Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Tahun 2012

9 Julai 2012 hingga 12 Julai 2012

19) AIR BUMI

Tahun: 2012

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah dasar dan program Kerajaan Negeri terhadap sumber air bumi?

    Kerajaan Negeri telah mengambil pendirian bahawa penggunaan sumber air bumi hendaklah diuruskan dengan cara yang terbaik dan tidak digunakan dengan keterlaluan melainkan sebagai langkah kontijensi bagi mengatasi waktu kekurangan bekalan air.

    Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor telah melaksanakan Skim

    Caj dan Pelesenan Abstraksi Sumber Air bagi air bumi melalui Enakmen Lembaga Urus Air Selangor 1999 di mana, mulai 1 Julai 2005, semua pengabstrak sumber air bumi diwajibkan mendapatkan Lesen Abstraksi Sumber Air Bumi dengan caj sebanyak RM0.01/m3 bagi tujuan utiliti awam dan RM0.05/m3 bagi tujuan komersial. Langkah pelesenan ini penting bagi memudahkan penyeliaan dan pemantauan bagi memastikan sumber air bumi diabstrak secara mampan dan tidak memberikan kesan negatif kepada alam sekitar. Dengan skim ini LUAS mempromosikan penggunaan air terus dari sumber air terutama pihak industri yang tidak terlalu bergantung kepada bekalan air terawat dengan kos yang lebih rendah.

    Pembangunan sumber air bumi untuk menyokong industri perkhidmatan dan pembekalan air pula sedang dalam kajian dan pertimbangan serius oleh Kerajaan Negeri melalui Lembaga Urus Air Selangor bersama-sama dengan satu jawatankuasa khas yang turut disertai oleh Jabatan Mineral dan Geosains Negeri Selangor dan Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM)

Lampiran

Tiada Lampiran.