akan dimurnikan.

    Terlebih dahulu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandar raya Petaling Jaya (MBPJ) telah mengadakan Bengkel Menangani Isu Aktiviti Penginapan Komersil Di Bangunan Kediaman dengan kerjasama Institu Perancang Malaysia (MIP) yang telah dihadiri oleh hampir 300 peserta pelbagai agensi kerajaan dan swasta dari seluruh negara bagi membincangkan isu-isu dan kawalan aktiviti pemasaran sewaan penginapan secara komersial di bangunan kediaman secara atas talian seperti AirBnB, Mudah.my, dan sebagainya pada 4 April 2019 yang lalu bertempat di Majlis Bandar raya Petaling Jaya.

    Rentetan daripada itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pelancongan Negeri Selangor telah melantik MBPJ sebagai lead agency atau agensi utama bagi Projek Perintis P3S Aktiviti Penginapan Komersial di Bangunan Kediaman bagi membantu Kerajaan Negeri mengenal pasti dan seterusnya merangka satu dasar dan ketetapan ke atas aktiviti AirBnB ini.


    Maklumat Tambahan

    Walau bagaimanapun, di peringkat nasional, semua isu berkaitan kawal selia penginapan jangka masa pendek atau Home Sharing akan diselaras dan dibincangkan dalam platform Working Group on Home Sharing Economy (WGHSE) yang dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Ketua Tourism Productivity Nexus serta diurussetiakan oleh Malaysia Productivity Corporation (MPC).

    WGHSE dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak swasta dan sektor awam termasuk Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) yang bertujuan untuk membangunkan Roadmap for Regulatory Framework on Short Term Accomodations”.

    MPC sebagai pemudahcara dan sekretariat bagi inisiatif ini telah membuat kajian dan membentangkan Cadangan Kerangka Kerja Kawal Selia Penginapan Jangka Masa Pendek semasa Mesyuarat WGHSE Bilangan 2/2018 pada 20 Disember 2018.

    Di bawah WGHSE, sebuah jawatankuasa teknikal telah ditubuhkan dan dipengerusikan secara bersama oleh Jabatan Kerajaan Tempatan, KPKT dan MOTAC. Jawatankuasa ini dianggotai oleh pelbagai kementerian dan agensi berkaitan bagi menyediakan garis panduan yang akan menjadi panduan kepada pihak berkuasa yang bertanggungjawab ke atas aktiviti dalam bidang kuasa kawasan masing-masing. Antara elemen utama adalah perkara-perkara berkaitan pendaftaran, kawalan kacau ganggu, kutipan cukai dan tempoh penginapan.

    Mesyuarat pertama jawatankuasa ini telah diadakan pada 27 Mei 2019 dan diikuti dengan penganjuran ‘Bengkel Pembangunan Garis Panduan Kawal Selia Penginapan Jangka Masa Pendek’ pada 28 hingga 30 Jun 2019 di Pulau Langkawi.

    Pada 6 hingga 8 Ogos 2019, MPC akan mengadakan ‘Bengkel Semakan Draf Garis Panduan’ ini bersama kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan bagi mendapatkan maklum balas dan cadangan penambahbaikan mengenai draf tersebut.

    Draf garis panduan ini akan melalui beberapa siri rundingan bersama agensi-agensi kerajaan dan penggiat industri yang terlibat sebelum disiarkan untuk pandangan umum (public comments) pada suku keempat tahun 2019.

Lampiran

Tiada Lampiran.